• MURNIKAN SEBUAH CITA-CITA II

    Saya tidak pernah punya impian pun mahu menjejak negara Mesir. Tidak pernah sekalipun masuk ke dalam mimpi saya seumur hidup. Malah jenis cita-cita yang sering ditulis dalam rekod coklat cair sekolah rendah pun tiada. Diari ketika di sekolah menengah (sebenarnya buku conteng untuk menulis rahsia hati seorang remaja, hehe) pun tak pernah saya tulis tentangnya. Saya tak pernah membaca pun tentang kisah-kisah dan sejarahnya. Cuma, saya pernah dengar cerita-cerita tentangnya dari ustaz-ustaz sekolah yang kebanyakan adalah graduan lepasan sana. Dari kalangan keluarga saya sendiri ketika itu pun ada beberapa orang yang belajar di sana. Dan saya juga pernah 'terserempak' dengan borang permohonan belajar ke Universiti Al-Azhar kepunyaan abang, selain turut terjumpa surat  dari kawan-kawannya yang ligat bercerita tentang keseronokan cara hidup di Mesir. Wah, saya jadi agak teruja waktu itu dan mula membayangkan hidup di sana.

    Heh, saya bukanlah suka-suka mahu baca surat orang, tapi disebabkan saya suka selongkar dan mengemas almari maka saya sering terjumpa macam-macam khazanah. Selalunya begitulah aktiviti saya di rumah.

    Ketika saya membelek borang itu, saya membuat kesimpulan bahawa abang pernah punya cita-cita mahu menyambung ijazah di situ, tapi taraf hidup keluarga saya ketika itu mungkin jadi penyebab dia membatalkan hasrat hati. Lagi pula dia yang sulung, adik-adiknya masih berderet di bawah mahu belajar. Abah pun bukanlah kerja besar. Sungguh, saya agak sayu ketika memegang borang itu. Kasihan kan, kalau betullah sangkaan saya. Tapi abang bukan jenis yang suka 'bising-bising' tentang apa yang dimahunya. Akhirnya dia membawa haluan pengajiannya di Malaysia sahaja. Perkara ini sudah terlalu lama, jadi abaikan saja. Abang saya pun sudah berjaya dan bersenang-senang dengan cita-citanya sekarang.

    Jadi ketika usia pengajian saya di kolej mencecah tahun ketiga, saya mula bersungguh-sungguh menanam azam untuk ke negara yang digelar bumi para rasul itu bagi menyambung tahun terakhir di sana. Apatah lagi, ramai kawan di sana sering mengutusi saya lewat di kantung emel. Bolehkah itu dikira sebagai cita-cita?





    Ketika berurusan mahu ke Mesir, ada pelbagai kesusahan yang saya alami. Saya pernah bawa diri menangis di tangga belakang dewan kolej ditemani seorang teman. Menangis sungguh-sungguh! Maka selepas kejadian itu saya uruskan sendiri borang urusan saya ke Universiti Al-Azhar atas sebab-sebab tertentu. Selalunya, kolej saya akan menguruskan borang kemasukan ke sana secara berkumpulan. Jadi tidaklah membebankan pelajar. Tapi, saya  agak lewat untuk itu, maka saya sendiri yang bersusah payah ke Kuala Lumpur bersama abang untuk urusan tersebut. Saya masih ingat, abang bawa sekali anak-anak dan isterinya ke Kuala Lumpur. Abang dan kakak ipar saya sanggup ambil cuti tiga hari kerana itu.


    September 2006, bermulalah hidup saya sebagai perantau. Saban tahun saya melalui kehidupan luar negara puas-puas. Sebab apa puas-puas? Sebab empat tahun di tempat orang barulah saya balik bercuti ke Malaysia. Itukan cita-cita saya semasa di kolej, jadi apalah sangat kalau empat tahun tak balik ke tanahair kan. Lagi pula, keluarga saya bukanlah kaya nak support saya balik setiap tahun. Banyak kenduri kahwin saudara-mara terlepas. Anak-anak saudara bertambah dan datuk saya meninggal dunia, semuanya ketika saya sedang mengejar cita-cita di sini. Pokoknya adakah jurusan yang saya ambil ini cita-cita saya selama ini? Balik Malaysia kan boleh jadi guru, pegawai agama dan sebagainya.

