• CERPEN RAMADAN GERHANA DI KOTA FALUJAH

    (Cerpen ini disiarkan di Majalah JOM! edisi Ramadan, Julai/Ogos 2012)  
              Engkau melangut ke langit raya. Retinamu menangkap pandang gugusan bintang yang menaburidada langit kelam tanpa calitan awan. Malam ini sudah empat belas Ramadhan. Bermakna bulan kesayangan umat Muhammad ini sudah kian mampir ke fasa kedua. Bulan separa penuh yang baru muncul masih belum berseri sepenuhnya seperti malam kelima belas nanti. Indahnya malam-malam Ramadhan begini mengingatkan engkau pada kenangan Ramadhan tujuh tahun silam.
    Ramadhan di sini tiada bunyi mesingan mahupun ripuh senjata api yang berlumba memuntahkan ribuan peluru dan tega membenam kulit manusia tidak berdosa. Di sini tiada pemandangan ngeri yang boleh membunuh sebuah keindahan hidup. Tiada kematian yang menenggelamkan sebuah bahagia. Tiada bunyi dentuman yang mengerikan.
    Ilustrasi I oleh: Damilho

    “Abang terkenangkan Falujah?” Engkau cuma tersenyum pahit mendengar suara itu. Usai bersolat tarawikh di masjid berhampiran tadi engkau dan dia menjamu selera bersama. Di sini, jamuan selepas solat tarawikh dipanggil ‘moreh’. Dan kekenyangan itu membawamu ke anjung rumah secara diam-diam, menikmati gusar peristiwa lampau yang sering menghambat jiwa. Ketenangan yang engkau rasai kini adakalanya penuh dengan sesalan dan rasa bersalah yang bersawang di benakmu.
    Engkau ketika itu masih seorang anak muda berusia 25 tahun. Punya ijazah dalam jurusan Qiraat Al-Quran dari sebuah universiti di Iraq. Dan Falujah, tempat kelahiranmu persis sebuah kota cendekiawan Islam kerana menghamili puluhan dan mungkin juga ratusan anak muda yang menghafaz al-Quran. Juga ibarat sebuah empayar sebaran ajaran Islam dalam payungan rahmat Allah. Di ceruknya juga punya ramai penganut Sunni dan orang-orang alim yang membuka tempat pengajian agama. Maka di situ tercetus segala-galanya.
    Engkau mengusap mata tiba-tiba. Ada airmata yang tak bisa dibendung. Sebak di dada mengundang duka yang berladung di kolam jiwa. Lalu tumpah perlahan meniti tubir mata. Bagi engkau kenangan yang ada di sana tidak boleh ditukar ganti dengan segunung emas biarpun hakikatnya nasib umat di sana terlalu menderita. Sehingga kini engkau hanya mampu menatap penderitaan yang panjang tentang daerah kelahiranmu dari kaca televisyen.
    “Umat Islam di akhir zaman ini umpama hidangan yang sedang menunggu masa untuk disantap, Zulfa!” Nada suaramu lemah namun ada jalur kemarahan di situ. Zulfa bingkas bangun dari kerusi rehat mendekatimu. Mengusap airmata lelakimu yang kerap tumpah saat setiap kali Ramadhan menjengah saban tahun kebelakangan ini.
              “Zulfa mengerti perasaan abang. Sangat mengerti!” Dalam samar kelam malam, engkau merenung wajahnya dengan perasaan pilu.
