• SESUATU DARI MASA SILAM I



    Pesawat Egypt Air selamat mendarat di tanah air pada pukul 4.15 petang waktu Malaysia. Sembilan jam di dalam penerbangan tanpa transit, rasa sayu menyelubungi hati tiba-tiba apabila terpandang awan mendung yang meyambut kepulangan saya setelah empat tahun di seberang Mediterranean. Entah mengapa, saya memang menggemari suasana begitu sebenarnya sedari kecil. Ia menghadirkan satu rasa di jiwa yang saya gelarkan 'basah-basah hati'. Basah-basah hati saat itu begitu bermakna untuk saya! Ketika kaki melangkah keluar dari pintu raksasa bersayap dua itu, hujan renyai-renyai yang amat saya rindui di bumi Malaysia ini mula merintik gugur. Tidak tahu bagaimana mahu digambarkan rasa di hati. Pemandangan permai Malaysia yang sejuk dan dingin dengan kehijauan yang memukau itu akhirnya dapat saya tatapi semula kini. Dan satu- satu panggung kisah silam mula melayari minda secara rawak.

    Alhamdulillah, saya selamat sampai di rumah

     
    pada hening subuh 28 Ramadhan - 7 September. Lebih empat jam menunggu bas ekspress di Hentian Duta, Kuala Lumpur dan lima jam pula di atas bas menuju ke Kedah- kerana tiket penerbangan domestic yang agak mahal dan kadar timbangan yang tak dibenarkan- Penat usah ditanya, tapi alah bisa tegal biasa. Rahmat-Nya itu di mana-mana dan saya bersyukur kerana semua destinasi dituju dengan selamat biar memakan masa. Sepanjang perjalanan dalam pekan kecil daerah saya, saya agak tercengang memandang perubahan pekan dan desa kelahiran. Banyak yang berubah. Contohnya jalanraya di hadapan rumah saya sendiri sudah dinaiktarafkan menjadi jalanraya dua hala yang menyerupai 'highway' - sudah luas dan senang mata memandang - Juga adik-adik yang sudah sama tinggi malah lebih tinggi dari saya sebenarnya dan anak-anak saudara yang sudah bertambah.


    Kembar Faiq dan Faid yang semakin montel.
    Foto tengah- Faqihah yang tertidur letih ketika menonton kartun.

    Saya mula terpanggil untuk menyelongkar barang-barang lama. Saya gemar menyimpan sesuatu yang punya 'sentimental value' biarpun hanya barang-barang yang murah. Seronok rasanya melihat-lihat kembali surat-surat, kad-kad ucapan dan cenderahati dari kawan-kawan sekolah dahulu- hadiah hari lahir selalunya- dari zaman sekolah rendah hinggalah zaman kolej. Setiap darinya ada kisah tersendiri yang saya ingat walau tidak semua. Benar, kadang-kadang saya terasa diri sendiri lebih hidup dalam kenangan lama. Zaman kanak-kanak yang penuh riang tanpa masalah dan zaman remaja yang punya daya khayal tinggi berbanding pada usia matang seperti sekarang. Apa salahnya sesekali memesrai semula kisah-kisah dahulu andai ia boleh membahagiakan hati.


    Antara simpanan peribadi

    Juga gambar-gambar lama yang masih rapi dalam simpanan di rumah terlalu banyak masa yang akan diambil untuk dibelek-belek kembali. Belum termasuk baju-baju lama yang masih fleksibel untuk dipakai. Huh, betapa penatnya mahu meng-update-kan sesuatu dari masa silam yang kita sayangi. Biar bersepah bilik, almari sudah sendat, rumah jadi macam stor tapi ia tidak serupa dengan kenangan lalu. Saya akan cuba mengemaskini mereka sebaik mungkin selepas ini. Sama ada buang terus atau simpan separuh. Hmm...

    Entri ini tercetus kerana kadar kecintaan yang melampau terhadap barang-barang simpanan tersebut. Oh!

0 Lintasan Hati :

TERIMA KASIH

Awas!

Dilarang sebarang aktiviti plagiat ke atas artikel di dalam laman ini. Jika itu berlaku, perlu meminta keizinan daripada pemilik laman ini terlebih dahulu.

Si Kandil's bookshelf: read

Manikam Kalbu
Bedar Sukma Bisu
Surat-Surat Perempuan Johor
Daerah Zeni
Dari Salina ke Langit Petang
Bahlut
Lagi Cerpen-Cerpen Underground
Beruk
Seorang Tua di Kaki Gunung
Tukcai
Badai Semalam
Dedaun Hijau Di Angin Lalu
Kau yang Satu
Juzuk
Panji Semirang
Bagaikan Puteri
Hijab Sang Pencinta
Nota Cinta Buatmu
Cinta Pertama
Pesanan Terakhir Seorang Lelaki


Si Kandil Hijau's favorite books »