Cerpen ini tersiar di Majalah Anis pada edisi Januari 2010 |
SATU
"Apa pandanganmu tentang cinta, Afanin?"
Soalmu ketika kita sedang
bersantai di balkoni asrama Kolej Proton pada suatu senja.
Kukalih pandangan yang begitu asyik pada kawanan burung di angkasa
senja, memandang tampangmu. Engkau seorang yang cantik, berwajah putih bersih
dan baik hati. Maka tidak hairanlah jika engkau begitu diminati ramai jejaka
kampus namun tiada satu cinta pun yang datang itu engkau balas.
"Cinta itu sesuatu yang suci. Penuh luhur dalam menerajui sebuah
perhubungan jika kita ikhlas meletaknya pada tangga teratas dalam hati. Apa
engkau tidak percaya pada cinta, Dhiya?" Aku cuba menguji gejolak rasa
hatimu. Ingin menebak sejauh mana kepercayaanmu pada cinta.
"Bukan begitu maksudku, kawan. Padaku cinta terlalu subjektif
destinasinya. Cinta pada Rabb menemukan
kita pada kesejahteraan hidup dan akhirat abadi. Cinta pada manusia, mungkin
ada kesejahteraannya tapi sampai bila mahu berkhayal dalam cinta sebelum
berkahwin yang tidak menjanjikan apa-apa itu. Aku tidak percaya pada cinta
begitu. Ibu dan ayahku bernikah kerana cinta tapi tetap berpisah. Kakakku juga
bernikah demi cinta tapi akhirnya terpaksa menuntut fasakh. Ia bagai
satu penyakit berjangkit dalam keluargaku. Dan aku tidak mahu virus itu merebak
padaku nanti."
Engkau melepas keluhan yang agak berat. Matamu lepas ke langit kirmizi.
"Itu takdir namanya, Dhiya. Cinta itu bukan sekadar kita menerima
tetapi perlu banyak memberi juga memahami."
"Tapi memberi biar pada landasan syariat yang betulkan?"
Aku mengangguk bersetuju.
"Tapi cinta memang bersalah dalam mendidik jiwa hamba seorang
manusia yang begitu dipengaruhi api cinta"
Rungutmu pula.
"Hei, apa sebenarnya yang tersirat di fikiranmu, kawan?"
Engkau tiba-tiba tersenyum sambil terus memandang awan larat yang kian
indah disimbah warna emas mentari.
"Benarkah cinta manusia itu terlalu indah sehingga kita boleh
terlupa segala-galanya?" Desismu
separuh berpujangga.
Aku melirikmu dengan kuluman tawa yang hampir terburai.
Aku melirikmu dengan kuluman tawa yang hampir terburai.
"Jangan ketawakan aku Afanin…!"
Aku bingkas meluru masuk ke dalam apabila terasa cubitan halus di
lenganku. Sayup-sayup kedengaran azan maghrib membelah angkasa yang makin kelam
menyambut malam.
DUA
Persahabatan aku dan engkau bermula ketika kita di sekolah menengah lagi
sehingga sama-sama menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia. Susah
senangku engkau maklumi dan susah senangmu aku tahu. Diam-diam aku mula
menyimpan harapan bahawa engkau adalah sahabat susah senangku sampai bila-bila
dari kalangan teman-temanku yang lain. Inilah cinta seorang sahabat bagiku.
Cinta untukmu.
"Cinta tidak pernah bersalah Dhiya. Jangan terlalu menghukum cinta
yang memang dilahirkan secara fitrah dalam jiwa manusia. Cuma cara manusia
mengendalikan cinta menyebabkan cinta itu dipandang berdosa."
"Kalau bukan kerana rasa itu, manusia tidak akan bebas melakukan
apa saja. Berdua-duaan, lalu jadinya penzinaan. Kerana cinta mereka sanggup
lupa segala hukum karma yang termaktub dalam undang-undang Tuhan. Kau lihat
saja anak-anak muda kampus ini yang bebas keluar bersama bukan mahram. Tegar
bergambar berdua-duaan dan paling teruk tidak malu berpimpin tangan di hadapan
orang. Yang bertudung lebih lagi. Cinta itu memang mengundang musibah."
"Lalu, rasa cinta ciptaan Tuhan yang kau ingin persalahkan?
