• CERPEN GARIS-GARIS KASIH


    Ilustrasi oleh: Damilho
        Anis leka memerhati anak-anak kecil yang keletah bermain jongkang-jongket di taman permainan rumah asuhan Seri Kasih. Sungguh, melihat anak-anak kecil terasa hilang segala masalah tatkala mengikuti perkembangan tumbesaran mereka yang aktif dan sihat. Semua kekusutannya seolah-olah terurai.
    Sepanjang hidupnya yang berusia dua puluh enam tahun ini, Anis tidak pernah merasa kesempurnaan hidup sebegini. Segalanya terasa lengkap dengan kelahiran Iyad lima tahun lalu. Pada mulanya dia kesal dengan kurniaan itu, namun sebaik sahaja tangisan Iyad memecah hening subuh di saat kelahiran, dia terasa satu semangat mula mengalir dalam tubuhnya untuk terus berdiri menghadapi hidup. Dia terasa lengkap dengan kehadiran anak kecil itu.
    Anis memandang jam di pergelangan tangan. Waktu rehat anak-anak itu sudah habis. Sebetulnya sekarang kelas kreatif sudah bermula. Dia bangun dari kedudukan memanggil anak-anak itu masuk ke kelas. Seorang anak kecil lelaki mirip wajahnya mendahului teman-teman yang lain menghampiri.
    "Mama, Iyad dahagalah!" Anak itu mengerut kening sambil berpaling ke belakang melihat rakan-rakan sebaya yang turut berlari-lari.
    "Mama Anis, kami pun dahagalah!"
    Dia memandang semua anak-anak asuhannya dengan senyuman. Peluh merenik-renik turun membasahi wajah masing-masing.
    "Okay, jom masuk. Nanti mama buatkan jus oren!"  
    Dia mendahului anak-anak yang terlonjak-lonjak ceria itu masuk ke dalam banglo dua tingkat yang digelar Seri Kasih. Seri Kasih kepunyaannya sejak tiga tahun yang lalu. Tempat itu membuatkan hidupnya dan Iyad terisi. Dia membina Seri Kasih dengan kudrat usahanya bersama beberapa orang pembantu setia. Dengan bimbingan Tuhan Yang Esa berbekal sedikit kecekalan dan keyakinan optimis untuk meneruskan hidup biar hakikatnya terlalu sukar dia menghadapi hidup bersendirian
    Seri Kasih pernah menjadi impian main-mainnya dahulu. Pernah tercetus ketika zaman remajanya bersama seorang sahabat. Bukan Anis tidak berminat membina kerjaya tinggi seperti orang lain. Tetapi rezekinya bukan di situ dan Seri Kasih adalah impiannya kini selepas bercita-cita menjadi seorang arkitek.
    Agak aneh gadis manja dan lincah sepertinya menyimpan impian sebegitu. Dia sayangkan anak-anak kecil. Begitu juga Zarkasyi. Lalu mereka menyatu impian itu untuk membina sebuah taman asuhan kanak-kanak. Itulah Seri Kasih yang pernah menjadi lintasan di bibir Zarkasyi suatu masa dahulu dan kini tersergam tanpanya.
    Zarkasyi! 
    Anis masih tegar mengenang lelaki itu biar bertahun lama tidak bersua. Seorang lelaki yang penuh pengertian dan sabar. Juga seorang teman yang penyayang. Dia tidak tahu bagaimana kehidupan Zarkasyi sekarang. Hubungan mereka terputus ketika dia sarat mengandungkan Iyad. Dan impian yang satu itu dibina bersendirian sekarang.
    Dia dan Zarkasyi punya watak yang berlainan. Pun begitu mereka masih serasi menjadi sahabat. Mungkin kontradiksi itu menemukan keserasian dalam diri mereka. Zarkasyi lelaki yang patuh pada agama, pengasih, punya hati yang lembut dan setia. Sedang dia punya perwakan yang agak lincah, degil dan sering mengikut emosi.
    Anis terkenang memori bersama Zarkasyi suatu ketika dahulu. Zarkasyi selalu bersamanya hatta ke sekolah sekalipun. Sehingga ada rakan-rakan sekolah yang mengatakan mereka pasangan kekasih ketika itu. Zarkasyi hanya diam tanpa kata. Anis tahu Zarkasyi bukan orangnya yang mahu melayan perkara-perkara remeh seperti itu. Zarkasyi yang dikenali seorang yang matang dari cinta wanita biar agak ramai pelajar perempuan yang ingin mengumpan hatinya. Dan Anis sendiri menerima cerita fitnah itu dengan hati yang terbuka tanpa resah. Dia sedar, dirinya hanya menjadi mangsa cemburu bagi peminat-peminat Zarkasyi. Namun Zarkasyi juga acapkali berpesan padanya untuk tidak mempedulikan semuanya.
