• JALAN TAKDIR INI



    Sudah lama tidak menulis. Saya terlalu rindukan suara-suara jari sendiri apabila melihat jidar hijau kesayangan ini. Biarlah walau tiada apa-apa yang menarik untuk dinukil, namun saya gemar menatap tulisan sendiri. Jari ini terasa semakin kaku kerana ilham seolah-olah diserang garuda. Kucar-kacir jadinya dunia saya. Terasa berantakan. Tidak tahu mengapa! Keliru mencari identiti barangkali.

    Ya, saya tahu. Apa sahaja yang berlaku pastinya ada sebab dan musababnya. Atur letaknya hanya pada diri sendiri. Bukan sebab siapa-siapa. Bebanan kian memberat dengan jumlah subjek peperiksaan semester ini berjumlah 10 mata pelajaran. Jika disuruh mengira-ngira nama subjek yang sepuluh itu pun masih tidak lepas. Ada saja yang terlupa. Saya sendiri tidak faham kenapa dan bagaimana semester ini menjadi sebegitu banyak subjek. Sedangkan pada semester sebelum ini cuma 5 subjek. Seperti dacing yang berat sebelah. Terlalu tidak seimbang. Namun, saya harapkan diri ini tetap tegar menerima dugaan ini sampai ke penghujung biar saya masih nampak jalan di hadapan yang berkabus. Saya tidak berani menjamin apa-apa yang menggembirakan tahun ini. Bimbang kekecewaan akan lebih parah daripada yang dulu. Apa yang mampu saya lakukan saat ini, hanya menumpahkan seluruh rasa hati saya pada Sang Pencipta rasa. Kerana Dia yang menemukan saya dengan jalan hidup saya sekarang atas kehendak sendiri. Kerana Dia yang memberi saya rasa akibat pilihan ini dan Dia yang mampu memberi penawarnya. Dia yang sering membolak-balikkan hati-hati hamba-Nya mengikut rencah semasa. Sungguh Dia yang lebih mengetahui apa yang tersirat di hati. Dan saya sering mengingatkan diri bahawa hati itu perlu dijaga dan ditatang sebaik-baiknya agar tidak terluka. Baik kerana perbuatan diri sendiri ataupun orang lain.

    Hati itu seperti jeli... benarkah?



    Kalau diikutkan situasi sekitar empat tahun ini semangat saya sudah patah melihat teman-teman seangkatan sudah pulang ke tanah air. Kisah teman-teman saya itu punya rencah tersendiri. Punya rasa pahit, pedas, pijar masam dan manis. Ada airmata dan gembira. Cukuplah merasa semangat utuh mereka kadang-kadang, namun ia kuat berpengaruh dalam diri biarpun sedikit. Itu dulu, ketika mereka masih ada. Sekarang hanya kata-kata semangat mereka yang menemani saya melalui sms atau YM. Itulah kawan-kawan seperjuangan. Hanya yang merasa tahu, betapa susahnya mahu menjaga hati sendiri agar tabah di rantau. Mahu mengembalikan semangat dalam diri yang selalu turun naik. Yang memandang tanpa merasa, hanya mudah mengkritik tanpa memahami. Persepsi itu perlu dikikis. Dugaan setiap manusia itu tidak sama. Jatuh bangun hidup kita tidak sama rasanya antara yang merasa dan yang cuma memandang peristiwa.

    Berusaha menjadi seorang makhluk Allah yang berjaya tidak semudah yang diidam-idamkan. Ketahanan jiwa, kesungguhan yang selalu diganggu, semangat yang sering diperkotak-katikkan dan masalah-masalah lain yang mengganggu-gugat duduk letaknya sebuah ketenangan sering bertandang. Puas ditepis namun ia seperti anak panah yang meluru ketika berperang. Ya, inilah salah satu bentuk jalan takdir-Nya. Berjuang menuntut ilmu-ilmu-Nya bukan seperti meminta sedekah. Tiada kejayaan yang datang bergolek seperti peminta sedekah yang senang-senang dilontar syiling di atas tapak tangannya tanpa mahu berpenat-lelah bekerja. Sesungguhnya Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan dengan kemahuan dan usaha sendiri.

    Berada di pihak-Nya, moga hati-hati kita semua akan tetap dipegang-Nya. Manakala di pihak kita, biarlah tali kasih-Nya yang selalu ada itu selalu kita pegang. Kejap. Jangan lepaskan kerana hati-hati manusia ini akan mudah berkarat dan hitam jika terlepas dari bimbingan-Nya. Kerana tiada siapa pun tahu akan jalan takdirnya selain Dia.


    Menghendaki sesuatu hanya kerana tidak ada jalan lain, adalah tindakan seorang hamba. Menghendaki sesuatu hanya kerana tiada kesulitan, adalah cara tindakan seperti haiwan. Menghadapi sesuatu biarpun ada kesulitan, adalah cara tindakan manusia yang berakal budi. Sedangkan menghendaki sesuatu walaupun ada kesulitan di dalamnya kerana berpegang teguh pada suatu cita-cita yang luhur, itulah cara tindakan seorang pahlawan.

    Mari menjadi pahlawan!

2 Lintasan Hati :

  1. Zaher berkata...

    pulun...jangan x pulun...semaua sama ja..

  2. Usaha sehabis mampu...insyaAllah berjaya...man la yazuq la yadri :)

TERIMA KASIH

Awas!

Dilarang sebarang aktiviti plagiat ke atas artikel di dalam laman ini. Jika itu berlaku, perlu meminta keizinan daripada pemilik laman ini terlebih dahulu.

Si Kandil's bookshelf: read

Manikam Kalbu
Bedar Sukma Bisu
Surat-Surat Perempuan Johor
Daerah Zeni
Dari Salina ke Langit Petang
Bahlut
Lagi Cerpen-Cerpen Underground
Beruk
Seorang Tua di Kaki Gunung
Tukcai
Badai Semalam
Dedaun Hijau Di Angin Lalu
Kau yang Satu
Juzuk
Panji Semirang
Bagaikan Puteri
Hijab Sang Pencinta
Nota Cinta Buatmu
Cinta Pertama
Pesanan Terakhir Seorang Lelaki


Si Kandil Hijau's favorite books »