Mempertikaikan setiap kejadian fitrahNya?"
Engkau terdiam dengan persoalan yang kuutarakan. Laut biru yang terbentang
terus membawa sang ombak menghempas pantai. Tiada suara yang kedengaran lagi.
Masing-masing khali memandang lukisan alam di pesisir Pantai Kuala Perlis.
Tempat yang sering kita kunjungi bersama sambil membahas kata tentang apa saja
pada setiap hujung minggu. Sambil enak menikmati sajian di warung kecil pinggir
pantai itu. Hanya decitan burung yang sahut menyahut dalam irama ombak yang
membingit suasana. Air sirap ros dingin di hadapan kau sedut perlahan sehingga
tinggal separuh.
"Kau salah Dhiya. Jangan kerana maksiat yang berlaku cinta itu
dipersalahkan. Andai cinta itu dipersalahkan, apa ertinya lagi kita sebagai
hamba mencintai Allah. Kenapa mesti rasa itu yang Dia campakkan ke dalam diri
setiap makhluknya termasuk haiwan yang tidak berakal. Kalau bukan kerana, itu
adalah satu rasa suci yang mengalir azali dalam jiwa kita. Hawa dicipta atas
rasa sunyi Adam bersendirian mengharung hidup. Itu manusia pertama yang dicipta
tanpa pernah mengenal dan melihat contoh percintaan tetapi Allah campakkan jua
rasa cinta sesama makhluk dalam jiwanya. Dan Hawa pun dicipta kerana itu pinta
Adam." Aku memburai kata setelah lama bungkam.
"Ya, engkau betul kawan. Tapi padaku cinta itu bernafsu. Apabila
nafsu menguasai, cinta nafsu itu merosakkan manusia. " Putusmu.
Aku kehilangan kalimat untuk meneruskan hujah. Kedegilan fikrahmu
membantutkan aku untuk terus berdebat. Aku membiarkan engkau dengan persoalan
di jiwa. Dan sejenak itu aku terfikir, anti-cintakah engkau, Dhiya?
TIGA
Cuti semester pertama bermula. Hanya tiga minggu. Aku melazimi tugasku
yang agak sibuk sebagai Setiausaha Kelab Karyawan Muda UUM walaupun bercuti.
Mengemaskini kembali data-data ahli kelab dan mula menyusun jadual program
apabila semester bermula nanti.
Engkau pula sudah seminggu memulakan
tugas sementaramu sebagai guru tadika kepunyaan ibu saudaramu di Kangar.
Katamu, kau begitu terhibur melayani telatah comel anak-anak kecil di situ. Aku
mengunjungi tempat kerjamu pada satu pagi Isnin yang lapang dari sebarang
rutin. Melihat sendiri cara layananmu terhadap karenah anak-anak keletah itu.
Memang ada bakat jadi ibu!
Kecindanku cuma kau sambut dengan tawa kecil apabila telefon genggammu
berbunyi .nyaring. Engkau bangun meninggalkan aku di sofa bilik tamu menjawab
panggilan.
Entah mengapa ada sesuatu yang aneh
kulihat pada dirimu, Dhiya. Kelainan sinar mata dan senyumanmu memancarkan satu
perasaan yang asing dalam hatiku. Dari ulas bibirmu yang bergerak-gerak walau
tanpa kudengari butir bicaramu itu, aku bagai dapat mentafsirkan sesuatu telah
berlaku padamu. Benarkah Dhiya apa yang aku fikirkan ini? Atau aku hanya
pandai-pandai menuduhmu tentang sesuatu yang di luar kebiasaanmu.
EMPAT
"Kau sudah berubah ,
Dhiya."
Aku memanah tepat korneaku ke wajah putih kuning milikmu. Dan engkau
seolah-olah mahu lari dari pandanganku. Bunyi geseran daun-daun kering yang
berguguran ditiup angin meredupkan suasana petang di taman universiti. Aku
sengaja ingin bersemuka denganmu. Mahu membuka persoalan yang lama kupendam
tentang tingkah anehmu dua bulan kebelakangan ini. Engkau semakin banyak
berahsia denganku
"Di mana Dhiya yang dulu aku
kenal sebagai seorang yang anti cinta sebelum bernikah? "
Engkau cuma sepi menyambut soalanku.
