• RAMADHAN YANG DITINGGALKAN MEREKA


    Senja di Sungai Nil, Mansurah

    SATU :: "Makcik Besah, mak Ustaz Yazid dah meninggal" Khabar itu saya terima lewat kotak perbualan Yahoo Messenger dari adik saya.

    Saya cuma mengerutkan kening mengingati sepotong nama itu. Sebetulnya saya memang selalu terlupa nama panggilan jiran-jiran sekampung disebabkan perangai pemalu saya satu waktu dahulu. Orang datang rumah, saya menyusup sembunyi. Akibatnya beginilah sekarang.

    "Yang ada cucu kembar tu ka?" Telah saya ingat-ingat lupa membayangkan wajah Makcik Besah. Dan adik saya mengiyakan.

    "Sedihnya, tak sempat puasa. Sakit apa?"
    "Sakit macam wan..." Saya terdiam mengenang sehari lagi Ramadhan akan tiba. Moga Allah tempatkan dia bersama para solihin.

    Tanpa sedar, mata saya bergenang. Tiba-tiba teringat jelas wajah Makcik Besah ketika saya pulang bercuti tahun lepas yang masih sihat. Baik hati orangnya. Dia antara jiran yang pernah memberi saya wang saku (sedekah) ketika mahu melanjutkan pengajian ke Mesir lima tahun lalu. Saya cuma menyambut malu-malu hadiah tersebut dari beliau. Saya lihat juga kegembiraan di wajahnya atas 'penghijrahan' saya ketika itu.

    Dan sebelum menjelang Ramadhan kali ini, Makcik Besah yang saya kenali sudah pulang ke pangkuan Ilahi.

    Sungguh, saban tahun ada saja yang akan pulang mengadap Ilahi. Bahkan saban hari dan detik. Tidak mengira usia dan ketika.

    Allahuakbar. Setiap yang hidup itu pasti merasai kematian.



    DUA :: Setiap kali Ramadhan ini hadir, saya akan terimbau almarhum wan a.k.a datuk lelaki saya yang mula kronik penyakit tuanya penghujung Ramadhan 2008. Dan Syawal 9 Oktober 2008 beliau menghembuskan nafas terkahir di rumahnya. Saya tiada dan masih di rantau.

    Ketika pertama kali pulang ke tanah Malaysia beraya selepas dua tahun ketiadaan wan tahun lepas, saya paling tersedu menangis di pusaranya. Airmata yang meleleh-leleh terus mengalir tanpa empangan, entah mengapa. Pagi Syawal itu, saat adik saya mengetuai bacaan doa di kuburan, tubir mata saya sudah mula bertakung air. Saya perasan emak cuma mengerling dari tepi tapi emak tidak mengungkit apa-apa selepas itu.

    Apatah lagi memandang hijaunya kuburan itu dan hening suasana di sekitarnya, membuatkan hati saya dipaku lelah tangis seketika. Suatu masa saya juga akan ke situ. Dan kita semua.

    TIGA :: Kematian seorang teman yang pernah saya kenali di laman bual Yahoo Messenger juga membuatkan hati saya rawan. Lama juga mengenalinya dan hubungan kami yang pernah baik tiba-tiba terputus lama entah disebabkan apa. Dia bekas penuntut sebuah universiti di Medan, Indonesia.

    Tahun ini, tiba-tiba sahaja saya teringatkan dia dan berhajat mahu mencarinya di laman sosial Facebook. Apa yang saya dapat? Dia rupa-rupanya sudah meninggal pada 30 Julai 2010. Allahurabbi!

    Saya tidak pernah terfikir akan berjumpanya dalam keadaan seperti ini. Terlalu mengejutkan. Dia meninggal dunia dalam usia yang terlalu muda - 26 tahun - Saya tidak pasti penyakitnya cuma dahulu dia pernah memberitahu saya bahawa dia akan menjalani pembedahan. Dan bila diingati-ingati, itu adalah mesej terakhirnya untuk saya.

    Ketika saya mengamati foto-fotonya di Facebook, memang dia bukan seperti yang saya kenal dahulu. Dia terlalu kurus tapi masih ramah membalas komen dan bergurau dengan teman-temannya sebulan sebelum kematiannya - berdasarkan pemerhatian saya pada tarikh-tarikh di Facebook beliau-

    Dan selepas beberapa hari kematiannya, Ramadhan menjelma. Semoga almarhum di bawah rahmat Allah selalu.