    Kadang-kadang dia sendiri tidak faham apakah jenis persahabatan antaranya dan Zarkasyi. Bersahabat tanpa pernah mempunyai rasa cinta seorang kekasih. Bertahun-tahun, tapi cuma sebagai sahabat. Dia juga yang Zarkasyi pilih untuk dijadikan teman. Mengulangkaji pelajaran bersama di rumahnya. Mengambil berat tentangnya jika dia bermasalah.
    "Anis, bukankah manis kalau kau bertudung?" Zarkasyi tiba-tiba memberi usul tanpa dipinta ketika mereka mengulangkaji di rumahnya. Ketika itu SPM semakin hampir. Ulangkaji mereka juga semakin ligat.
    "Kau mahu kahwin dengan akukah kalau aku bertudung?"
     Anis tersenyum kecil sambil memandang jengkel.
    "Bukankah menutup aurat itu suruhan Allah. Kenapa mesti kita solat kalau itu suruhan Allah? Kenapa pula tidak kau menutup rambutmu sedangkan itu juga suruhan Allah?" Zarkasyi seperti mengujinya. Seloroh Anis ditolak ketepi.
    "Sampai masa nanti aku akan bertudung juga." Anis membalas acuh tidak acuh. Membuang pandang ke baris-baris ayat di buku pelajaran Sejarah kegemarannya.
    "Bila? Bila kau dah tua? Tunggu nak bercucu?"
    Anis mengangkat bahu mencebik sebagai jawapan. Soalan Zarkasyi dibiar berlalu begitu sahaja tanpa jawapan.
    Terasa bodoh sekali jawapannya pada Zarkasyi ketika itu. Jahilnya dia. Bila dikenang-kenang, malu bukan kepalang mengenang kebodohannya tentang aurat. Bukan sekali dua Zarkasyi menegurnya tentang itu tetapi sudah berkali-kali. Namun dia masih dengan jawapan bodohnya pada Zarkasyi. Lelaki itu terlalu mengajarnya tentang hukum Allah. Cuma dia yang memandang enteng. Lantaran didikan itu cuma didapati di sekolah tetapi tidak di rumah. Ibu bapanya bukan ahli agama. Mereka buta hukum dalam mendidik anak sepertinya. Dan dia anak tunggal pasangan berada yang mewarisi jahiliah si ayah dan ibu. 
    Sedang Zarkasyi, anak yatim yang dibesarkan oleh seorang ibu tunggal yang mengajar agama di kampung untuk menyara hidup. Mujur juga Zarkasyi mempunyai seorang abang, Zamakhsyari yang bekerja sebagai guru di ibu kota. Dia sering mengirim wang pembiayaan sekolah Zarkasyi. Kesusahan itu yang mungkin membuat temannya itu lebih matang.
    Selepas keputusan SPM, dia dan Zarkasyi membawa haluan masing-masing. Zarkasyi mendapat tawaran mendalami ilmu-ilmu Islam di Universiti Malaya. Itu pilihannya sendiri kerana dia muncul sebagai pelajar terbaik aliran agama di sekolah. Pernah dia mengherdik Zarkasyi kerana menolak tawaran mengikuti kursus ijazah kejuruteraan dari sebuah universiti di United Kingdom. Namun katanya, dia mahu menjadi seorang Islam sejati. Mahu mendalami agama untuk disebar-sebarkan agar Islam tidak punah dimakan globalisasi. Saat itu, dia aneh melihat pendirian seorang Zarkasyi. 
    Sedang dia sendiri menerima tawaran melanjutkan pengajian ke London dalam jurusan senibina. Bermula detik itu hidupnya berubah. Anis mula diakrabi Afandi, jejaka kacukan Melayu-Arab dari jurusan yang sama. Dalam melewati musim cinta bersama Afandi, dia tidak lupa mengutusi Zarkasyi. Persahabatannya dan Zarkasyi masih seperti biasa. Anis tidak lupa berkisah tentang Afandi, dan Zarkasyi seperti biasa membalas dengan kata-kata hikmahnya tanpa kering dengan nasihat seperti dahulu. Ya, benar Zarkasyi tidak pernah berubah walau waktu telah banyak memisahkan mereka. Zarkasyi masih tetap dengan kematangannya menilai sesuatu dan masih punya ketegasan dalam berkata-kata.