Rupa-rupanya cuti semestermu kali ini telah merubah prinsip hidupmu tentang
cinta pada manusia. Engkau bertemu dia lewat suatu petang di pusat
membeli-belah kerana dia terlanggar keretamu. Firdaus, lelaki pertama yang
berjaya mengocak beku tasik hatimu. Seorang lelaki kacak yang punya perusahaan
jubin sendiri. Bermula detik itu, engkau sanggup melupakan segala persepsimu
pada cinta. Engkau tidak lagi menyalahkan cinta dalam perhubungan sesama
manusia. Tentang hubungan lelaki dan wanita.
Berbulan kau merahsiakan hubungan cintamu itu dariku. Ah, Dhiya! Aku
sahabatmu dari sekolah. Jangankan susahmu aku dapat merasa derita, bahagiamu
dibuai semilir musim bunga cinta pun aku dapat merasa tempiasnya. Aku kesunyian Dhiya, apabila tiada dirimu
yang selalu berhujah denganku tentang isu yang tidak sependapat. Aku menjadi
rindu pada cinta seorang sahabat yang sering memangkas setiap hujahku.
"Kau tak mengerti,
Afanin".
"Mengerti rasa cintamu pada
Firdaus? Caramu itu salah, Dhiya. Rasa cinta bukan syarat untuk kau bebas
keluar bersamanya. Kita seorang Islam Dhiya, jangan gadaikan prinsip agama
kerana cinta sebelum nikah ini. Engkau boleh mengubahnya jika mahu."
"Aku tahu salah caraku
mengemudi rasa ini. Bukankah dulu kau pernah katakan padaku jangan cinta itu
dipertikaikan. Ia satu rasa suci ciptaan Allah, yang Dia campakkan dalam hati
kita. Cinta juga sesuatu yang luhur jika kita ikhlas meletakkannya pada tangga
teratas dalam hati dan aku tak mampu mengelak bila ia datang padaku tanpa diduga. Aku tidak pernah rasa keindahan begini seumur hidupku, Afanin! Kau akan
faham bila kau sendiri mengalaminya…"
Tutur lembutmu itu terasa membelah jiwaku. Kau sudah jauh menyimpang
dari prinsipmu dulu, sahabatku! Benarlah kuasa cinta manusia bisa mengatasi
cinta pada Pencipta jika tiada pegangan diri yang kuat.
"Aku tidak lakukan perkara yang menjurus kepada zina. Aku tidak
pernah berpegangan tangan dengannya dan dia menghormatiku sebagai wanita. Awal
perkenalan lagi kami sudah berjanji untuk bertemu sebulan cuma dua kali. Dan
kami sudah sepakat untuk bernikah lima bulan lagi." Kata-katamu terhenti
di situ dan mata kita bertemu.
Aku terasa air hangat bertakung di bibir mata.
"Begitu rupanya engkau menilai harga sebuah undang-undang yang
Tuhan ciptakan. Ke mana hilang hujah kerasmu tentang hubungan cinta sebelum
berkahwin. Jangan kata aku cemburu kerana engkau dilamun cinta dan aku tidak,
Dhiya. Aku cuma seorang teman yang berpegang pada prinsip dan tidak akan
sesekali melanggar apa yang pernah kukatakan. Merasa bertanggungjawab kerana
engkau sahabatku yang pernah berkongsi suka duka. Aku berhak menegur jika caramu salah."
Tanpa kuduga, itu petang terakhir aku berhujah denganmu. Engkau beredar
pergi begitu sahaja selepas kata-kata terakhirku. Aku sedar engkau menangis.
Tapi aku tahu tangisanmu bukan kerana rasa berdosa atas perbuatan cintamu
tetapi engkau lebih terhiris dengan barisan ayatku. Engkau seperti mahu
memutuskan persahabatan yang kita bina selama lima tahun lalu. Engkau sanggup
berpindah keluar dari kolej dan menyewa di luar kampus. Jika berselisih bahu
pun, engkau cuma menghadiahkan aku sebuah senyuman tawar. Paling aku kecewa,
engkau menghujum bahawa aku menyebarkan keburukan kisahmu di kalangan
teman-teman rapat kita. Kenapa mesti hujuman dongeng itu dalam firasatmu kalau
engkau rasa perbuatanmu itu betul, Dhiya.