    Bila sudah tiada, baru kita tahu menghargai.

    EMPAT :: Kematian seorang teman sepermainan di kampung. Beliau saya kenali dengan nama Ku Aminah. Meninggal ketika berusia 26 tahun kerana bersalin. Lebih memilukan beliau pergi meninggalkan sepasang bayi kembar yang baru dilahirkan. Meskipun sudah tiga tahun kematiannya, terlintas juga wajahnya ketika sama-sama berkawan ketika kecil dulu. Anak-anaknya kini dijaga ibunya di kampung.

    LIMA :: Kisah seorang mahasiswi Perubatan, Universiti Kaherah, Mesir Tahun Ke-2. Beliau meninggal kerana sakit Autoimmune Disorder. Sejenis penyakit yang menghasilkan imuniti badan yang terlalu aktif sehingga menyerang sel dalam badan itu sendiri dan memberi kesan kepada otak, paru-paru juga buah pinggangnya. Lalu beliau mengalami pendarahan yang teruk di otak dan mengalami serangan jantung sehingga koma pada 11 Julai yang lalu.

    Saya tidak pernah mengenalinya. Cuma sebagai seorang pelajar yang sama-sama menuntut di rantau orang dan sesama Islam, adakala terasa dicuit juga dengan kes sebegini. Ibu dan ayahnya juga sanggup ke Mesir menemaninya pada saat-saat akhir. Persatuan pelajar Malaysia di Mesir juga telah membuka tabung untuk kos rawatan beliau tetapi ajal itu telah tertulis. Beliau pergi juga pada malam Ramadhan ketika seluruh dunia menyambut ketibaan bulan mulia ini.

    Jenazah beliau - almarhumah Fatin Fasihah binti Hanafi- dikebumikan selepas solat tarawikh di Dataran Hayyu 'Asyir, Kaherah pada 31 Julai 2011.

    Ramadhan yang ditinggalkan mereka punya satu hikmah tersirat. Yang pasti mereka adalah manusia terpilih yang diangkat Allah untuk mati dalam bulan-bulan mulia-Nya. Itu satu petanda kematian itu dalam husnul khatimah - kesudahan yang baik- dan selebihnya hanya Allah yang berhak mengadilinya nanti.

    Moga-moga dengan petanda ini, mereka adalah golongan soleh dan solehah. Dan berdoalah semoga kita juga dipilih untuk mati dalam keadaan yang baik.

    Al-Fatihah untuk umat Islam yang telah pulang ke pangkuan Ilahi.

    Salam Ramadhan untuk semua.

5 Lintasan Hati :

  1. makcik besah ada cucu kembaq ka?
    makcik besah mak dik jan la...rumah tepi rumah jan kecik tu...yang dekat sungai...yang ada cucu kembaq tu long pah, tepi rumah kak ani tu...

  2. kak mimpi wan malam mula posa...terkejut teruih bangun soq..

  3. oh..dah ingt yg mn satu...

  4. Penduga Arus berkata...

    Salam ziarah kembali...

    Salam ramadahan al-Mubarak ~ Ramadhan Kareem...

  5. @penduga arus ::terima kasih membalas kunjungan.

TERIMA KASIH

Awas!

Dilarang sebarang aktiviti plagiat ke atas artikel di dalam laman ini. Jika itu berlaku, perlu meminta keizinan daripada pemilik laman ini terlebih dahulu.

Si Kandil's bookshelf: read

Manikam Kalbu
Bedar Sukma Bisu
Surat-Surat Perempuan Johor
Daerah Zeni
Dari Salina ke Langit Petang
Bahlut
Lagi Cerpen-Cerpen Underground
Beruk
Seorang Tua di Kaki Gunung
Tukcai
Badai Semalam
Dedaun Hijau Di Angin Lalu
Kau yang Satu
Juzuk
Panji Semirang
Bagaikan Puteri
Hijab Sang Pencinta
Nota Cinta Buatmu
Cinta Pertama
Pesanan Terakhir Seorang Lelaki


Si Kandil Hijau's favorite books »