• SEPUTAR NOSTALGIA BERSAMA GURU-GURU SKPP (1990-1995)

    GURU pertamaku bernama USTAZAH CHE YAH dan ENCIK ZAINON. Aku masih ingat detik pertama aku pandai membaca suratkhabar (tajuk besar saja) ketika itu, di sisi emak. Riang tidak terkata kerana sebelum itu aku cuma pandai mengeja suku kata tanpa tahu cara nak batangnya (itu cakap orang Kedah). Tapi kuasa Allah hari itu, aku mencapai suratkhabar dan membaca bersama emak. Saat ini aku masih boleh membayangkan suasana itu. Syahdunya! SELAMAT HARI GURU, MAK ABAH!

    Aku mula mendaftar ke tadika. Di situ aku bertemu CIKGU ZAINAB. Betapa ramai anak kampung yang menjadi pelajarnya ketika itu dan sehingga kini mungkin mencecah ratusan atau ribuan anak muridnya. Abang dan kakakku juga menjadi anak didiknya. Aku kurang suka zaman ini sebab ramai yang tak suka berkawan dengan aku. Aku selalu kena buli dan itu faktornya aku malas untuk ke tadika. Selalu kena paksa dengan mak setiap pagi. Tapi cikgu selalu bagi aku semangat supaya aku tak rasa terasing dengan kawan-kawan lain. Apapun cikgu dan tadika adalah yang pertama mengenalkan aku dengan dunia luar dan dunia 'kawan-kawan' . Terima kasih cikgu. SELAMAT HARI GURU, CIKGU!

    ALMARHUM CIKGU ROKIAH. Aku ingat inilah guru kelas aku yang pertama. Haha...mata aku sudah bergenang! Cikgu yang banyak menabur jasa untuk aku dan kawan-kawan dan sehingga aku darjah dua dia jadi guru kelasku. Bermula dari dialah aku mula meminati Bahasa Melayu. Dia garang dan kurang menunjukkan kasih sayang pada kami tapi aku suka subjek bahasa Melayu dan matematik didikannya. Dia sakit sebenarnya. Tapi dia masih gagah ke sekolah mengisi rutin untuk didik anak-anak sekolah seperti aku. Aku tak pasti apa sakitnya. Pernah satu hari, aku terpandangkan dia yang tengah berjalan tiba-tiba sahaja matanya macam hampir pejam. Aku kira dia masih boleh mengawal imbang badannya dari terjatuh. Aku masih budak waktu itu, cuma tengok tanpa membantu. Aku rasa takut sebenarnya tengok keadaan cikgu waktu itu. Tapi dia kuat hati. Itu yang aku pelajari dari dalam diri cikgu. Emak dan abah pernah bawa aku melawatnya ketika dia di hujung nafas. Aku dah hilang ingatan berapa usia aku waktu itu. Tapi aku masih ingat wajah cikgu. Cuma berbaring di tilam dan makan minumnya melalui tiub. Aku gerun dan tak berani pandang wajahnya. Tapi aku cuba juga merenung matanya setelah dipaksa emak. Ketika itu, aku nampak lidahnya seolah-olah menyebut sesuatu sambil anak matanya memandang aku. Aku yakin, dia menyebut namaku. Apa yang terlintas di benakku tika itu, aku tidak pernah menyangka akan bertemu cikgu dalam keadaannya yang begini. Aku terbayang langkah gagah dan wibawanya dia di sekolah. Cikgu akhirnya kembali ke alam baqa. Ada kesedihan yang tak berpenghujung bila namanya meniti di bibir aku kadangkala. Aku mula belajar bahawa hidup itu tak selalu penuh gembira dan sempurna. Sampai masa semua akan pergi. SELAMAT HARI GURU CIKGU!

    CIKGU AZIZAH HASSAN, CIKGU AZIZ, CIKGU EMBUN, CIKGU RASHID, TEACHER RANI, USTAZAH AZIZAH DAUD. Naik darjah tiga aku kenal cikgu-cikgu ni semua. Ada lagi tapi aku sudah lupa. Aku tak ada sejarah rekod hitam sebab aku memang budak baik masa sekolah. Jadi tak ada sangatlah peristiwa yang boleh aku imbau waktu ini. (^_^)
    SELAMAT HARI GURU, CIKGU!

    CIKGU SHAHRIZAN, CIKGU AHMAD NUHAIRI, CIKGU SALEHUDIN, USTAZ AMINUDDIN, USTAZAH NORIZAH dan CIKGU HAYATI dan banyak lagi. Semasa darjah empat kebanyakan cikgu yang mengajar aku adalah cikgu-cikgu dari IPDA (Institut Perguruan Darul Aman)@ cikgu praktikal. Zaman ni memang seronok habis sebab cikgu semua muda-muda dan cikgu praktikal ni selalunya tak suka mengajar sepenuh masa. Mesti kena ada selang- seli dengan apa-apa permainan yang tak membosankan pelajar. Selalunya nyanyi-nyanyi la. Aku terkenang satu dua lagu yang diajar mereka. Aku masih ingat dan sekali-sekala ringan lidah aku menyanyi.