    Ya, saya ingat itu adalah cita-cita yang saya cari selama ini. Rupa-rupanya saya tak tahu bahawa di satu sudut yang lain, ada lagi seorang 'saya' yang punya satu potensi di bawah sedar. Ceh, bunyi macam perasan saja kan! Tapi serius saya selalu melakukannya ketika remaja dan jadikannya sebagai koleksi peribadi saja. Tapi ketika itu, saya cuma mengisi masa lapang dan cuma berimaginasi saja. Hasilnya lambat dan tak berapa menguntungkan seperti gaji menjadi pensyarah, peguam mahupun pramugari namun, saya berasa sangat selesa dan bahagia melakukannya. Itulah pertama kali seumur hidup saya merasakan bahawa saya berjaya mendengar kata hati sendiri tanpa sesiapa mengaturkan rencana hidup saya. Itulah julung kalinya saya rasa ikhlas melakukan sesuatu dengan sepenuh jiwa. Saya bertanya-tanya sendiri, adakah ini yang saya impikan walau cuma di bawah sedar?

    Di rantau ini saya telah bergaul dengan lebih ramai kawan-kawan secara fizikal mahupun maya. Mereka punya kelebihan-kelebihan menakjubkan pada mata saya. Seperti dalam entri sebelum ini,  saya pernah bercerita bahawa saya kurang tahu tentang luasnya dunia tanpa sempadan dan hidup di Mesir telah mengubah saya. Mereka dan saya punya minat yang sama. Mereka itulah yang saya kenali melalui maya. Selepas mengenali mereka, saya mula celik tentang erti memperkasakan hak sebuah cita-cita yang diimpikan. Hobi sekalipun boleh berubah menjadi cita-cita atau kerjaya, minat juga boleh bertukar menjadi cita-cita atau kerjaya. Dan kadang-kadang perkara yang tak pernah langsung disukai itu juga boleh menjadi sumber kerjaya seseorang. Apa  yang ingin saya sampaikan di sini ialah, kita boleh menjadi apa saja yang kita mahu tanpa pengaruh kelulusan yang tertulis di ijazah. Ijazah itu cuma sekeping kertas. Tapi ia memang penting untuk tuntutan memajukan dan menaikkan taraf hidup kita sebagai manusia yang mahu berjaya. Memang penting! 

    Bayangkan apabila kita bercinta dengan seseorang yang kita rasa dialah jodoh kita hingga akhir hayat, tiba-tiba apabila hadir orang ketiga dalam hubungan cinta itu, hati kita boleh berubah kasih pada orang ketiga. Rupa-rupanya itulah cinta hati kita yang ditakdirkan. Saya tahu kondisi cinta manusia sebegini memang menyakitkan. Itu di luar kuasa kita sebagai manusia dan itu namanya takdir. Contoh ini cuma sekadar analogi. 

    Itulah yang saya rasakan sekarang. Saya cuba mencintai apa yang saya genggam dari dulu hingga sekarang dan saya memang berjaya mencintainya (biarpun terlalu lambat membuahkan hasil walaupun tempoh menyemai dan membajanya sedari saya kecil) tetapi sekarang saya telah bertemu dengan sesuatu yang lain dan saya sudah jatuh cinta dengannya tanpa dipaksa. Mungkin yang ini dengan setulus hati dan lebih tulus dari cinta pertama itu. Tapi tidak bermaksud di sini saya mahu melepaskan yang pertama. 

    Haih bunyi dah macam orang kahwin bermadu sudah! Mahu dua-dua kerana sama penting. Tapi ini pasal ilmu dan cita-cita ya, bukan pasal cinta manusia okay. He he. 

