• GELOMBANG IDEOLOGI SESAT AL-BABIYAH

    Bagi sesiapa yang tidak pernah mendengar nama kumpulan ajaran sesat ini mungkin terasa sedikit canggung apabila pertama kali mendengarnya. Ajaran ini hakikatnya telah lama tersebar di dalam negara-negara Islam seperti Iran, Iraq dan negara-negara teluk yang lain sejak ratusan tahun dahulu tetapi dikenali dengan nama-nama yang berlainan sebelum wujudnya nama al-Babiyah.

    Ideologi sesat al-Babiyah ini mula diasaskan oleh Mirza Ali Muhammad bin Mirza Redha al-Syirazi atau terkenal dengan gelaran "al-Bab" dalam ideologi sesat tersebut. Al-Syirazi di hujung namanya adalah bersempena dengan nama satu bandar di Iran iaitu bandar Syiraz. Beliau dilahirkan di Gharah pada bulan Muharram tahun 1235 Hijrah bersamaan 26 Mac 1819 Masihi. Bapanya adalah seorang peniaga yang masyhur di bandar Syiraz. Ibunya bernama Fatimah Begum al-Alwiyah dan gelaran 'al-Alwi' dihujung nama itu adalah kerana konon ibunya mempunyai keturunan Sayyidina Ali bin Ali Thalib K.W. Selepas kematian ibu bapanya, Mirza Ali Muhammad telah dipelihara oleh bapa saudaranya Khalid Mirza Sayyid Ali yang juga seorang peniaga di Syiraz. Zaman remajanya telah dihabiskan dengan membantu perniagaan bapa saudaranya sehingga dia berumur 20 tahun. Ketika usianya 25 tahun, Mirza Ali Muhammad mula mendakwa bahawa dirinya adalah 'al-Bab' atau 'pintu' kepada Imam Mahdi yang ditunggu-tunggu pada akhir zaman.

    Kalimah 'al-Bab' dari segi istilah menurut pengikut mazhab Syiah Imamiah adalah seseorang yang menjadi perantara di antara pengikut Syiah Imamiah dengan Imam mereka yang ke-12 iaitu Imam Muhammad bin al-Hassan al-'Askari yang dipercayai sebagai Imam Mahdi. Pengikut Syiah juga mempercayai bahawa seseorang yang menjadi perantara itu pastilah seseorang yang istimewa yang dikenali sebagai 'al-Bab'. Maka menurut para pengikut Babiyah, sangat sesuailah gelaran itu diberikan kepada Mirza Ali Muhammad al-Syirazi kerana beliau adalah pengasas ajaran ini.

    Ajaran Yang Diajar Dalam Babiyah
    Untuk ajaran kepada pengikut-pengikutnya, al-Bab telah menulis sebuah buku berjudul "al-Bayan" yang menerangkan tentang syariat ideologi ini sebagai ganti kepada syariat Islam di dalam al-Quran. Apa yang ingin ditekankan di sini adalah tentang masalah berbangkit dan strategi dalam ajaran Babiyah iaitu berkaitan tentang kepercayaan mereka tentang kemunculan seorang penyelamat (fikrah al-mukhallis) dan kaitannya dengan akidah tentang Imam al-Mahdi.

    Mereka percaya bahawa ketika manusia di dalam penderitaan yang sangat teruk dan dipenuhi dengan kezaliman, ketidakadilan dan fitnah, semua manusia akan bergantung harap dengan kemunculan seorang lelaki yang akan mengembalikan kebenaran, keamanan dan keadilan di kalangan umat manusia kelak.

    Kepercayaan ini sebenarnya telah bermula dari sebuah kumpulan yang dikenali az-Zardasyatih yang berasal dari Parsi sebelum itu. Az-Zardasyatih mendakwa di dalam sebuah buku mereka bahawa akan datang seorang lelaki pada akhir zaman bernama 'Asyizrika' yang akan mentadbir dunia ini dengan agama, keadilan, kebenaran dan sekaligus akan menghilangkan penderitaan dan fitnah yang berlaku.

