• SEPUTAR RINGKASAN TEKNIK MENULIS

    Saya jarang menulis tips dan tidak pandai memberi tips menulis kerana saya masih kurang mahir menghasilkan karya hebat tanpa cacat cela. Tapi atas permintaan beberapa rakan yang mahu tips-tips ini, maka saya luangkan juga untuk mencatat beberapa anasir-anasir penting dalam membina sesuatu karya berdasarkan beberapa bibliografi dan dari pengalaman saya sendiri. Sudah lama, tapi baru ini saya dapat tunaikan permintaan mereka. 

    Baik, mari kita mulakan dan semoga bermanfaat. 

    Apabila ingin menulis sesuatu sama ada penulisan kreatif atau ilmiah, perlulah ada elemen penting yang akan dimasukkan untuk membina sesebuah tulisan. Sesiapa sahaja sebenarnya boleh terjun ke lapangan penulisan. Tiada hukum tertentu yang menentukan siapa yang boleh menjadi penulis dan tidak. Pilihan untuk terjun ke dunia penulisan adalah pilihan peribadi yang tersendiri.

    Penulisan kreatif itu merangkumi puisi, cerpen, novel, penulisan skrip, catatan travelog dan lain-lain yang seumpamanya. Manakala penulisan ilmiah adalah sejenis karya yang banyak menggunakan fakta dan punya tema lebih serius berbanding penulisan kreatif.

    Bakat dan Kreativiti

     Semua orang dilahirkan dengan wajah yang tidak sama, begitulah juga bakatnya. Kata orang bakat bukanlah penentu kepada sesuatu kejayaan. Tetapi kata sesetengah orang yang lain, bakat itu penting. Tanpa bakat, anda tidak memiliki apa-apa. Kata orang yang lain pula, bakat hanya 10 persen, yang selebihnya kesungguhan, minat yang mendalam dan lakukan dengan penuh semangat tanpa mempedulikan apa yang orang lain kata.

    Belum cuba, tentu kita tidak menemui jawapannya. Untuk menentukan berbakat atau pun tidak, kenapa tidak tulis dahulu. Selepas menulisnya berkali-kali, membacanya berulang-ulang, memperbaiki di sana-sini  dengan segunung tekun dan sabar, sudah pasti titik akhirnya akan memberikan kesan yang baik untuk penulisan anda. Tanpa ketekunan, kesabaran, kesungguhan, dalam apa kerja pun tidak akan memberikan kesan kepuasan yang memberangsangkan. Bakat anda itu, andalah yang bakal  menentukannya sendiri.

    Apabila ingin menulis, anda mestilah orang yang kreatif. Orang kreatif kebiasaannya akan memiliki kreativiti. Kreativiti itu yang akan berkembang dan bercambah di dalam fikiran. Tetapi, tidak semestinya kreativiti di dalam fikiran yang hebat itu akan melahirkan realiti yang hebat juga.

    Tema

    Tema adalah inti pemikiran yang ingin disampaikan oleh penulis. Sebagai contoh dalam penulisan kreatif ada bermacam-macam tema yang boleh ditulis. Kebiasaannya  adalah tema cinta, kasih sayang, perjuangan, ketuhanan, alam semula jadi, masyarakat, pembangunan, perjuangan/kemerdekaan dan banyak lagi. Pilihlah tema yang hampir dengan anda dan apabila anda ingin menulisnya, tema itu adalah yang sebati dengan diri anda sendiri. Tulislah tema yang betul-betul anda kenali dan gauli.

    Membaca dan Menguasai Bahasa

    Sesebuah penulisan itu baik atau tidak baik terpulang kepada pemilihan bahasa yang dilakukan oleh penulisnya. Adakah bahasanya klise atau sudah basi? Adakah bahasanya segar dan indah? Kejayaan mengadun bahasa itulah yang menjadikan karya yang dihasilkan itu lebih bermutu. Kemahiran berbahasa adalah faktor penting yang menentukan tinggi atau rendahnya tahap menulis seseorang  penulis  itu dalam dunia sastera.