              “Falujah mereka gelarkan sebagai sarang pengganas. Ya, mereka begitu bacul sehingga menggelarkan Falujah begitu. Tuduhan tidak berasas itu begitu menyalakan api di jiwa umat Falujah. Bahkan media barat mereka turut menjaja pada satu dunia bahawa bumi kami dihuni ratusan pengganas! Sedangkan kami cuma sekumpulan ilmuan dan anak-anak muda yang taat beragama! Nah, sampai sekarang bangsa keparat itu gagal membuktikan tuduhan mereka pada Falujah. Sedang bumi kami sudah hancur.” Suara engkau kedengaran keras.
             “Kelompok manusia kafir seumpama mereka itu memang selalu bertelagah tetapi mereka bersatu dalam hal menentang Islam. Seluruh dunia Islam tahu mereka punya taktik kotor yang menunjangi tindakan keji mereka pada kita.” Cetus Zulfa seakan-akan memberi engkau satu semangat luar biasa.
              Engkau mengangguk perlahan. Benar kata Zulfa tapi berapa banyak dunia Islam yang menghiraukan dan menghulur bantuan pada penindasan sebegini?
              Falujah! Sebuah kota yang berlokasi empat puluh tiga mil di sebelah Barat Baghdad itu jadi saksi bahawa peristiwa 28 April 2003 adalah salah satu kejahatan perang paling mengerikan dalam sejarah dunia Islam. Iraq bermandi darah di lantai bumi sendiri. Mungkin ini adalah kronologi sasar politik Amerika terhadap Iraq setelah krisis minyak lebih suku abad dahulu. Tidak mustahil itu penyebabnya selain Islamisme Sunni yang teguh berakar di situ.Kota itu menyaksikan ribuan nyawa yang digadai demi agama.
             Engkau masih lagi terbayang peristiwa-peristiwa hitam yang menggugat ketenangan bumi bertuah Falujah. Betapa keganasan yang bermaharajalela itu telah melenyapkan segala-galanya yang menjadi kepunyaanmu. Kekejaman yang menghunjam nadi bumimu itu sekaligus mematikan juga nadi semua orang kesayanganmu.
             Bilah-bilah hari yang dilalui terasa begitu sempit dan tersiksa pasca tembakan buta – tuli divisyen Amerika ke sebuah sekolah tempatan. Dua ratus jiwa terkorban tanpa alasan.
            Engkau terkenang wajah dua adik perempuanmu yang manis. Berbahagialah mereka sangat engkau dan keluarga meratapi pemergian abadi itu. Jasad mereka dijumpai longlai bersama lohong-lohong peluru yang memakan isi dan kulit mulus mereka. Saat engkau dan teman-teman seperjuanganmu tegar menggempur Angkatan Darat Amerika mempertahan daulah sendiri, adik dan abangmu menjadi mangsa lilitan butir peluru anjing pengganas itu. Mereka syahid.
            Ibumu yang sudah lelah berteman airmata setiap kali kematian bertandang cuma tersenyum menerima khabar pilu itu. Engkau kaget. Ibu merelai pemergian mereka dengan aman! Oh, ibu! Moga abang dan adik-adikku bahagia tersenyum di sana atas takdir mereka itu.
           “Bumi Falujah bagai gula di tengah kepanasan yang mencair saat white phosphorus dilontar sewenang-wenangnya. Tahukah dunia bahawa bom kimia itu juga yang pernah menjarah keharmonian Palestin sepanjang tiga tahun lalu? Bom itulah yang menjadi makanan sel dalam tubuh umat Falujah sehingga sekarang. Malah impaknya lebih teruk daripada senjata yang diguna Amerika ketika pengeboman Hiroshima dan Nagasaki.”
            Engkau masih merenung pekat malam.
    Ilustrasi II oleh : Damilho