    Kemudian kepercayaan ini berpindah daripada az-Zardasyatih kepada golongan Yahudi. Melalui golongan Yahudi kepercayaan ini tersebar dalam bentuk gambaran Isa al-Masih yang telah diketahui mereka lahir dari keturunan bani Israel. Mereka percaya bahawa kalimah al-Masih yang disebut di dalam kitab Taurat sebelum ini mempunyai maksud khas yang ditujukan kepada al-Masih yang telah diutuskan Allah untuk menebus dosa-dosa manusia selain daripada untuk menyelamatkan bani Israel dan menyucikan dunia dari semua kezaliman. Disebabkan ini orang Yahudi selalu menanti-nanti ketibaan hari penyucian untuk mereka sehinggalah sekarang iaitu pada hari Sabtu. Kepercayaan ini telah menular di kalangan orang Yahudi dalam akidah mereka sebagai sesuatu yang yang tinggi dan mulia sepertimana percayanya orang-orang Nasrani (kristian) tentang kedatangan al-Masih ke dunia untuk kali kedua, seperti yang tertulis di dalam kitab Injil Matthew: 'akan keluar seperti seekor buraq yang muncul dari timur menuju ke barat. Maka seperti itulah kedatangan al-Masih...' :Injil Matthew:24:27

    Kepercayaan Babiyah Tentang Kemunculan Imam Mahdi
    Akidah tentang kemunculan Imam Mahdi ini mempunyai peranan yang penting dalam ajaran Babiyah. Sebelum itu mari kita kenali sebuah kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai as-Syaikhiah.

    As-Syaikhiah dinisbahkan kepada nama pengasasnya iaitu Syeikh Ahmad Zainuddin Al-Ihsaie yang mana dahulunya adalah pengikut ajaran Syiah Imamiah. Selepas beliau murtad dari ajaran tersebut dan mengasaskan As-Syaikhiah, beliau amat menitikberatkan perihal kemunculan Imam Mahdi. Menurut pandangan peribadi beliau, Imam Mahdi akan muncul semula dalam kelahiran yang baru dan bukan seseorang yang ghaib selama seribu tahun kemudian muncul semula selepas tempoh itu seperti pegangan pengikut Syiah Imamiah. Disebabkan pendapat beliau yang bercanggah sebegini rupa dengan pengikut Syiah Imamiah, maka beliau telah dimusuhi oleh pengikut Syiah Imamiah dan pemberontakan dilakukan ke atas beliau. Tetapi beliau tetap meneruskan terapan kepercayaan itu di kalangan pengikutnya untuk mereka terus menunggu kedatangan Imam Mahdi.

    Selepas beliau meninggal, tempat beliau telah diganti oleh anak muridnya yang paling rapat, iaitu Kazim ar-Rusyti. Kazim ar-Rusyti telah mengkhaskan bahawa setiap jihadnya adalah kerana kedatangan Imam Mahdi. Beliau turut mempengaruhi pengikutnya untuk menarik perhatian semua manusia akan kedatangan Imam Mahdi yang semakin hampir. Setelah lama mendakwa bahawa dirinya adalah orang perantara, Kazim ar-Rusyti akhirnya mengaku pula bahawa beliau adalah Imam Mahdi yang ditunggu-tunggu selama ini kepada pengikutnya. Beliau telah mendakwa bahawa ruh Allah telah berpindah dan meresap ke dalam tubuhnya dalam bentuk penjelmaan (al-hulul) berupa dirinya sendiri. Tidak hairanlah apabila beliau turut bersetuju dengan pegangan yang dibawa pengikut as-Syaikhiah selama ini bahawa Imam Mahdi bukanlah seorang lelaki yang hilang dan akan kembali semula tetapi sebaliknya Imam Mahdi itu akan dilahirkan semula dalam bentuk kelahiran yang baru seperti yang berlaku pada dirinya selepas pengakuan itu.

    Masalah:- Teori Penjelmaan (al-hulul) Menurut Ajaran Babiyah
    Menurut al-Ihsaie di dalam teori ini, beliau menganggap bahawa sifat-sifat tuhan telah berpindah dan meresap masuk ke dalam diri imam-imam mereka. Oleh kerana sifat-sifat tuhan tersebut, maka imam-iman menjadi mulia dan diletakkan di darjat yang tinggi. Mereka semua kononnya telah diangkat setaraf dengan sifat-sifat ketuhanan. Beliau juga menganggap bahawa kesemua imam ini mempunyai jelmaan ciri-ciri dan sifat-sifat Allah.

