• CERPEN AKU MAHU MATI SEPERTINYA

    Cerpen Aku Mahu Mati Sepertinya di Berita Harian 29 Jun 2014
    1 Ramadhan 1435
    ___________________________________________________
    Hujan gerimis yang gugur sama menyaingi langkah kakiku yang gesit meredah cuaca. Gerimis seperti ini sangat kerap kala Disember menjengah di negara-negara musim sejuk. Menandakan kedinginan akan membungkus seisi alam dalam kemuncaknya. Di sini jika paling  sejuk, suhu akan mencapai sekitar lima darjah atau mungkin lebih lagi. Aku berlari-lari anak ke tepi sebuah bangunan tidak bercat dan kusam untuk berteduh. Pun begitu, tubuhku sudah basah kerana gerimis ini tiba-tiba sahaja mengguyur tanpa sempat pun aku sampai ke rumah. Kaki kiriku yang tempang tambah menyulitkan aku untuk cepat berlari.
    Aku menaikkan bahu mahu membuang sedikit kesejukan badan, menguis-nguis sekitar bibir dan wajah dengan jemari kalau-kalau ada tempias gerimis di wajah. Aku sangat anti dengan air! Mulutku menguap tiba-tiba. Kantuk seperti biasa, selalu sangat menjangkitiku ketika musim begini.
    Berkali-kali aku menguap menahan kantuk sementara gerimis masih rancak menari-nari dari udara ke tanah. Aku membuka mata seluas-luasnya dan menggeleng-geleng kepala sekali, dua dan tiga.
    Ketika itu aku ternampak seorang lelaki tua mirip Dr. Moursi yang berpakaian lusuh berjalan, sambil tangannya mengangkat kolar jaket tebal ke kepala. Bukan cuma aku tetapi ramai yang mengakui wajahnya mirip bekas Perdana Menteri Mesir yang cuma sempat setahun menabur bakti dan telah digulingkan itu. Entah kenapa, dalam ramai yang lalu-lalang ini, aku tertarik mengikuti setiap gerak lakunya.  Kerana dia sudah aku kenali dan orang memanggilnya Pakcik Duwaidar.
    Aku sering saja terserempak Pakcik Duwaidar di jalan. Biasanya dia akan duduk di tepi landasan keretapi sambil menadah tangan ke arah orang yang lalu-lalang meminta sedekah. Pakcik Duwaidar sangat kurus. Kadang-kadang aku pula yang sengaja duduk di tepi landasan, menemaninya. Dapatlah dia sejunaih dua untuk membeli ‘isy habuan mengisi perutnya yang kempis. Pakcik Duwaidar cuma hidup sebatang kara selepas dipinggirkan anak-anak. Isterinya sudah dua puluh tahun meninggal dunia kerana diabetes yang kronik. Itu yang aku tahu secara rambang. Aku tidak pasti di mana anak-anaknya sekarang.
    Pakcik Duwaidar melintas ke seberang. Barangkali menuju ke gerobok buruknya untuk berehat. Mata jernihku terus mengamati lenggok tubuh tuanya sehingga hilang dari pandangan. Aku kembali mendongak memandang langit kelabu. Hujan masih berlarutan.
    Tiba-tiba aku terkenang kisah Pakcik Duwaidar. Bila kesunyian malam di geroboknya makin mencengkam, Pakcik Duwaidar sering menggumam tentang masa silamnya. Dan aku hanya menjadi pendengar yang setia.
    Kata Pakcik Duwaidar, dahulu dia seorang tamtama yang pernah mempertahankan negara. Malah dia pernah sama mencipta sejarah dalam perang revolusi 6 Oktober 1973 ketika musim Ramadan. Dialah di antara pahlawan-pahlawan Mesir yang turut serta menentang Zionis ketika itu. Kini, dalam usia 86 tahun dia cuma mampu mencoret kata di bibir dan menyimpan kemas –kemas peristiwa itu di relung ingatan.
