• KELAP Siri 2


    Seusai Kem Latihan Penulisan (KELAP) Siri Dua pada 3 Mac lalu yang berlangsung di dewan bawah tanah di Rumah Kedah Baru, Haiyyu Sabik, Kaherah saya pulang dengan perasaan yang bercampur-baur. Pertamanya kerana penyertaan yang kurang memberansangkan daripada siswa-siswa. Agak sedih kerana jika dicampur dengan ahlijawatankuasa jumlah mereka hanya melangkau lebih kurang sepuluh orang. Siswi-siswi usah ditanya berapa tetapi suka untuk saya nyatakan jumlahnya dua kali ganda daripada siswa. Tapi saya bersetuju dengan salah seorang pengerusi slot KELAP bahawa bukan kuantiti yang diharapkan tetapi kualiti yang akan terhasil nanti. Keduanya, saya gembira kerana kelainan konsep majlis yang dibawa oleh KELAP pada kali ini iaitu ia agak santai dan para peserta juga kelihatan tidak begitu stress dan mengantuk. Biarpun saya tidak menghadiri bengkel ini untuk siri pertama pada hujung tahun lepas, tetapi kali ini entah mengapa saya berhajat untuk menyertainya dengan harga yuran semurah LE5 untuk melihat pengisian KELAP pada kali ini. Tetapi lebih beruntung kepada mereka yang telah mengikuti kedua-dua siri bengkel tersebut berbanding saya.

    Pendaftaran bermula pada pukul 12.30 tengah hari. Bengkel ini mempunyai beberapa slot dan slot pertama bermula setengah jam kemudian. Di dalam slot ini kami diminta menyiapkan karya sendiri secara spontan dalam masa lima belas minit berdasarkan tiga objek : cengkerang , al-Quran dan rehal. Kemudian semua karya dihimpun dan sembilan daripada peserta siswa dan sisiwi diminta bercerita tentang cara pembawakan karya masing-masing. Untuk sepuluh minit kemudian, slot 'Istimewa bersama Akademi Penulis Mesir ' bermula. Para panel yang diundang adalah Saudara Syafiq Zulakifli mewakili penulis mapan Mesir untuk Adabuna , Saudari Zainab Haron mewakili Kelab Tunas Karya Iskandariah dan Saudari Fadhlina Yusuf mewakili Akademi Karyawan Mansurah (AKAR). Slot ini turut menyelitkan sesi soal jawab dengan para peserta bersama-sama panelis-panelis tersebut.

    Slot koreksi menemui peserta selepas itu bersama-sama Sammaituha Najwa. Semua karya kami tadi telah dikritik secara umum dan hanya lima karya daripada keseluruhan karya peserta yang dipilih. Saya rasa semua peserta ketika itu begitu terkesan dengan sajak seorang siswa yang dikira bagus untuk diketengahkan. Berpenampilan santai dan seorang yang kelihatan begitu sederhana, tetapi sebaik sahaja dia mendeklamasikan sajaknya, semua yang ada terpegun seketika. Saya masih teringat sepotong ayat daripada kata-katanya yang diajar oleh gurunya , "jika mahu berkata tentang sesuatu, jangan sebut secara terus tentang benda itu ". Itu satu input yang saya dapat dari situ. Kesimpulannya sajak spontannya itu begitu menyentuh rasa dan puitis walau tidak berjela.

    Untuk terakhirnya kami diberikan sedikit halwa telinga tentang dunia sastera penulisan oleh Saudara Syafiq Zulakifli dan beliau turut berkongsi pengalaman dalam berkarya. Beliau turut menyerahkan tangungjawab kepada kami untuk lebih mementingkan karya yang berwacana dan membina masyarakat. Bengkel tersebut berakhir pada pada pukul 5.30 petang bersama seribu satu tanggungjawab di dada.

0 Lintasan Hati :

TERIMA KASIH

Awas!

Dilarang sebarang aktiviti plagiat ke atas artikel di dalam laman ini. Jika itu berlaku, perlu meminta keizinan daripada pemilik laman ini terlebih dahulu.

Si Kandil's bookshelf: read

Manikam Kalbu
Bedar Sukma Bisu
Surat-Surat Perempuan Johor
Daerah Zeni
Dari Salina ke Langit Petang
Bahlut
Lagi Cerpen-Cerpen Underground
Beruk
Seorang Tua di Kaki Gunung
Tukcai
Badai Semalam
Dedaun Hijau Di Angin Lalu
Kau yang Satu
Juzuk
Panji Semirang
Bagaikan Puteri
Hijab Sang Pencinta
Nota Cinta Buatmu
Cinta Pertama
Pesanan Terakhir Seorang Lelaki


Si Kandil Hijau's favorite books »