            “Ramadhan kami tidak seindah yang diharapkan. Kami berpuasa walaupun dalam tempoh darurat. Mata kami digalah ketakutan untuk lelap. Perut kami hanya diisi dengan debu runtuhan bangunan. Namun, Allah tetap memberi kami kekuatan untuk meneruskan hidup!”
            Zulfa binti Salahuddin Ayyub, seorang graduan dalam bidang Sains Kejuruteraan Kimia lepasan Universiti Colorado. Engkau tidak pernah bermimpi akan menikahi seorang gadis Melayu yang menyandang jawatan jurutera kimia di ibu kota itu.
              
              Semilir dingin bagai curi-curi menghembus tubuh agammu. Tiba-tiba kedinginan kecil itu membawa engkau dalam rindu yang pedih pada figura seorang ibu. Wanita terulung dalam hidup engkau itu akhirnya pergi mengadap Ilahi dalam derita tak tertahan kerana parah kanser. Airmata engkau menitik lagi.
              “Ibu pula pergi kerana kanser gara-gara white phosphorus yang telah sebati dalam tubuhnya. Bukan sahaja ibu malahan keseluruhan warga tua dan pemuda-pemudi Falujah sejak tragedi itu menghidapi kanser dan leukemia yang mengerikan. Golongan wanita muda Falujah pula menjadi takut untuk mempunyai anak kerana setiap kelahiran, bayi-bayi dikurniakan kecacatan yang aneh. Yang lahir tanpa kepala, dua kepala, satu mata di dahi, tubuh bersisik atau lebih kasihan mereka hilang anggota badan.” 
                 Di mata engkau kini terbayang wajah seorang anak kecil yang lahir cacat tanpa tangan yang pernah engkau saksikan satu ketika dulu.
                “Menurut pembacaan yang Zulfa hadami, white phosphorus ini boleh mengakibatkan kecederaan dan kematian melalui tiga cara, bukan? Iaitu melalui kebakaran yang membakar jauh ke dalam tisu tubuh. Kedua, dengan cara menghidunya dalam bentuk asap dan ketiga dengan cara menelannya. Dan sejak tragedi pengeboman Ghazzah dua tahun lalu ia telah diharamkan di seluruh dunia kerana telah menyebabkan kebakaran yang dahsyat di sana.”         
              “Benar Zulfa. Tapi pengharaman itu terlalu lewat setelah ribuan jiwa Islam tidak berdosa menjadi korban. Apa yang abang kesalkan, pihak Pentagon Amerika tanpa langsung rasa bersalah menegaskan tiada bukti yang menunjukkan setiap kecacatan dan penyakit lain yang dihidapi itu berkaitan dengan pengeboman itu. Semuanya bagai dikunci mulut. Kuasa veto milik mereka. Dan orang Islam terus ditindas!” Suara engkau lirih di pendengaran. 
                   Zulfa di sisimu terus setia mendengar. Wanita itu baru dinikahimu enam bulan lalu. Namun engkau terasa sudah bertahun mengenalinya. Benar, jodoh ini memang untukmu. Biar budaya dan bangsa tidak sealiran tapi engkau yakin jodoh ini ditemukan atas dasar akidah yang ulung.
                  “Apabila segala-segala yang menjadi kesayangan abang pulang pada sang Pencipta, abang nekad mahu keluar dari serangan Amerika yang terus-terusan membelenggu. Yang tinggal di situ cuma kenangan dan kasih sayang abang untuk Falujah. Abang berjaya melepasi Iraq tiga tahun selepas peristiwa hitam itu menuju ke Makkah dengan harapan munajat dan doa abang untuk kesejahteraan Falujah kembali. Selebihnya abang mahu mencari damai di halaman Baitullah. Di situ rupanya kehidupan kedua abang bermula.” 
                  Tampang Tan Sri Salahuddin menjelma tiba-tiba. Engkau sedang beriktikaf di Masjidil Haram menyimpul doa yang tidak putus untuk Falujahmu seusai menunaikan Isyak bersendirian. Sudah lebih seminggu engkau di tanah haram itu. Benar ketenangan yang engkau cari-cari ditemukan di situ. Selesai mengaminkan doa, ada tangan yang menghulur untuk bersalam di sisimu. Engkau cuma tersenyum menyambut ukhuwah itu.             
               “Saya Salahuddin Ayyub dari Malaysia. Saudara?”
                  “Thoha. Thoha Rasydi. Warganegara Iraq.”
                   Engkau mengamati wajah itu. Agak dimakan usia dan mungkin sebaya almarhum ayahmu. Namun kejernihan wajah dan luhur budi bicaranya menambat hatimu untuk terus mendekati. 
                    Malaysia, benarlah mereka dikenali sebagai ahsannas yang kerap engkau dengari dari teman-teman yang pernah berhijrah ke Republik Mesir yang dihuni ramai orang Asia. Mereka punya tingkah laku dan percakapan yang lembut berhemah. 
                    Engkau mula berkisah tentang Falujah yang membawamu ke tanah haram. Tentang tanah ibundamu yang musnah dipercik mortar rejim Amerika. Tentang saudara-saudaramu yang terkorban syahid. 
                    Tentang umat Falujah yang menderita sakit dan punya kecacatan luar biasa itu. Airmatamu tumpah setiap kali menyalin kembali rentetan tragedi maha hebat yang engkau dan umat Falujah harungi.Sejak itu, engkau mula akrab dengan Tan Sri Salahuddin dan rakan-rakan perniagaannya yang turut serta dalam rombongan umrah mereka. Padamu, Tan Sri Salahuddin berjanji akan menghulur bantuan. Sebagai menunaikan janjinya, engkau dibawa pulang ke Malaysia bersama dan urusan kewangan hidupmu ditanggung lelaki itu.
                     Bermula detik itu, engkau memulakan kehidupan baru di Malaysia sebagai pensyarah bahasa al-Quran di sebuah universiti antarabangsa di ibu kota Kuala Lumpur. Engkau mula berdikit-dikit mengakrabi bahasa Melayu dan mula selesa dengan suasana Malaysia. 
                     Namun adakala hatimu rapuh jua bila terkenang nasib umat Falujah. Lalu engkau tidak lupa mengutusi baki teman-temanmu melalui kantung emel. Engkau tidak jemu bercerita tentang Malaysia dan menyeru mereka untuk berhijrah ke Malaysia. Ada juga emelmu yang tidak mendapat balasan dan engkau pantas mengerti bahawa mereka sudah terkorban. 