LIMA
Musim peperiksaan semakin tiba. Di saat-saat beginilah masa terasa
seperti emas kerana pensyarah akan mula menekankan silibus yang mungkin penting
untuk peperiksaan. Semuanya sibuk mengulangkaji dan menghadiri kelas tutorial.
Aku juga tidak ketinggalan walaupun kerja persatuan di waktu-waktu begini
semakin bertimbun. Semakin banyak nota peperiksaan yang mahu disalin semakin
banyak pula minit mesyuarat yang perlu kutaip.
Itu satu kepuasan untukku. Menyibukkan diri dengan sesuatu yang
bermanfaat melupakan aku pada sengketa kita, Dhiya. Berita terbaru tentangmu
yang kudengar dari teman-teman, engkau sedang sibuk membuat persiapan
perkahwinanmu. Pernah juga aku terserempak engkau dari jauh yang ayu
berkerudung bersama Firdaus di Bandar Alor Setar.
Benarlah kata falsafah, sekali air laut melimpah, sekali pasirnya pun
berubah. Begitu juga hatimu, Dhiya. Hebat dilanda ribut cinta hingga merubah
segala kepercayaanmu tentang pergaulan yang engkau cuba elakkan dahulu.
"Aku tidak pernah memutuskan persahabatan kita, Afanin."
Ujarmu lewat panggilan telefon yang kuterima darimu satu hari. Sebetulnya aku
agak terkejut menerima panggilan darimu semenjak petang pertemuan terakhir
kita sebulan lalu.
"Tindakanmu berpindah dari asrama kolej begitu di luar dugaanku.
Apa maksudnya tindakanmu itu. Kalau kata-kataku padamu ketika di taman
universiti itu menyebabkan hatimu masih berparut, aku mohon maaf. Aku tiada
cara lain, Dhiya. Aku tidak sanggup melihat cara kau mengemudi hubungan cintamu
biar pelbagai peraturan yang kau dan dia tetapkan. Aku tahu kau sering keluar
bersamanya akhir-akhir ini. Tapi atas nama kalian akan bernikah bukanlah tiket
untuk kau terus keluar berdua dengannya. Apa kau sudah lupa tentang hadis nabi
yang mengingatkan kita tentang lelaki dan wanita yang berdua-duaan, maka yang ketiga
di antara mereka adalah syaitan. Fitnah itu di mana-mana, Dhiya!" Aku
berkhutbah panjang. Lebih kepada melepaskan peringatan padamu.
"Aku tahu. Kami akan bernikah sebaik sahaja aku selesai peperiksaan
nanti. Aku mahu engkau hadir ke majlis kami nanti. Kad akan kukirim melalui pos
ke rumahmu.. Terima kasih kerana mengingatkan aku, kawan."
Engkau meletakkan gagang setelah memberi salam. Begitu saja engkau
mengubah topik perbualanku. Perbuatanmu mengingatkanku pada satu hadis
Rasulullah yang bermaksud:
Orang soleh melihat dosa itu seperti gunung
yang akan menghempapnya manakala orang yang melakukan maksiat melihat dosa itu
seperti lalat yang hinggap di hidungnya, bila ia mengisyaratkan dengan
tangannya maka lalat itu akan lari.
Andainya kita dapat melihat dosa itu sebesar apa Dhiya, pasti semua
manusia tidak akan berani berbuat salah!
ENAM
Peperiksaan sudah dua bulan berakhir. Hari ini adalah hari perkahwinanmu
dan Firdaus. Aku datang ke majlismu bersama keluargaku. Engkau begitu anggun
dalam kebaya labuh satin campuran hijau muda terang dan krim digaya bersama
tutup kepala rona sedondon dan layah labuh melepasi paras punggung. Firdaus
juga kulihat begitu tampan di sampingmu. Kalian bagai pinang dibelah dua.
Engkau cuma tersenyum manis menyambut ucapan tahniahku. Aku memelukmu sebelum
berangkat pulang. Entah mengapa aku sayu saat pelukan itu hampir terlerai.
Airmataku tumpah juga.
"Kau pun akan bertemu seseorang
yang akan membawamu ke alam bahagia ini nanti, Afanin! Mana tahu mungkin
jodohmu dengan seorang ustaz!"