    Bermula dari sinilah, ajaran as-Syaikhiah telah bercabang menjadi al-Babiyah di bawah pimpinan Mirza Muhamad Ali Syirazi selepas kematian gurunya, Kazim ar-Rusyti. Melalui al-Babiyah, Mirza Muhammad Ali al-Syirazi pula berteori bahawa roh Allah dan semua sifat yang ada pada para nabi telah berpindah dan berhimpun ke dalam dirinya. Jika diperhatikan teori ini tidak jauh bezanya jika dibandingkan dengan teori penjelmaan dalam agama Nasrani (kristian) yang mengatakan bahawa roh Allah itu berada di dalam al-Masih. Teori al-Babiyah ini juga didapati sama dengan teori penjelmaan dalam ajaran sesat kumpulan Ismailiyyah.

    Tujuan sebenar al-Babiyah dalam menerapkan teori al-hulul ini ke dalam syariat Islam adalah kerana ingin merosakkan kesucian akidah dan tauhid yang menjadi keutamaan Islam dalam setiap kepentingan dan keterangan di antara Pencipta dan makhlukNya.

    Sumber Teori Akidah Hululiyyah
    Mengenai tersebarnya teori sesat ini, terdapat pelbagai pendapat dan sumber yang telah didapati iaitu:-

    1) Abdullah bin Saba' merupakan orang pertama yang menukar teori ini daripada agama Masihi ke dalam ajaran Islam. Pengikut-pengikutnya telah mengambil kesempatan ini dengan melebih-lebihkan kasih kepada Saidina Ali dan ahli keluarganya sehingga ke peringkat menuhankan mereka.

    Pendapat ini dikuatkan lagi dengan pendapat Ibnu Khaldun yang mengatakan bahawa terdapat puak pelampau Syiah yang menyebarkan perkara tentang tuhan manusia dalam ajaran Islam. Kata Ibnu Khaldun lagi, mereka ini telah melampaui had akal dan iman apabila berkata tentang ketuhanan. Sesungguhnya mereka itu telah menyifatkan bahawa sifat-sifat tuhan berpindah ke dalam zat manusia. Pegangan ini sebenarnya terlalu serupa dengan ajaran Nasrani tentang nabi Isa Alaihissalam.

    2) Ada pendapat yang mengatakan bahawa teori akidah ini disebarkan dari seorang Yahudi oleh Abdullah bin Saba' ketika beliau berkata tentang Saidina Ali: "Engkau adalah engkau" yang membawa maksud Tuhan.

    3) Terdapat juga yang mengatakan bahawa teori akidah ini berasal dari Parsi, Iran yang mana terdapat kepercayaan-kepercayaan dari Parsi yang lebih cenderung kepada bertuhankan manusia.

    Masalah:- Teori Tanasukh dalam Ajaran Babiyah
    Teori tanasukh ini hampir serupa dengan teori hululiyyah di atas. Tanasukh menurut ajaran al-Babiyah adalah perpindahan roh Allah ke dalam diri al-Bab. Al-Bab dipercayai sebagai seseorang yang telah ditempatkan untuk penjelmaan roh tuhan dari seseorang kepada seseorang yang lain sepanjang zaman. Mereka juga mempercayai bahawa apabila roh seseorang yang telah terpisah dari jasad itu pernah melakukan kebaikan, maka roh itu akan berpindah ke tempat yang baik dan mendapat nikmat sebagai balasan akhlaknya yang baik sebelum becerai dari badan. Tetapi apabila roh itu pernah melakukan kejahatan, roh itu akan dipindahkan ke tempat yang penuh azab dan akan diazab sehingga hilang semua kejahatan yang telah dilakukan ketika berada di dalam jasad. Selepas penyucian dosa dan kejahatan dengan azab yang dikenakan roh itu akan dikembalikan ke dunia untuk kali kedua. Ringkasnya di sini adalah roh jahat akan dipindahkan dari satu tempat ke satu tempat sehingga sempurna semua penyucian dosa-dosanya.

    Sumber Teori Akidah Tanasukh
    Akidah ini dipercayai datangnya daripada pelbagai sumber yang berlainan. Dipercayai juga bahawa puak Mesir kuno adalah golongan pertama yang merekacipta teori tanasukh ini dan diikuti selepas itu penganut Hindu dan orang Yunani seperti Pythagoras dan Plato. Kemudian menyusul pula ahli kitab daripada kalangan Nasrani dan Yahudi. Terdapat juga sebab bahawa dengan pengislaman ramai dari kalangan orang Yahudi dan Masihi dan kemungkinan terdapat pergeseran suasana Islam dengan agama terdahulu mereka, maka mereka telah mencampur adukkankan akidah-akidah karut mereka seperti teori tanasukh ini ke dalam fikrah Islam.