    Contohnya dalam penulisan puisi, bahasa adalah penentu kepada kejayaan seseorang penyair. Kemahiran berbahasa yang tinggi akan meletakkan puisi penyair itu melepasi puisi-puisi penyair lain. Meskipun tema yang sama ditulis oleh ramai penyair dari setiap zaman, namun bahasalah yang membezakan penampilan karya mereka. 

    Jika penyair itu tampil dengan bahasa yang biasa, puisinya akan tertinggal di belakang, dia akan dilupakan oleh khalayak dan sarjana yang mengkaji puisi. Tetapi kalau bahasanya memikat dan memukau, dia akan dikenang lama.

    Ingin menulis sesuatu yang baik, maka anda harus membaca karya-karya pilihan yang baik dan bermutu juga. Bagaimana mahu menghasilkan karya yang baik kalau anda membaca dan membuat rujukan hasil karya yang tidak baik. Percayalah dengan membaca karya-karya yang baik, anda akan menghasilkan karya yang baik juga.

    Membaca, membaca dan membaca karya penulis lain adalah jalan terbaik untuk mempelajari bagaimanakah bahasa yang digunakan oleh penulis lain. Meneliti hasil karya tidak bermaksud kita mahu menciplak atau meniru, tetapi proses itu adalah untuk mempelajari dengan penuh teliti bagaimana dan kenapakah karya mereka baik dan dianggap bermutu. Proses membaca karya terpilih dan bermutu itu akan menjadikan anda sebagai orang kreatif yang juga selektif terhadap karya. Jika banyak membaca dan mengulangkaji karya yang baik, sudah pasti karya anda akan menetaskan karya yang baik juga.

    Di sini, saya bawakan cara menulis kreatif untuk karya cerpen dan sajak sebagai rujukan serba ringkas.

                             CERPEN
             Cerpen adalah prosa yang berbentuk sebuah cerita rekaan pendek atau singkatannya cereka. Cerpen dikatakan pendek kerana ia mempunyai kesan kesatuan tunggal, watak, plot dan latar yang terhad.
    Ciri-ciri Cerpen:
    1.Tema.
           Hanya mempunyai satu tema dari mula hingga akhir cerita dan punya ketunggalan plot (jalan cerita). Tidak ada hal-hal sampingan atau peristiwa-peristiwa yang tidak relevan.

    2. Watak
           Jumlah watak di dalam cerpen adalah sedikit. Tidak mustahil sebuah cerpen itu boleh berjalan ceritanya hanya dengan satu watak penting sahaja.

      3. Latar
          Latar mempunyai 2 jenis iaitu latar tempat dan masa. Kedua-duanya perlu diolah secara singkat dan terhad tetapi padat mengikut penceritaan.

    4.Plot
             Struktur umum di dalam sesuatu plot penceritaan ialah permulaan, pertengahan, pengakhiran krisis, konflik, sorot kembali, suspens, kejutan, ketegangan, dilema, penyelesaian  dan klimaks.

    5. Ayat terakhir
          Ayat terakhir yang berjaya selain menutup cerita, juga mengelak segala kemeleretan dalam sesebuah cerpen. Sebaiknya kita renung sejenak kemudian gunakan ayat terakhir yang dapat mengunci cerita. Panjang pendeknya ayat terakhir tidak menjadi persoalan.

            Kepanjangan sebuah cerpen  lazimnya sekitar  2,000 hingga 5,000 patah perkataan, namun jumlah perkataan yang ideal biasanya ditulis adalah sekitar 2000 patah perkataan sahaja.


    PUISI
           Dalam pemerhatian saya, ramai yang salah tanggapan dengan mengatakan bahawa puisi adalah sajak. Puisi itu  sebenarnya merangkumi sajak, pantun, syair, seloka, gurindam, lirik dan lain-lain yang seumpamanya.