     Itulah kenangan paling bermakna sepanjang hidupnya. Biar kini dia hidup merempat tanpa pembelaan untuk seorang wira yang pernah meletakkan nyawa sendiri di mata senapang, dia tidak kisah. Kadangkala rasa kecewa itu ada juga memikirkan tiada siapa yang peduli nasib pejuang sepertinya. Namun bila semakin difikir-fikirkan dia rela mati di negara sendiri daripada mati di tempat orang. Begitulah keluhan Pakcik Duwaidar setiap malam.
    Baru aku tahu, lelaki kurus berambut kerinting putih dan penuh berjambang itu rupa-rupanya seorang pejuang yang penuh cinta. Dalam diam aku mengaguminya.
    “Aku pernah menekuni teromba kuno Mesir  yang penuh pesona dan menjadi sebutan dunia selama ini. Itu yang kudengar dan baca dari rentetan buku sejarah selama ini.  Aku sangat takjub dengan tamadun negara ini yang punya dua wajah kontra dalam sejarah peradaban. Wajah Musa dan Firaun.” Cerita Pakcik Duwaidar padaku ketika kami berdua di gubuknya suatu malam menunggu sahur.
    Aku menguap namun telingaku masih jaga mendengar kisahnya. Kasihan Pakcik Duwaidar, tiada tempat mahu bercerita selain aku.
    “Kau tahu Habib, Mesir ini sangat berharga bagi aku, bagi kita! Seluruh dunia mahu berkongsi sejarah laluan sirah para nabi dan peradaban kuno yang ada di sini. Kau tahu berapa usia negara kita, Bib? Kau tahu? Hmm… manalah kau tahu, Bib. Usia kau pun tak setanding usia aku yang sudah renta ini, apatah lagi usia kau dengan Mesir ini.”
     Pakcik Duwaidar mengusap-ngusap lembut kepalaku. Aku hanya tersenyum manja sampai sepet kedua-dua mata. Aku selesa kalau Pakcik Duwaidar mengusapku begitu.
    “Aku rasa usia negara kita ini sudah lebih 7000 tahun. Semenjak nabi Yusuf lagi, atau mungkin sebelum kewujudan baginda, Mesir sudah wujud di muka bumi.”
    “Kau tahu Bib, dalam buku-buku yang aku baca dulu, Mesir pernah dibangunkan oleh seorang penakluk bernama Iskandar Zulkarnain seperti yang disebut dalam Al-Quran. Kerana itu nama dan patung kepalanya terukir di Iskandariah sebagai Alexander The Great dalam sebutan orang Barat.  Bila aku membaca kisah itu, aku selalu berazam mahu mempertahankan negara kita sebaik-baiknya sampai aku mati.  Sampai aku mati, Bib! Tapi aku masih belum mati sejak tragedi Oktober 1973 itu. Aku selalu ingin syahid, Bib! Bilalah Tuhan akan angkat aku seperti mujahidin di Palestin sana ya, Bib?”
    “Kau tengok sajalah huru-hara di negara kita yang tak habis-habis ini. Hosni Mubarak  sudah digulingkan dan Dr. Moursi naik takhta. Tapi, aku sendiri tidak tahu apa yang saudara-saudaraku ini mahukan. Dr. Moursi sudah cukup sempurna sebagai seorang pemimpin Islam yang benar tapi peluang itu dirosakkan mereka sewenang-wenangnya. Aku sudah hidup dalam beberapa kepala pemerintahan, Bib. Dan Al-Sisi si liberalis yang sanggup bertaktik kotor itu akhirnya sah bermandat. Tapi aku rasa Mesir yang sekarang paling teruk dalam sejarah hidup. Semakin ramai yang syahid benar dan syahid palsu. Hanya Allah yang bisa mengganjar baik buruk kematian mereka yang didakwa syahid itu.”
    Pakcik Duwaidar terus berdialog sedang aku semakin lali dihanyut kedinginan. Mesir sudah semakin parah dengan kedunguan sistem politiknya! Dan kalau firasatku tidak salah, tragedi revolusi Mesir 6 Oktober 1973 ketika Ramadan dahulu kini kembali berulang biarpun figura peristiwanya tidak sama.