    Masalah:- Kemaksuman Al-Bab
    Ini adalah salah satu masalah yang paling penting di kalangan pengikut Babiyah yang telah percaya bahawa al-Bab dikecualikan daripada dosa-dosa besar yang membawa maksud bahawa kebebasannya dari dosa adalah secara semulajadi. Mereka mempercayai bahawa al-Bab adalah penggubal dan tuan punya syariat dan hal tentang kenabian, kemahdian dan ketuhanannya telah diwahyukan Allah kepadanya. Disebabkan ketiga-tiga sifat yang dipercayai ada pada al-Bab ini, pengikutnya telah menganggap bahawa kemaksuman itu pasti ada padanya. Al-Bab juga menggalakkan pengikutnya untuk mengenali sifat 'ishmah yang ada padanya dengan menyeru mereka untuk mengorbankan diri dengan menyucikan hati mereka demi mencari apa yang tersembunyi di sebalik sifat 'ishmah.

    Sumber Kepercayaan Tentang 'Ishmah al-Bab
    1) Telah dipercayai bahawa sumber kepercayaan 'ishmah ini adalah bersumberkan ajaran orang Yahudi dari puak yang mengaku suci. Kumpulan Yahudi ini telah mendakwa bahawa mereka adalah orang-orang suci dan telah diberi kuasa ketuhanan daripada Allah dan di kalangan mereka itu adalah golongan yang suci dari salah dan dosa. Mereka ini juga telah mengarang kitab suci orang Yahudi yang dikenali sebagai kitab Talmud yang mana telah menyuruh semua pengikut taat secara membabi-buta. Mereka mendakwa bahawa mereka tidak akan mengatakan selain dari kebenaran kerana Allah telah menciptakan mereka maksum atau suci dari dosa.

    2) Sumber seterusnya dipercayai datang daripada ajaran agama Masihi yang telah bercampur dengan ajaran Islam. Ini berlaku kerana suasana dalam agama Masihi yang melampau-lampau dalam hal Isa al-Masih sehingga mengangkatnya dari seorang manusia hingga ke tahap ketuhanan.

    Allah SWT telah memberi peringatan tentang sifat melampau mereka ini di dalam al-Quran seperti firmanNya: Wahai Ahli Kitab !(Yahudi dan Nasrani) Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Isa al-Masih Ibni Maryam itu hanya seorang Pesuruh Allah dan kalimah yang telah disampaikanNya kepada Maryam dan (ianya juga tiupan) roh itu adalah daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya. Dan janganlah kamu mengatakan: "(Tuhan itu) tiga". Berhentilah (daripada mengatakan begitu) supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Sesungguhnya Allah itu adalah Tuhan Yang Esa. Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada dilangit dan di bumi. Dan cukuplah Allah sebagai Pengawal (yang mentadbir alam ini). - Surah an-Nisa':171.

    Ibadat Cara Babiyah
    1) At-Thoharah (bersuci) menurut ajaran al-Babiyah hanya akan sempurna melalui 6 perkara iaitu: Air, udara, debu, api, nama al-Bab dan matahari sebagai syarat untuk mengeringkan yang basah. Menurut al-Bab, bersuci akan sempurna jika menyebut namanya dan menyebut kalimah "Allahu Athhar" sebanyak 66 kali. Pengikut Babiyah mendakwa bahawa sesiapa yang telah masuk dalam agama Babiyah adalah suci kerana tidak terdapat sedikitpun kekotoran dalam ajaran ini. Al-Bab telah berkata di dalam kitabnya al-Bayan: "Nama Allah itu telah menyucikan kamu apabila kamu menyebut 'Allahu Athhar' sebanyak 66 kali."

