• RAYA SAMBIL MAKAN ANGIN

    Salam Idulfitri untuk semua pembaca laman ini dengan harapan Ramadhan dan Syawal tahun ini memberi sinar baru dalam hidup kalian. Juga untuk saya. Saki baki Syawal di rantau masih terasa meriah biar tidak semeriah suasana raya di tanah sendiri. Kuliah sudah dibuka tapi masih tidak serancak mana. Biar berhari raya di bumi Musa ini cuma ala kadar, tapi hati terasa bertuah kerana dapat melihat rutin bangsa arab beraya di sini. Cara mereka menyambut Ramadhan dan Syawal sungguh berbeza dengan cara sambutan orang Melayu. Mereka lebih meyambut meriah ketibaan Ramadhan daripada Syawal.

    Teringat pada malam hari raya baru-baru ini, kelam-kabut juga dibuatnya kerana tidak langsung mendengar bunyi takbir dari masjid kawasan rumah saya selepas Maghrib dan Isyak. Macamana tidak kalut kalau semua bahan-bahan untuk rendang, lontong dan nasi impit sudah sedia. Cuma tunggu untuk dimasak saja. Padahal kalau di Malaysia memang sudah dengar takbir di radio, televisyen dan masjid-masjid di kampung pada malam raya. Tapi di sini sambutannya tidak seperti di Malaysia. Nasib baik ada pengumuman raya di televisyen selepas Isyak. Mujur lagi, kalau tidak habis basi semua makanan sementara tunggu raya tiba. Hehe!



    Daun kunyit dan serai 'slim' yang ditanam di balkoni sebab tak cukup tanah untuk dibuat rendang.


    Biskut raya buatan sendiri. Ada biskut Ros(yang warna kuning tu tapi nama dia Ros. Hehe!) Biskut Mazola, Biskut Kayu Buruk dan Kacang Botak
    Biskut Almond London

    Juadah raya ala kadar tapi lengkap sebab ada kuih raya, kek coklat, kuah lontong, nasi impit, sambal ikan bilis, kuah kacang dan rendang ayam. Syukur..!


    Selesai solat raya, masing-masing bertebaran dengan tugas masing-masing pula. Rasanya orang-orang Islam asing Asia sahaja yang menyambut meriah Idulfitri ini sampai berhari-hari sedangkan orang-orang arab kelihatan cuma seperti hari-hari biasa. Tiada istilah berbaju raya kasut raya, tudung raya dan juadah raya seperti kita. Tapi itulah manisnya beraya di rantau. Percampuran antara adat dan cara kita dengan bangsa di rantau yang kontra ini secara tidak langsung memberi satu rasa yang indah bercampur sayu dan rindu pada tanah air. Cukup bersama teman-teman seperjuangan dari seluruh Malaysia, bersama menikmati nikmat Idulfitri anugerah-Nya walaupun tanpa keluarga di sisi.

    Kaki lima yang dihampar karpet menghala arah kiblat jadi tempat solat raya setiap tahun di sini.
    Usai lima hari raya, saya dikunjungi teman-teman seperjuangan yang teringin bercuti dan menikmati angin laut Kota Iskandariah ini. Dah jadi macam raya orang arab pulak. Berhari raya sambil-sambil makan angin. Apapun, memandangkan saya bukan jenis yang suka bersiar-siar, memang elok sangat ada yang datang berkunjung ke rumah untuk makan angin di sini. Paling tidak, inilah cara saya keluar bersiar-siar secara tidak langsung..(+_+).. daripada terperap dalam rumah jadi katak. Tempat pertama yang dikunjungi ialah Mansyiah iaitu tempat membeli-belah yang terkenal di Iskandariah. Barang-barang yang dijual di sini adalah dari hujung rambut sampai hujung kaki. Buah-buah kering dan berjenis-jenis kacang pun ada. Belum termasuk batu permata lagi . Tapi teman-teman saya datang semata-mata untuk membeli kain dibuat tudung sahaja. Macam-macam warna ada. Lebih dari warna-warna pelangi. Semuanya jadi gila warna apabila tiba di kedai tudung. Akibatnya sampai rumah malam sebab ralit sungguh tilik warna tudung. Perempuan! Perempuan!

    Hari seterusnya pusing-pusing Taman Bunga Muntazah biarpun musim bunga sudah lepas. Empat jam berjalan kaki di dalam taman itu. Tak hairanlah sebaik saja pulang dari situ saya terus sapu minyak panas kerana lenguh kaki yang melampau disebabkan taman itu mempunyai keluasan 155.4 hektar. Yang menariknya taman itu adalah kepunyaan keluarga diraja Mesir ketika Mesir di bawah pemerintahan Raja Farouk. Di dalamnya juga tersergam sebuah istana milik Raja Farouk sebelum kejatuhannya. Sekarang istana tersebut dijadikan tempat persinggahan mana-mana delegasi dari luar negara. Kawasan taman yang serba indah di sekitarnya kini sudah menjadi tempat percutian rakyat Mesir dengan bayaran masuk sebanyak LE 6 seorang.

    Selat Mediterranean

    Pemandangan pantai Muntazah dalam Taman Istana

    Selepas asar pula, kami ke Makmoorah untuk berbasikal. Sebuah basikal disewa dengan harga LE5 untuk satu jam. Kawasan ini sebenarnya sebuah petempatan terancang seperti bandar dalam taman. Ada juga disediakan tempat 'fun fair' yang beroperasi pada waktu malam. Kami berbasikal sehingga sampai ke satu tempat pesisir pantai Makmoorah yang indah dengan laut yang biru dan chalet-chalet bertingkat yang comel. Desiran angin laut Mediterranean yang sudah mula meremangkan bulu roma (angin musim sejuk) memang menenangkan. Teringat zaman kanak-kanak dulu bila sedang kayuh basikal. Memang terburai semua tekanan. Rugi rasanya kalau sesiapa yang berkunjung ke Iskandariah tak naik basikal tepi pantai...^_^...

    Sekarang musim sejuk sudah menjengah. Lepas ni tak ada peluang nak berbasikal sebab cuaca tak sesuai. Sesiapa yang teringin nak naik basikal eloklah pergi sekarang sementara belum betul-betul sejuk. Lepas ni jom pakat-pakat ke kuliah ye! Kullu sanah wa antum thoyibiin.

2 Lintasan Hati :

  1. salam akak...waaaa...bestnya beraya kat sana..jeles yin membacanya...teringin sangat nk melawat tempat2 disana...ehehhe...

  2. hik2! nanti pas kawen kalau yin nak dtg haneymoon sini ok arr..kita kontek2. tu pun kalau akak masih wujud di sini..;0

TERIMA KASIH

Awas!

Dilarang sebarang aktiviti plagiat ke atas artikel di dalam laman ini. Jika itu berlaku, perlu meminta keizinan daripada pemilik laman ini terlebih dahulu.

Si Kandil's bookshelf: read

Manikam Kalbu
Bedar Sukma Bisu
Surat-Surat Perempuan Johor
Daerah Zeni
Dari Salina ke Langit Petang
Bahlut
Lagi Cerpen-Cerpen Underground
Beruk
Seorang Tua di Kaki Gunung
Tukcai
Badai Semalam
Dedaun Hijau Di Angin Lalu
Kau yang Satu
Juzuk
Panji Semirang
Bagaikan Puteri
Hijab Sang Pencinta
Nota Cinta Buatmu
Cinta Pertama
Pesanan Terakhir Seorang Lelaki


Si Kandil Hijau's favorite books »