• UNTUK ABAH!

    Dalam kesibukan mengejar tramco ke kelas bahasa hampir saban petang juga aktiviti lain yang mengancam keletihan yang teramat, saya hampir terlupa tentang seseorang. Selamat Hari Lahir Abah! Yang jatuh pada 15 Julai 2008. Minta maaf abah. Rupanya abah sudah mencecah angka 58 tahun. Doakan anakmu di sini sentiasa teguh hati dan semangat dalam menuntut ilmu. Juga untukmu abah, moga bisnes makin maju dan murah rezeki selalu.

    Rindu mahu menjenguk Malaysia tapi terpaksa dikuburkan begitu sahaja kerana abah bukan orang kaya. Dia cuma seorang abah yang sederhana tanpa harta tapi selalu cuba mengabulkan permintaan setiap anaknya. Lalu saya ingin tujukan sesuatu khas untuk tatapan dia yang bergelar ABAH.

    Ayah Dan Anak
    Seputar nostalgia suatu waktu dulu
    figura hitam putih melambai diri anak;
    pernah dulu anak di ribaannya
    menangis di bahunya
    ketawa bersama saat diagah
    rengekan kecil meminta hasrat
    tanpa peduli jiwa tuanya
    tanpa dibilang garitan di dahi dan hujung matanya
    bersengkang kornea membilas permintaan
    entah berapa juta titis keringat membasah tubuh ayah
    jari-jari kasar ayah yang keras kematu
    bergelut dengan rezeki sesuap dua.

    Hati tua ayah jarang anak selami
    apalagi merasai perit rona hidup penuh makar.
    Kedegilan anak kadang membuai uji
    mengocak nubari
    namun ayah masih kebal
    dengan jiwa tua yang sabar.
    Adakalanya lidah anak berkurang ajar
    ayah diam seribu bahasa
    merawat sendiri luka buatan anak.

    Kini anak terkenang semula
    detik persekolahan,
    amat manis rasanya
    menjadi seorang anak sekolah;
    tangan keras ayah
    memimpin anak ke pagar
    juga tidak pernah lupa kepingan syiling
    mata saga itu memandang sarat penuh harap
    agar anak menyambung cita.

    Dan anak kian dewasa
    dalam kaburan mata ayah
    tidak lagi dihitung rerambut suci ayah
    juga tulang berempat yang rapuh.
    Saat ini,
    masih lagi anak dengar lucu tawa ria ayah
    biar bersama dalam ranuman usia
    hati ayah tidak pernah berubah
    kasih sayang ayah masih tepu
    walau tidak ayah jelmakan dengan
    segunung harta.

    Anak faham akhirnya,
    diam ayah, kasih tak bertepi
    keringat nan tumpah, harta untuk anak
    kedut kulit ayah, rezeki yang ditelan kian hari
    putih rambut sucinya,
    bilangan saat anak bersama ayah.

    Anak lahir dalam cinta ayah
    Anak dewasa dalam emas usia ayah
    Anak gembira dalam derita ayah
    Anak kenyang dalam lapar ayah
    Dan anak khuatir,
    kiranya anak akan menangis dalam diam ayah.

0 Lintasan Hati :

TERIMA KASIH

Awas!

Dilarang sebarang aktiviti plagiat ke atas artikel di dalam laman ini. Jika itu berlaku, perlu meminta keizinan daripada pemilik laman ini terlebih dahulu.

Si Kandil's bookshelf: read

Manikam Kalbu
Bedar Sukma Bisu
Surat-Surat Perempuan Johor
Daerah Zeni
Dari Salina ke Langit Petang
Bahlut
Lagi Cerpen-Cerpen Underground
Beruk
Seorang Tua di Kaki Gunung
Tukcai
Badai Semalam
Dedaun Hijau Di Angin Lalu
Kau yang Satu
Juzuk
Panji Semirang
Bagaikan Puteri
Hijab Sang Pencinta
Nota Cinta Buatmu
Cinta Pertama
Pesanan Terakhir Seorang Lelaki


Si Kandil Hijau's favorite books »