    Maka disebabkan saya terlalu lambat menyedari apa cita-cita saya selama ini, kerana itulah sampai usia sekarang pun saya masih belum boleh mencipta kerjaya seperti kawan-kawan yang lain. Saya sedar bahawa saya telah mengambil masa yang terlalu lama untuk segulung ijazah. Kadang-kadang memang perit telinga dan hati bila ada suara-suara yang berkata :
    "Susah sangat ka mengaji di Mesir yang tak habis-habis lagi ni?"
    "Laa, tak habis lagi ka study? Lamanya...."
    "Mengaji apa asyik tak lulus saja..."

    Saya tak ada jawapan untuk semua dialog di atas kerana saya tahu mereka bukan di tempat saya sebab itulah mereka boleh berkata begitu. Saya serahkan pada Allah. Satu hari nanti bila anak-anak mereka atau mereka sendiri di tempat saya, mereka akan tahu sebab-musababnya. Lagipun ahli cerdik pandaikan pernah berkata, menuntut ilmu itu biar sampai ke liang lahad. Dan sudah lumrah hidupkan, yang berjaya dan selalu bawa nama baik akan dipandang tinggi. Tapi orang seperti saya yang belum ada apa-apa jasa (Baca : tak habis mengaji lagi walaupun dah tua dan hanya tahu habiskan duit berbanding cari duit) dalam hidup ini sering saja dipandang lekeh serba-serbi. Hidup pun sering dibanding-bandingkan. Wallahu a'lam.

    Untuk sesuatu yang baru saya sedar kewujudannya dalam ruang diri, mungkin selepas selesai pengajian ijazah ini, saya akan mula pertimbangkannya. Sedikit masa saja lagi pengajian ijazah saya akan tamat. Dan dalam perancangan untuk masa depan, saya mempunyai dua pilihan yang saya sudah gariskan. Yang itu biarlah jadi rahsia. Saya tak pernah menyesal memiliki cinta pertama ini, kerana ia adalah acuan dan harapan emak pada saya agar menjadi muslimah yang baik dan memahami hidup dalam agama. Tanpa cinta pertama ini, hidup saya mungkin terumbang-ambing tanpa pegangan agama yang kuat atau mungkin saya hidup dalam bayang-bayang kemurkaan Allah a.k.a JAHIL. Saya bersyukur kerana cinta pertama inilah sebenarnya adalah jambatan untuk saya menemui cinta kedua itu. Semuanya ada hikmah yang luar biasa.

    Yang pertama itu adalah takdir yang telah Allah anugerahkan untuk saya. Padanya saya terima dengan senang hati dan saya akan selalu menjadikannya sebagai garis panduan hidup. Manakala yang kedua itu adalah sebuah cinta dan impian baru yang saya boleh iringkan usaha bersamanya untuk mengubah takdir hidup saya pada masa depan jika saya bersungguh-sungguh mahukannya. Mari, kita sama-sama murnikan sebuah cita-cita malah mungkin juga berbilang cita-cita. Kemudian kita laksanakan!



    Si Kandil Hijau,
    Alexandria, Egypt. 



0 Lintasan Hati :

TERIMA KASIH

Awas!

Dilarang sebarang aktiviti plagiat ke atas artikel di dalam laman ini. Jika itu berlaku, perlu meminta keizinan daripada pemilik laman ini terlebih dahulu.

Si Kandil's bookshelf: read

Manikam Kalbu
Bedar Sukma Bisu
Surat-Surat Perempuan Johor
Daerah Zeni
Dari Salina ke Langit Petang
Bahlut
Lagi Cerpen-Cerpen Underground
Beruk
Seorang Tua di Kaki Gunung
Tukcai
Badai Semalam
Dedaun Hijau Di Angin Lalu
Kau yang Satu
Juzuk
Panji Semirang
Bagaikan Puteri
Hijab Sang Pencinta
Nota Cinta Buatmu
Cinta Pertama
Pesanan Terakhir Seorang Lelaki


Si Kandil Hijau's favorite books »