Selorohmu kusambut dengan tawa kecil. Dalam maksudmu, Dhiya. Adakah kau
menyindirku atau kau memang memaksudkan jodoh yang baik untukku.
"Aku tumpang gembira di hari bahagiamu, Dhiya. Aku gembira engkau
dan Firdaus telah diijabkabulkan. Lepas ni aku tak perlu susah-susah menjagamu
lagi. Engkau sudah punya 'bodyguard' yang lebih layak!" Mataku mencerlung memandang Firdaus dari jauh
yang sedang sibuk melayan tetamu yang datang. Benar katamu, Firdaus seorang
yang penuh kasih sayang dan bertanggungjawab.
"Oh, ya! Aku akan ke United Kingdom Disember nanti. Aku dan
keluarga akan berhijrah ke sana mengikut papaku yang ditugaskan ke kedutaan
sana. Maaf lewat beritahu kau. Aku tak sempat memandangkan kesibukanmu".
Sudah kuduga kejutan di wajahmu. "Engkau marahkan aku, aku tahu
Afanin. Engkau lebih kepada mahu membawa diri atas perbuatan aku mengetepikan
engkau dulu. Kalau tidak pasti awal-awal lagi kau dah maklumkan aku".
Wajahmu keruh tiba-tiba.
"Apa-apa sajalah tanggapanmu, Dhiya. Yang pasti aku mahu mengejar
cita-citaku yang satu ini. Aku bercadang mahu sambung pengajianku ke peringkat
sarjana di sana nanti. Aku minta maaf segala yang mengguris hatimu sepanjang
persahabatan kita." Aku tersenyum.
Ada pilu di sebalik itu.
"Aku juga, kawan. Doakan aku dan Firdaus bahagia hingga akhir hayat
ya! Aku minta maaf juga tidak dapat menghantarmu ke lapangan terbang kerana
selepas majlis konvokesyen aku dan suami akan bercuti di Bali dan Paris.
Mungkin aku masih di Paris ketika itu."
Aku tersenyum lagi tanda pengertian. Kita berpapasan pipi sebelum aku
meninggalkan perkarangan rumahmu.
TUJUH
Afanin menyeka tubir mata yang penuh berair. Kenangan persahabatan itu
tetap mekar dalam lipatan memori. Biar jauh-jauh begini, dia tetap rindu pada
kemesraan Dhiya. Dia langsung tidak menyangka pelukan di hari perkahwinan
sahabatnya itu adalah yang terakhir untuk mereka. Dhiya terkorban dalam nahas
kemalangan jalanraya ketika pulang berbulan madu menaiki teksi dari KLIA.
Suaminya pula cedera parah dan koma selama seminggu. Itu yang dikhabarkan ibu
Dhiya kepadanya dalam talian telefon dua tahun yang lalu.
Kesejukan semakin mencengkam isi kulit. Malam semakin larut bersama
rintik hujan halus di luar. Begitu juga hujan di hati yang terus berlagu
merintikkan air hangat di kelopak matanya. Tidak lama lagi pengajian sarjananya
akan tamat. Pulang ke tanah air, hari bahagianya pula akan menjelma nanti.
Segalanya mahu dilangsungkan di kampung halaman. Papa dan mama sudah setahun
pulang ke tanah air kerana tempoh perkhidmatan papa sudah tamat.
Doamu dimakbulkan , Dhiya. Seseorang yang akan
memimpinku ke gerbang bahagia telah aku temui akhirnya. Dia seorang pegawai
syariah yang bertugas di Mahkamah Syariah Alor Setar. Yang pasti dia juga
seorang 'ustaz' seperti guraumu dahulu
dan dia yang kuharap dapat membimbingku dalam urusan ke akhirat. Jodoh ini
telah kuserahkan pada mama untuk memilih bakal menantunya. Baru bulan lepas aku
sah menjadi tunangannya walau jauh di negara orang.
Moga Dia mengampuni segala dosa-dosamu dan
menempatkan engkau bersama orang-orang yang beriman. Jika nyawaku masih
panjang, pusaramu akan kukunjungi nanti!
Dan malam terus merangkak bersama kedinginan yang membungkus seisi alam.
TAMAT
0 Lintasan Hati :
Catat Ulasan