    Atas bukit ada rumput, rumput cantik tak pernah lihat
    rumput atas bukit
    rumput yang hijau hey!2x
    Atas rumput ada pokok, pokok cantik tak pernah lihat
    rumput atas bukit, pokok atas rumput
    rumput yang hijau hey!2x
    Atas pokok ada dahan, dahan cantik tak pernah lihat
    rumput atas bukit, pokok atas rumput, dahan atas pokok
    rumput yang hijau hey!2x
    Atas dahan ada ranting, ranting cantik tak pernah lihat
    rumput atas bukit, pokok atas rumput, dahan atas pokok, ranting atas dahan
    rumput yang hijau hey!2x
    Atas ranting ada daun, daun cantik tak pernah lihat
    rumput atas bukit, pokok atas rumput, dahan atas pokok, ranting atas dahan, daun atas ranting
    rumput yang hijau hey!2x

    SELAMAT HARI GURU, CIKGU! (T_T)

    CIKGU WAN ZAINAB. Satu-satunya cikgu yang aku paling ingat ketika aku darjah lima. Baik juga dengan aku. Selalu kalau raya pergi rumah dia dengan kawan-kawan semua. Dari dialah aku belajar tulis tulisan sambung. Aku rasa aku saja yang minat nak belajar tulis tulisan sambung bila cikgu tawarkan khidmat nak mengajar. Bukan main lagi aku waktu tu, penuh tekun ambil 'part time' belajar tulis tulisan sambung. Selagi ada orang sudi ajar, apa salahnya kita belajar kan? Tak lupa juga SIR LEE KUAN HONG yang selalu korek-korek hidung dengan kuku panjang jari kelingkingnya. Haha! Sorry Sir! SELAMAT HARI GURU, CIKGU!

    CIKGU RADIAH, CIKGU IZHAR, TEACHER NORMA dan USTAZ LUTFI. Mereka ini semua aku kenal bila dah naik darjah enam. Tahun 1995 paling aku kenang seumur hidup. Kerana ada kisah surat cinta yang berjaya dibaca oleh Teacher Norma untuk seisi kelas. Malunya! ^_^ Ketegasan dan disiplin Cikgu Radiah memang aku kagum dalam memastikan peratus kelulusan kami dalam bahasa Melayu meningkat. Cikgu Izhar, di sebalik misai lintangnya dan rotan halus yang sentiasa bergetar di tangannya setiap hari kalau membelek kerja rumah matematik kami memang menggerunkan aku. Sebab aku lemah subjek tu! Tapi hati baik. Ustaz Lutfi yang selalu saja cubit perut halus-halus dan tarik hidung kuat-kuat kalau tak boleh jawab soalan agama Islam dalam kelas. SELAMAT HARI GURU, CIKGU!

    Walaupun dalam entri ini aku banyak berkisah tentang guru-guru sekolah rendahku (sebab aku teringin sangat 1000x nak kembali ke situ) tak bermakna aku lupa guru di sekolah menengah dan pensyarah kolej aku yang lain. Untuk semua guru yang pernah mengajar dan mendidik seorang manusia bernama Zuhaida ini, terima kasih yang tiada penghujung biar aku tahu ucapan ini tak mampu menebus semua korban bakti semuanya. Untuk itu SELAMAT HARI GURU SETULUS INGATAN UNTUK SEMUA GURU AKU sepanjang aku di tadika Kampung Ketul, Sekolah Kebangsaan Padang Perahu (SKPP), Sekolah Menengah Agama Nahdhah Hasanah (SMANH) dan Kolej Unversiti Insaniah (KUIN).


    Cuma ini foto yang ada dalam simpanan ketika di KUIN dengan kawan2.
    Tok gurunya tak ada, cuma anak murid saja (^_^)

0 Lintasan Hati :

TERIMA KASIH

Awas!

Dilarang sebarang aktiviti plagiat ke atas artikel di dalam laman ini. Jika itu berlaku, perlu meminta keizinan daripada pemilik laman ini terlebih dahulu.

Si Kandil's bookshelf: read

Manikam Kalbu
Bedar Sukma Bisu
Surat-Surat Perempuan Johor
Daerah Zeni
Dari Salina ke Langit Petang
Bahlut
Lagi Cerpen-Cerpen Underground
Beruk
Seorang Tua di Kaki Gunung
Tukcai
Badai Semalam
Dedaun Hijau Di Angin Lalu
Kau yang Satu
Juzuk
Panji Semirang
Bagaikan Puteri
Hijab Sang Pencinta
Nota Cinta Buatmu
Cinta Pertama
Pesanan Terakhir Seorang Lelaki


Si Kandil Hijau's favorite books »