            Imej atau simbol adalah elemen paling penting dalam menghasilkan sebuah puisi yang baik. Setiap simbol itu pula perlu diiringkan dengan sifat untuk imej yang dipilih, yang berkaitan  dan sesuai dengannya. 

          Perhatikan contoh simbol utama dan kata sifatnya yang saling melengkapi yang telah dihitamkan pada sajak di bawah:-

    Pasar Siti Khadijah

    Di hujung sarat kuala kemanusiaan
    yang melepaskan lelah kehidupan
    dalam meriah arusnya
    kulihat wanita dan lelaki tua
    yang membonceng takdir
    adalah peraih gagah dan gigih
    menjual seguni lapar
    membeli seplastik kenyang
    dan melunas hutang sejambak syukur
    dengan harum hamdalah.

    Dan di seberang tebing
    pula kulihat sebuah restoran
    makanan segera mewah
    masih mengurung diam
    kerana pagi ini
    adalah selasa
    yang masih remaja

    Fahd Razy,
    Ogos 2005
    Kota Bharu, Kelantan.

        Simbol puisi di atas adalah tentang sebuah pasar. Apabila menyebut tentang pasar, sudah pastilah perkataan-perkataan seperti peraih, menjual seguni, membeli seplastik, melunas hutang dan lain-lain sangat dekat dengan suasana jual beli di pasar. Sifat-sifat sebuah pasar yang sarat dengan orang ramai yang ditonjolkan oleh penulis puisi ini sangat sejajar dengan simbol yang dipilih dan menjadikan sajak ini sangat puitis dan bermutu.

    ANTARA BAKAT DAN MINAT

    Tidak ada jalan pintas untuk menjadi penulis atau menjadi apa pun. Hanya kesungguhan tanpa meletakkan rasa kecewa dan jemu sahaja yang akan menentukan kita bakal berjaya. Kalau dengan hanya menulis sebuah dua karya, dan dihantarkan ke mana-mana akhbar dan majalah tetapi karya itu tidak disiarkan, lalu kita menjadi amat kecewa. Lupakan kekecewaan kalau ingin berjaya. Sekali melangkah, melangkahlah terus. Seribu langkah terakhir adalah bermula dengan setapak yang pertama.

    Penulis yang bagus adalah penulis yang berhati-hati dalam memilih dan menapis kosa kata yang paling sesuai untuk dimasukkan dalam setiap bait-bait sajak mahupun genre karya yang lain, supaya karya itu tidak nampak seperti karya yang bermutu rendah. Jangan mudah patah semangat untuk terus menghasilkan karya sekiranya karya anda dikritik. Menulis tidak semestinya punya bakat, tetapi yang pasti menulis perlu punya kerajinan dan minat yang mendalam. Jangan sekali-kali takut karya anda dikritik, kerana kritikan itu sebenarnya satu perubahan positif untuk karya anda ke arah yang lebih baik. Percayalah!

    Selamat menulis!
    Susunan oleh ;
    Zuhaida bt Haji Zainon.


                                          

0 Lintasan Hati :

TERIMA KASIH

Awas!

Dilarang sebarang aktiviti plagiat ke atas artikel di dalam laman ini. Jika itu berlaku, perlu meminta keizinan daripada pemilik laman ini terlebih dahulu.

Si Kandil's bookshelf: read

Manikam Kalbu
Bedar Sukma Bisu
Surat-Surat Perempuan Johor
Daerah Zeni
Dari Salina ke Langit Petang
Bahlut
Lagi Cerpen-Cerpen Underground
Beruk
Seorang Tua di Kaki Gunung
Tukcai
Badai Semalam
Dedaun Hijau Di Angin Lalu
Kau yang Satu
Juzuk
Panji Semirang
Bagaikan Puteri
Hijab Sang Pencinta
Nota Cinta Buatmu
Cinta Pertama
Pesanan Terakhir Seorang Lelaki


Si Kandil Hijau's favorite books »