• DALAM SEBUAH DENAI KENANGAN


    "Rupanya wan dah tak ada. Tidak pasti ini sudah kali ke berapa aku terkenangkan ketiadaannya. Memikirkan masa silam ketika dia masih berdiri di atas muka bumi ini, aku terkenangkan piring dan cawan kopinya, pinggan nasinya, bunyi deruman motosikal EX5 kepunyaannya, kain pelikatnya, baju kemeja melayunya, batuk-batuk suara tuanya, dan segala-galanya tentang dia. Semua itu sudah tinggal kenangan yang ada padanya. Hakikat dasarnya, aku rindukan dia. Terkenangkan dia, mataku sering memandang kedua-dua tapak tanganku. Kenapa? Kerana tangan ini tidak sempat menyentuh tangan kedutnya sebelum hembusan nafas terakhirnya. Aku masih terkenang kali terakhir tanganku menyentuh jari-jarinya empat tahun lalu. Hingga saat ini hanya itu yang mampu kubawa dalam kenangan paling akhirku bersama dia. Cuma itu yang terakhir. Tak ada yang lain selepas itu. Selepas senja terakhir 21 September 2006. Rupanya itu kali terakhir aku memandang wajah wan dan merasa sentuhan jemari kerasnya. Ketika itu aku hanya menahan airmata ini gugur di hadapannya kerana aku telah berikrar tidak mahu menangis di hadapan siapa-siapa pun atas pemergian aku ke seberang laut. Aku mahu nampak kuat dan tabah di hadapan semua orang. Dan airmata yang seringkali berjatuhan selepas dua tahun pemergian wan ini kuanggap sebagai kaffarah atas keegoan airmataku dahulu.

    Baru kini aku sedar bahawa aku tidak dapat lagi merasa sentuhan tapak tangannya. Bila aku pulang nanti, aku sudah tidak dapat membancuh kopi untuknya apatah lagi mahu mendengar suara emasnya memuji keenakan kopi buatanku seperti selalu. Bila aku pulang nanti, aku sudah tidak dapat mendengar batuk-batuk kecilnya pada setiap malam kalau dia bersantai di kerusi besi luar rumah merenung malam. Sudah tidak dapat melihat kelibatnya pulang dari sawah bersama kain tanjak di kepala dan cangkul di bakul motosikalnya. Masih terakam gagahnya wan mencangkul tanah di kebun, menajak semak- samun di dusun, mengerjakan sawah yang luas. Dia adalah lelaki yang penuh dengan prinsip yang kuno di pandangan anak cucu. Namun prinsip kuno itulah yang membawa rezeki untuk anak cucunya selama ini. Aku tidak pernah sekalipun melihat dia menitiskan airmata atau mendengar keluhan putus asa dari bibirnya. Yang aku tahu dia hanya punya barisan ayat berisi ketegasan dan kekuatan di dalam jiwanya.



    Aku terkenang lagi. Dia begitu gemar makan sup tulang terutamanya pada setiap kali dua hari raya. Semua orang tahu itu. Gulai ikan haruan atau keli campur keledek air tangan tok, sambal belacan dan kopi pekat. Percaya atau tidak, setiap bulan kelibatnya pasti menjadi tamu dalam tidurku. Dia datang bersama kopiah putih, kemeja melayu putih dan kain pelikat putih. Dia berada di kalangan anak cucunya tanpa sebarang kata dan cuma memerhati kami. Aku percaya rohnya selalu di sisi kami.

    Saat airmataku luruh dan hatiku rapuh begini, aku ingin sekali berlari menyorok di sebalik waktu yang ligat berputar. Ya, berada di belakang waktu untuk sementara dengan harapan, apabila mataku dipejam, aku akan kembali melewati masa-masa lalu. Agar dapat waktu itu membawaku bersama-sama wan sehingga ke detik terakhir untuk berbakti padanya. Aku tahu, dia terkenangkan aku yang tidak akan sempat bertemu mata saat ajalnya qarib. Dia sudah tahu itu! Dia sudah tahu apabila aku pulang nanti, dia tidak akan ada lagi untuk melihat tampangku bersama kejayaanku, dia takkan ada lagi menunggu aku pulang di kerusi malasnya sambil menghisap rokok daun. Dan tidak akan ada dirinya lagi untuk aku berjabat tangan saat aku kembali semula ke daerah kenangan itu nanti.

    Biar itu cuma ilusi sebuah kenangan, aku akan tetap mengenangnya sampai bila-bila! Di ruang hati yang paling dalam. Biar aku tahu aku hanya akan menemui sepasang batu nisan yang terukir namanya pada saat kakiku kembali menjejak daerah kenanganku itu nanti."

2 Lintasan Hati :

  1. kak muteh berkata...

    itulah harga yang perlu dibayar bila kita berhijrah...
    tapi kalau dah rezeki, mcm kak walaupun jauh ada kat sisi dia sampai habis nyawa..yang dok jaga wan selama dia sakit tak dapat jumpa dia di saat2 habis nyawa diaa

  2. Ya,,harga sebuah hijrah yg sudah terbayar bukan dibayar. Nak balikkk.......wawawawa!

TERIMA KASIH

Awas!

Dilarang sebarang aktiviti plagiat ke atas artikel di dalam laman ini. Jika itu berlaku, perlu meminta keizinan daripada pemilik laman ini terlebih dahulu.

Si Kandil's bookshelf: read

Manikam Kalbu
Bedar Sukma Bisu
Surat-Surat Perempuan Johor
Daerah Zeni
Dari Salina ke Langit Petang
Bahlut
Lagi Cerpen-Cerpen Underground
Beruk
Seorang Tua di Kaki Gunung
Tukcai
Badai Semalam
Dedaun Hijau Di Angin Lalu
Kau yang Satu
Juzuk
Panji Semirang
Bagaikan Puteri
Hijab Sang Pencinta
Nota Cinta Buatmu
Cinta Pertama
Pesanan Terakhir Seorang Lelaki


Si Kandil Hijau's favorite books »