    Zarkasyi seringkali menyalin kembali apa yang dipelajarinya dalam setiap balasan warkah sebagai peringatan untuknya. Biar malas namun Anis tetap sudi  membaca semuanya sebagai menghormati Zarkasyi yang tidak pernah lelah dengan nasihat dan dorongan. Dia gembira begitu kerana itu menunjukkan Zarkasyi tetap mengingatinya biar mahu melaksanakan apa yang dikata lelaki itu adalah perkara kedua baginya.
    "Kau tahu Anis, wanita muslimah itu punya pelbagai anugerah yang Allah berikan. Mereka punya kehormatan tinggi yang telah Allah letakkan berbanding wanita kafir yang lain. Allah menggariskan aurat pada mereka agar kehormatan mereka terjaga dari manusia-manusia berhati iblis. Mewajibkan hijab untuk menutupi keindahan wanita yang tidak ternilai walau ditukar dengan segunung emas. Tidakkah kau patut menghargai semua milikmu itu dengan menutupnya dari lelaki ajnabi, Anis? Tidakkah kau  tahu di dalam al-Quran telah menyebut tentang ini.
     "Hai nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan  isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka  mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.Yang demikian itu mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" al-Ahzab:59
     Aku amat berharap  engkau akan bertudung, Anis. Menjadi wanita solehah untuk bakal suamimu dan ibu yang baik untuk bakal zuriatmu nanti…"
    Anis melipat kembali warkah itu. Keratan kata-kata itu dahulu langsung tidak menusuk di hatinya. Tetapi hairannya dia masih menyimpan baik semua surat dari Zarkasyi. Mungkin ini hikmahnya nasihat Zarkasyi yang tidak pernah padam. Kenangannya dengan Zarkasyi hanya boleh diulang di dalam lipatan surat-surat lama dan apa yang tersimpan di sudut ingatannya. Juga sebagai panduan kehidupan.
    Lamunannya terganggu dengan rengekan manja Iyad. Mengigau lagi anak kecil itu. Anis pantas meluru ke kamar tidurnya melihat Iyad yang menangis apabila dia tiada di sisi. Anis merangkul dan membelai kepala Iyad dengan penuh kasih memujuknya tidur kembali. Tidak berapa lama, Iyad kembali terlena dengan dodoiannya. Anis merenung Iyad lama. Wajah itu lebih tumpah kepada wajahnya. Baginya sekarang, Iyad harta yang paling berharga. Biarlah manusia sekeliling mengherdiknya dengan maki hamun, namun dia nekad mahu mendidik Iyad menjadi anak yang soleh. Biar Iyad bukan anak yang diiktiraf di dunia, tapi dia mahu menjadikan Iyad diiktiraf di akhirat. Di sisi Allah.
    Itu kesilapan terbesarnya dalam hidup. Menyebabkan lahirnya Iyad sebagai anak luar nikah. Kesalan itu bertimpa-timpa sehingga kini. Dia terlalu mengikut nafsu dahulu. Kata nasihat Zarkasyi dipandang lewah. Solat yang dahulu sering dilakukan sudah ditinggalkan sejak dia mengenali Afandi. Mereka sering berpeleseran di kelab malam sehingga pagi. Gaya hidupnya jauh terpesong berbanding ketika bersama Zarkasyi dahulu. Afandi mengajarnya merokok dan menunggang botol arak. Lelaki itu rupanya manusia syaitan. Dia terperangkap dengan pujuk rayu Afandi pada satu malam yang penuh titik hitam. Dia gagal menjaga kehormatan dirinya dari manusia berhati iblis. Saat itu dia jadi rindu mahu mendengar kata-kata keramat Zarkasyi memberi nasihat.
    Dia disahkan hamil dua bulan kemudian. Afandi lari apabila kehamilan itu dipertanggungjawabkan padanya. Mengelak daripadanya bagai nampak hantu di siang hari. Hidupnya murung sebelum keputusan diambil untuk pulang ke Malaysia atas nasihat teman-teman yang lain. Dia nekad mahu memberitahu ibu dan ayah. Kepulangan mengejutnya itu ternyata mendapat tentangan kedua-dua orang tua. Kandungannya tidak diterima. Dia dihalau. Tiada sesiapa di sisinya. Lalu Zarkasyi dicari. Lelaki itu terkesima menerima kehadirannya selepas empat tahun membawa haluan masing-masing.