    2) Berwudhuk menurut mereka perlu menggunakan air mawar dengan cara meratakannya ke seluruh muka dan kedua-dua tangan sahaja. Untuk menjaga kesucian mereka juga boleh menggunakan sapu tangan ketika berwudhuk dan boleh menghidu bau wangi air mawar tersebut. Hukum berwudhuk bagi mereka adalah harus. Jika didapati tiada air cukup hanya dengan membaca basmalah sebanyak lima kali. Al-Bab turut mensyaratkan agar penting untuk menyediakan tempat mandi di setiap kawasan. Dan air di situ adalah suci untuk menyucikan.

    Mani bagi mereka adalah suci tetapi tidak wajib mandi daripadanya. Begitu juga pendarahan yang keluar melalui mulut adalah suci. Tahi binatang juga adalah suci dan separuh daripada semua haiwan yang tertentu adalah suci menurut ajaran mereka.

    Azan Cara Babiyah
    Ajaran ini telah mensyariatkan azan dan menjadikan azan sebanyak lima kali sehari semalam. Azan hanya akan bermula dilaungkan pada permulaan malam:-

    1) Lafaz azan di dalam azan pertama ialah "Laailaahaillallah" = 19 kali.
    2) Untuk azan kedua perlu menyebut lafaz "Laailaahaillallah" =19 kali + "Allahu a'lam"=19 kali.
    3) Azan ketiga perlu menyebut lafaz "Laailaahaillah" =19 +"Allahu Ahkama"= 19 kali.
    4) Azan keempat perlu menyebut lafaz "Laailaahaillah"= 19 kali + "Allahu Amlaka" =19 kali.
    5) Azan kelima perlu menyebut lafaz "Laailaahaillah"= 19 kali + "Allahu Aslatho"=19 kali.

    Solat Cara Babiyah
    Al-Babiyah mewajibkan solat dua rakaat pada waktu subuh sahaja dan perlu menunaikannya di masjid dengan cara duduk di atas kerusi sahaja. Al-Bab tidak mengiktiraf solat Jumaat dan berjemaah melainkan berjemaah untuk solat jenazah sahaja.

    Orang lelaki apabila bersolat perlu memakai jubah dan wanita dibolehkan berpakaian seperti biasa. Wanita boleh menampakkan rambut dan tubuh badannya ketika bersolat dengan suaminya sahaja dan sebaliknya jika berjemaah.

    Al-Bab juga bersyariat bahawa untuk wanita yang didatangi haid, mereka tidak boleh bersolat dan berpuasa kecuali setelah mereka berwudhuk dan bertasbih sebanyak 95 kali bermula dari waktu tengahari hingga ke tengahari berikutnya.

    Puasa Cara Babiyah
    Ajaran Babiyah memfardhukan puasa sebulan ke atas setiap penganutnya. Diwajibkan berpuasa bagi lelaki dan wanita atas ketetapan yang sama. Dalam setahun bagi mereka mempunyai sembilan belas bulan. Dalam sebulan pula mempunyai sembilan belas hari. Ini bermakna dalam setahun mereka mempunyai tiga ratus enam puluh satu hari. Tempoh berpuasa mereka bermula daripada terbit matahari hingga tenggelamnya matahari. Diwajibkan bagi mereka untuk berpuasa ke atas setiap orang dan ditaklifkan mula berpuasa dari usia baligh iaitu 11 tahun sehingga usia mencapai 42 tahun. Hari raya fitrah bagi mereka adalah hari "an-Nauruz" iaitu hari tahun baru untuk negara Iran. (tidak pasti bila tarikhnya, ada sesiapa yang tahu?)

    Zakat Cara Babiyah
    Al-Babiyah juga menetapkan zakat dalam ajarannya untuk setiap penganutnya yang memiliki harta dengan syarat kadar tempohnya adalah selama setahun iaitu 19 bulan. Kadar kecukupan harta yang wajib dikeluarkan menurut Babiyah adalah apabila harta tersebut mencapai atau melebihi sekitar 541 timbangan (mithqol) daripada harta emas atau perak.

    Kadar yang wajib dikeluarkan untuk sesiapa yang menyimpan emas apabila mencukupi kadar timbangannya adalah sebanyak 500 dinar. Manakala untuk perak pula adalah sebanyak 50 dinar. Kadar zakat turut dikeluarkan untuk al-Bab ketika dia masih hidup dan selepas kematiannya demi kesejahteraan al-Bab.

    Ajaran ini juga turut mengenakan cukai tahunan kepada penganutnya. Mereka dikehendaki membayar sebanyak 1/5 dari harta-harta mereka dan diberikan juga kepada al-Bab ketika dia masih hidup dan juga selepas kematiannya demi keamanannya.