    Hari ini cuaca agak cerah. Berpuasa Ramadan pada musim sejuk sangat bertuah kerana penat kurang. Siang menjadi pendek dan malam lebih panjang. Tapi Pakcik Duwaidar pernah memberitahuku, pahala puasa kurang ketika musim sejuk berbanding musim panas.
    Aku pun tak mengerti kenapa begitu dan aku malas mahu memikirkannya. Yang pasti sejak tadi perutku sangat berkeroncong. Aku cuma melihat Pakcik Duwaidar bersahur dengan setengah keping roti dan sedikit kuah kacang ful yang dibeli kelmarin. Dia ada juga mengutil sedikit rotinya dan disua ke mulutku tapi aku cuma menjuih. Ah, alangkah sedapnya kalau ada ikan segar yang gemuk-gemuk di hadapanku sekarang!
    “Nanti kau lapar, Habib. Makan sajalah apa yang ada.  Nanti aku cuba carikan kau ikan ya, Bib.” Aku cuma berlalu begitu sahaja tanpa menghiraukan kata-kata Pakcik Duwaidar waktu sahur tadi.
    Sekarang aku mengakui kata-katanya. Aku sangat lapar sekarang!
    Kakiku terjengket-jengket melalui pasar. Aku berjalan ke kedai ikan perlahan-lahan. Ikan-ikan segar yang kulihat sangat menarik seleraku yang jenuh ketika ini. Tiba-tiba sejemput perut dan kepala ikan dilempar di hadapanku. Kucing kalau dihidangkan ikan pasti tidak menolak. Aku menyokong sepenuhnya kata pepatah yang sering kudengar dari manusia itu. Hidangan lazat itu terus kukunyah dengan asyik.
    Suara yang bingit di belakang tidak aku endahkan.
    “Lari! Lari!” Aku terdengar suara beberapa orang wanita tua dan muda yang libang-libu lari. Sepintas aku mendongak. Ah, makananku belum habis! Aku kembali tunduk memagut kepala ikan yang hanyir itu.
    Kedengaran pula beberapa das tembakan yang entah dari mana. Aku benar-benar terperanjat kali ini. Orang-orang di pasar yang ketakutan lari lintang-pukang. Yang tidak takut kelihatan turut berhimpun di satu sudut pasar itu.  Masing-masing menggenggam kayu dan batu sebagai senjata. Barangkali mereka bukan peyokong Dr. Moursi di kawasan ini dan sedang memberontak kerana kedengaran mereka menjerit-jerit melaungkan; ‘Moursi jahanam! Moursi jahanam!’
    Aku dapat melihat mereka mengerumuni sesuatu dan seperti rancak memukul-mukul menggunakan senjata di tangan. Ini pemandangan biasa bagiku. Orang Arab memang berani berlawan di khalayak tanpa rasa malu. Memang begitu jati diri mereka, kuat, berani bersuara dan pandai bergaduh.
    Pakcik Duwaidar pernah menjelaskan padaku bahawa tidak hairanlah Allah sering mengutus Rasul dan Nabi dari kalangan bangsa Arab itu sendiri kerana bangsa mereka adalah paling degil dan susah untuk diuruskan. Untuk itu, Allah telah memilih salah seorang daripada mereka yang terbaik dan punya sifat seorang nabi dan rasul untuk mengubah kehidupan jahiliah puak Arab yang lain. Sungguh itu bukan satu tugas yang mudah!
    Tapi… kenapa pula hatiku tiba-tiba gelisah! Aku menenyeh bibir berkali-kali sambil lidahku menjilat kesan darah ikan yang melekat di situ. Seleraku mula hilang. Aku menoleh ke belakang melihat sekumpulan lelaki yang masih rancak berdemonstrasi. Telingaku menangkap suara seperti meminta tolong di tengah-tengah kerasukan itu. Gelisahku semakin bertali-arus.