    "Aku tak tahu pada siapa lagi perlu aku mengadu, Zarkasyi. Ibu dan ayah sudah membuangku. Aku sebatang kara, Zar!"  Tangisan yang cuba ditahan gugur jua.
     Dalam hamburan airmata itu, Anis mengamati wajah Zarkasyi. Lelaki itu cuma diam tanpa jawapan. Wajah itu ada ketenangan. Berbicaralah dengan aku, Zarkasyi! Aku rindu dengan nasihat padumu padaku seperti dahulu.
    "Ikut aku, Anis!" Dia menyedari ketegasan nada suara Zarkasyi biar tidak ditunjukkan dalam kelembutannya. Hanya itu yang dapat didengar dari bibir merah muda yang haram dengan rokok itu setelah satu jam pertemuan mereka di warung pinggir Kota Kuala Lumpur.
    Marahkah engkau, Zarkasyi? Aku yang tidak pernah menghiraukan nasihatmu sejak dulu. Aku yang sering mempermain-mainkan hujahmu tentang hukum Allah. Aku yang bodoh ini!
    Hari itu Zarkasyi membawanya pulang ke daerah lama mereka. Ke rumah orang tuanya. Dia meletakkan Anis di bawah jagaan ibunya. Banyak yang telah dipelajari dari ibu Zarkasyi. Pengajian di London dilupakan begitu sahaja. Biarlah, dia tidak ingin kembali ke sana walau ditawar jutaan wang sekalipun. Sekali-kali tidak! Hijab sudah mula menjadi pakaiannya. Tiada lagi pakaian ketat kekurangan benang seperti dahulu. Dilontar jauh kenangan hitam bersama Afandi. Dia ingin melupakan semua titik hitam hidupnya dahulu.
    "Aku tidak pernah marahkan engkau, Anis. Kau sahabatku sejak sekolah. Aku bukan siapa-siapa untuk memarahimu." Perlahan tutur Zarkasyi ketika pulangnya ke kampung.
    "Aku rindu kenangan kita masa sekolah dulu, Zar. Engkau selalu menegurku tentang macam-macam kesalahanku. Aku rindu teguranmu, Zar…"
    "Usah diungkit yang berlalu, Anis. Manusia selalu berbuat salah. Aku juga punya salahku. Silap kita sebagai manusia terlalu banyak. Mana ada manusia yang tidak melakukan dosa. Anggap itu sebahagian dari pengalaman hidupmu. Jadikan sempadan untuk masa depan anakmu nanti." Tutur Zarkasyi lunak di pendengarannya.
    "Allah itu Maha Pengampun. Aku percaya Dia tahu keikhlasan taubatmu jika kau benar-benar mahukan itu. Rasulullah sendiri menyuruh kita agar jangan berputus asa dalam bertaubat kerana sifat itu boleh membawa kepada kekufuran. Aku bangga melihat Anis yang sekarang. Sudah bertudung seperti yang kuharapkan."
    Zarkasyi tertunduk ke bumi tiba-tiba. Dia dapat menangkap ada genang air di pinggir mata lelaki itu. Menangiskah engkau, Zarkasyi? Matanya ligat memerhati Zarkasyi yang diam serta-merta. Tanpa sedar matanya juga berduka mengalirkan airmata perlahan-lahan. Anis mengusap perlahan perut yang sudah berusia lima bulan ketika itu.
    "Zar, aku minta maaf…"
    "Oh, ya! Aku akan mula bekerja bulan depan. Sebagai pegawai syariah di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. Doakan aku, Anis!"  Pintas Zarkasyi memotong tuturnya.  Anis cuma tersenyum kelat mengangguk.
    Itu kali terakhir mereka bertemu membalas kata dan sehingga Anis melahirkan Iyad, Zarkasyi tidak pulang pun menjenguk. Berita terakhir yang didengar dari ibu Zarkasyi bahawa lelaki itu ditukarkan bertugas ke Sarawak. Tanpa pamitan, Zarkasyi terus membisu tanpa khabar untuknya sahaja. Dia mengerti Zarkasyi masih belum betul-betul memaafkannya. Sehingga Iyad berusia setahun, Anis berkeputusan untuk membina hidup sendiri. Pada ibu Zarkasyi dipohon satu pengertian bahawa dia ingin mengejar impian untuk hidup sendiri.
    Pagi itu sebelum memulakan tugas di Seri Kasih, Anis didatangi sepucuk surat dari kampung tulisan tangan milik Zulfa, adik bongsu Zarkasyi.