    Ilustrasi III oleh: Damilho 


               “Dan selepas mengenali ayah Zulfa, kita ditemukan. Rupanya dia punya perancangan sendiri. Sungguh abang tidak menduga kita bakal disatukan selepas pertemuan pertama kita setahun lepas.” Engkau membibit senyum kembali, menyapu bersih wajah isterimu.
               “Zulfa juga tidak menyangka ayah akan menyatukan kita. Ganjilkan percaturan Allah? Dan Zulfa terima dengan rela hati tanpa paksaan kerana Zulfa tahu ayah selalu memilih yang terbaik untuk Zulfa!” Senyum Zulfa mengubat tangis hiba di hati engkau yang lama bertandang.
                  “Andaikata abang ingin pulang ke Falujah menebus semula keselesaan abang di sini sedang saudara - saudara abang di sana menderita, Zulfa izinkan?” 
                    Engkau tidak pasti adakah itu satu ujian ketabahan untuk Zulfa atau kerelaan hatimu sendiri untuk ke sana.
                   “Bukankah Allah telah menjanjikan yang baik-baik untuk para syuhada’ dalam Surah Ali Imran; Jangan sekali-kali engkau menyangka orang yang gugur syahid pada jalan Allah itu mati tetapi mereka sebenarnya hidup di sisi Tuhan. Mereka bergembira dengan kurniaan mati syahid itu, dan mereka juga bergembira dengan berita mengenai saudara seislam yang sedang berjuang tapi masih tertinggal di belakang. Dan tidak ada kebimbangan dan kesedihan bagi mereka bahkan mereka bergembira dengan balasan dari Allah.” 
                   Zulfa memandangmu dengan mata bersinar.
                 “Ya, Zulfa izinkan kerana di sana jiwa abang bersemadi dan kenangan abang tertanam di dalamnya. Selama mengenali abang melalui ayah, Zulfa belajar erti perpisahan dan keperitan hidup. Dan selama itu juga, Zulfa banyak meladeni kisah – kisah perit saudara seakidah kita. Saudara-saudara di bumi abang dan sekitarnya. Zulfa tidak gentar dengan apa yang bakal berlaku kerana itu jiwa pejuang seorang Falujah seperti abang dan saudara abang yang telah syahid.”
                    Matamu kembali bergenang mendengar tutur Zulfa yang kaurasakan tulus dari hati itu. Keharuan di hati menerbitkan rasa syukur pada-Nya. 
                    Allahu Rabbi, andai aku telah tiada nanti, Kau bimbinglah dia untuk terus berteman ketabahan!
    Moga gerhana di Falujah juga akan berlalu.

    Tamat.
    Glosari :-
    Daulah – kerajaan
    Ahsannas – manusia terbaik
    White phosphorus – fosforus putih, sejenis bom dari bahan kimia yang merbahaya.

0 Lintasan Hati :

TERIMA KASIH

Awas!

Dilarang sebarang aktiviti plagiat ke atas artikel di dalam laman ini. Jika itu berlaku, perlu meminta keizinan daripada pemilik laman ini terlebih dahulu.

Si Kandil's bookshelf: read

Manikam Kalbu
Bedar Sukma Bisu
Surat-Surat Perempuan Johor
Daerah Zeni
Dari Salina ke Langit Petang
Bahlut
Lagi Cerpen-Cerpen Underground
Beruk
Seorang Tua di Kaki Gunung
Tukcai
Badai Semalam
Dedaun Hijau Di Angin Lalu
Kau yang Satu
Juzuk
Panji Semirang
Bagaikan Puteri
Hijab Sang Pencinta
Nota Cinta Buatmu
Cinta Pertama
Pesanan Terakhir Seorang Lelaki


Si Kandil Hijau's favorite books »