    Haji Cara Babiyah
    Undang-undang haji bagi Babiyah cuma diwajibkan bagi kaum lelaki sahaja tanpa wanita. Difardhukan melakukan haji di rumah tempat lahirnya al-Bab di Syiraz dan syarat-syarat boelh naik haji adalah bagi yang berkemampuan dari segi harta dan kuat upaya. Ajaran ini juga mengharamkan untuk melakukan haji secara wakil. Untuk wanita, mereka dilepaskan dari menunaikan haji melainkan wanita-wanita yang berasal dari tempat kelahirannya di Syiraz. Diharuskan cuma kepada wanita untuk ziarah dan tawaf pada malam hari sahaja. Beliau turut mengharamkan untuk menunaikan haji di Baitullah.

    Jihad Cara Babiyah
    Babiyah mengharamkan semua jenis jihad dan menyeru semua pengikutnya untuk menghentikan setiap tujuan berlakunya perang antara manusia.

    Urus Jenazah Cara Babiyah
    Setiap penganut Babiyah yang sudah mati, diwajibkan mandi ke atas mayat dengan menyiram air mawar sebanyak lima kali. Kemudian jenazah akan dikafan dengan lima helai baju daripada kain sutera atau kain kapas. Setelah itu perlu disarungkan cincin di jari kanan si mati. Bagi jenazah lelaki diukir ayat "قل الله ما فى السموات وما فى الارض وما بينهما". Manakala bagi jenazah wanita diletakkan juga sebentuk cincin di jari kanannya dan diukir ayat "لله ما فى السموات والارضومابينهما".
    Kemudian jenazah akan diletakkan di dalam keranda yang diperbuat daripada kristal. Jika tidak ada keranda kristal, keranda yang diperbuat daripada batu yang licin juga boleh dan jenazah akan disolatkan secara berjemaah. Jenazah cuma dikebumikan di dalam kerandanya. Al-Bab mewajibkan setiap penganutnya menziarahi kubur pada setiap hari ke-19 dan perlu dibacakan ke atas mayat ayat-ayat dari kitab al-Bayan. Mereka juga perlu menyalakan pelita di atas kubur pada setiap kali menziarah.

    Akhir Hayat al-Bab
    Al-Bab telah menghembuskan nafas terakhirnya di tali gantung setelah diarahkan oleh Sultan Nasiruddin untuk membunuhnya pada bulan Julai 1849 Masihi. Arahan ini dikeluarkan kerana didapati dakwah karutnya semakin serius dan merbahaya. Turut dibunuh bersamanya adalah kawannya, Muhammad Ali az-Zanuzi. Kemudian mayat kedua-duanya diikat oleh tentera dan dicampakkan di parit luar bandar Tehran. Diitinggalkan selama tiga hari sehingga mayat mereka dimakan burung-burung. Hidupnya tamat ketika berusia 31 tahun 7 bulan dan 27 hari. Menurut setengah daripada pengikutnya, mayat beliau disemadikan di Bukit Karmel.


    Terjemahan Dari Buku: Dirasah Alamiah Liba'dhin Aqaed at-Tayyarat al-Muasoroh
    Karangan: Doktorah Amnah Muhammad Nasir
    Pensyarah Akidah dan Falsafah,
    Universiti al-Azhar Iskandariah.

0 Lintasan Hati :

TERIMA KASIH

Awas!

Dilarang sebarang aktiviti plagiat ke atas artikel di dalam laman ini. Jika itu berlaku, perlu meminta keizinan daripada pemilik laman ini terlebih dahulu.

Si Kandil's bookshelf: read

Manikam Kalbu
Bedar Sukma Bisu
Surat-Surat Perempuan Johor
Daerah Zeni
Dari Salina ke Langit Petang
Bahlut
Lagi Cerpen-Cerpen Underground
Beruk
Seorang Tua di Kaki Gunung
Tukcai
Badai Semalam
Dedaun Hijau Di Angin Lalu
Kau yang Satu
Juzuk
Panji Semirang
Bagaikan Puteri
Hijab Sang Pencinta
Nota Cinta Buatmu
Cinta Pertama
Pesanan Terakhir Seorang Lelaki


Si Kandil Hijau's favorite books »