    Assalaamualaikum.
    Ke pangkuan Kak Anis dan Iyad  yang comel. Zulfa mewakili emak mengutus surat ini untuk Kak Anis. Emak pesan, andai Kak Anis tak keberatan baliklah menjenguk kami pada hujung minggu ini  Ada yang mengintai Kak Anis dari jauh rupanya selama ini. Emak kata orang kampung ini juga. Kak Anis pulang dulu dan kita berbincang tentang perkara ini ya. Emak pun dah rindu sangat dengan Iyad. Lagipun dah lama kita tak makan bersama.
    Oh ya, Kak Anis.  Satu kejutan untuk kita!. Abang Zar ada telefon baru-baru ini. Dia pun akan pulang hujung minggu ini. Lagi meriah nampaknya rumah kita nanti. Abang Zam sekeluarga pun emak dah suruh pulang juga. Katanya, biar semua orang ada untuk bincangkan hal pinangan Kak Anis tu. Harapnya Kak Anis tak kecewakan emak. Salam sayang dari Zulfa dan emak untuk kalian berdua.
    Zulfa.

    Zarkasyi akan pulang. Jiwanya tiba-tiba berkocak hebat mendengar berita itu. Selama lelaki itu di Sarawak, tidak pernah sekalipun dia pulang ke kampung. Hanya surat dan telefon sebagai talian hayat yang menghubungkan Zarkasyi dan keluarganya. Tapi kali ini akhirnya Zarkasyi pulang juga. Ya., mungkin ini noktahnya perang dingin yang berlaku antara dia dan Zarkasyi. Dalam diam dia mula berdoa di dalam hati agar semuanya selamat seperti sediakala.
    Hujung minggu yang dijanjikan, Anis memandu sendiri ditemani Iyad di sebelahnya. Anak kecil itu kelihatan ceria mahu pulang ke kampung. Sedangkan dia agak berdebar-debar memikirkan pinangan untuknya. Kelihatan Zulfa menyambut mereka dengan senyuman lebar sebaik sahaja Myvi putihnya menjalar di halaman rumah. Matanya dalam diam mengintai-intai laman itu kalau-kalau ada kenderaan asing yang terlebih dahulu tiba sebelumnya. Sebetulnya dia mencari-cari kelibat Zarkasyi, namun tiada. Zulfa menerpa mendapatkan Iyad dari dalam kereta.
    "Wah, Iyad dah besar sekarang! Dah boleh jadi 'bodyguard' mama. Tapi  tak lama lagi akan ada 'big bodyguard' yang akan jaga Iyad dan mama."  Zulfa cuma tersengih bersahaja mengusiknya.
    "Siapa Acik Zulfa?" Iyad yang sudah mula faham percakapan orang dewasa itu menunjukkan minat. Wajahnya tercengang menyambut usikan Zulfa.
    "Iyad nak tahu siapa? Tengok di pintu rumah kita tu betul-betul. Itulah dia yang berdiri sebelah nenek tu!" Iyad pantas menoleh.
    Anis juga menoleh serentak bersama Iyad. Kata-kata Zulfa yang terakhir itu begitu menarik pandangannya untuk melihat sama. Dan tiada kata yang terucap tika itu hanyalah kalimah agung  Tuhan Pencipta rasa.
    Subhanallah, Zarkasyi!

    Tamat.

    Catatan kaki: 
    Cerpen ini tersiar di Majalah Suara Kampus Edisi Taakhi 2010 (Shoubra/Iskandariah/Wilayah Persekutuan) terbitan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 

0 Lintasan Hati :

TERIMA KASIH

Awas!

Dilarang sebarang aktiviti plagiat ke atas artikel di dalam laman ini. Jika itu berlaku, perlu meminta keizinan daripada pemilik laman ini terlebih dahulu.

Si Kandil's bookshelf: read

Manikam Kalbu
Bedar Sukma Bisu
Surat-Surat Perempuan Johor
Daerah Zeni
Dari Salina ke Langit Petang
Bahlut
Lagi Cerpen-Cerpen Underground
Beruk
Seorang Tua di Kaki Gunung
Tukcai
Badai Semalam
Dedaun Hijau Di Angin Lalu
Kau yang Satu
Juzuk
Panji Semirang
Bagaikan Puteri
Hijab Sang Pencinta
Nota Cinta Buatmu
Cinta Pertama
Pesanan Terakhir Seorang Lelaki


Si Kandil Hijau's favorite books »