    Aku kembali memandang hidangan di hadapan yang sudah tinggal sedikit. Sejam dua lagi sudah waktu berbuka. Aku teringatkan Pakcik Duwaidar. Sudah pasti dia akan menjamu selera di mana-mana kawasan yang tersedia Maidah Ar-Rahman  atau hidangan kasih sayang secara percuma untuk berbuka.
    Aku segera berlari terhenjut-henjut ke pondok kecil Pakcik Duwaidar.  Aku mahu segera menemui Pakcik Duwaidar. Selalunya waktu-waktu begini Pakcik Duwaidar baru selesai bersolat Asar dari Masjid Abu Abbas Al-Mursi dan akan berehat di pondoknya yang berdekatan masjid. Mataku melilau sebaik saja sampai namun kelibatnya tiada. Aku termangu seketika.
    Aku bingkas berlari lagi sambil mengiau deras. . Kaki kiriku yang patah setahun lalu lagi menyukarkan larianku. Entah kenapa jantungku berdegup kencang.  Aku tiba di pasar tadi sekali lagi. Aku mengikut sahaja gerak kakiku kali ini.
    Di lorong tempat sekumpulan lelaki yang mengamuk tadi kini sudah lengang dan sunyi. Yang ada cuma seorang lelaki terbaring tidak sedarkan diri berlumuran darah. Aku memandang sahaja dari jauh. Kemudian suasana jadi riuh kembali apabila pertolongan kepada mangsa pukul tersebut datang dari kejiranan pasar itu. Mereka cuba mengangkat lelaki itu ke tepi dan ketika itu aku mengecam jaket lusuh yang tersarung di tubuhnya.
    Pakcik Duwaidarkah itu?
    Seraya aku berlari kencang seiring detak jantungku yang seakan mahu luruh. Aku mencelah di kaki-kaki manusia yang bertubuh agam itu. Mahu segera mengecam siapakah mangsa yang malang itu.
    Aku juga mendengar bahawa mangsa dipukul dan ditembak sehingga mati kerana wajahnya mirip Dr. Moursi. Oh, Tuhan! Celakalah mereka yang terlalu mengagungkan manusia syaitan hingga sanggup membunuh manusia tidak berdosa di bulan barakah ini. Dasar manusia Islam hanya pada nama! Perangai seperti iblis! Ptuihhh…!
    Mata jeliku cepat menangkap wajah yang berlumur darah dan pecah sebelah itu. Aku kenal walaupun keadaannya begitu. Sudahlah hidup sebatang kara, kini dia pergi mengadap Ilahi tanpa sesiapa di sisi kecuali aku. Akhirnya dia syahid seperti yang diimpikan.
    Ketika itu, suara azan mula memenuhi kawasan. Airmataku menitis dalam ngiauan yang tidak berhenti.
    Tuhan, benar dia Pakcik Duwaidarku!
    Tuhan, aku juga mahu mati sepertinya!
    _________________________________________________
    Glosari :-  1) Junaih –matawang Negara Mesir
                   2) ‘Isy- makanan ruji orang Mesir
                              (roti bulat yang diperbuat dari gandum)


    Semoga bermanfaat!




0 Lintasan Hati :

TERIMA KASIH

Awas!

Dilarang sebarang aktiviti plagiat ke atas artikel di dalam laman ini. Jika itu berlaku, perlu meminta keizinan daripada pemilik laman ini terlebih dahulu.

Si Kandil's bookshelf: read

Manikam Kalbu
Bedar Sukma Bisu
Surat-Surat Perempuan Johor
Daerah Zeni
Dari Salina ke Langit Petang
Bahlut
Lagi Cerpen-Cerpen Underground
Beruk
Seorang Tua di Kaki Gunung
Tukcai
Badai Semalam
Dedaun Hijau Di Angin Lalu
Kau yang Satu
Juzuk
Panji Semirang
Bagaikan Puteri
Hijab Sang Pencinta
Nota Cinta Buatmu
Cinta Pertama
Pesanan Terakhir Seorang Lelaki


Si Kandil Hijau's favorite books »