• Kegagalan yang berulang...

    Baru saja pulang dari Kaherah. Amat memenatkan... sebulan di sana mencari satu peluang untuk membina 'hidup baru' selepas usai fatrah imtihan sekaligus mencari kekuatan untuk menghadapi keputusan imtihan yang sudah diumumkan. Hasilnya sudah saya maklumi dan kegagalan ini saya terima dengan hati terbuka walau ada sedikit rasa terkilan.

    Dalam dilema mahu memberitahu berita ini untuk keluarga di Malaysia, saya ambil keputusan untuk cuma menghantar SMS kepada abah. Memang saya seorang yang penakut kalau dalam hal ini. Sedari dulu. Apatah lagi andai berita ini diketahui abang, merah telinga mahu menadah leterannya. Mujur juga abah menerima kegagalan saya dengan terbuka. Saya bukanlah seorang yang terlalu yakin dalam apa jua keadaan. Jika orang berpendapat saya tampak seperti penuh keyakinan, itu cuma luaran dan saya dalam proses membina estim diri dalam diam sebenarnya. Sejak kecil saya seorang yang penuh rasa rendah diri, sering mengalami proses pemberontakan emosi, selalu berkhayal dan kurang bercakap. Saya lebih banyak mencipta dunia sendiri.

    Persekitaran sebenarnya yang banyak mengasuh peribadi saya sedari dulu. Jika gagal terus dimarah, dikata lembap, asyik berangan hingga kadang-kadang menjadi tertekan walau saya masih kanak-kanak tika itu. Sungguh! Jika dimbas satu persatu zaman kecil saya, tidaklah seceria kanak-kanak lain yang ceria dan bebas dimanjai. Lantaran saya mempunyai seorang abang dan kakak yang agak garang dari luaran tapi saya akui mereka cukup baik dengan saya sebenarnya. Pun begitu, saya sering memprotes mereka dalam diam. Bukan saja sejak kecil tapi sehingga hari ini. Inilah seorang saya sejak dulu. Agak degil, suka membantah dan cepat terasa walau salah itu datang dari saya. Saya ego sebenarnya. Susah mahu mengaku kesalahan diri, tapi di luar pengetahuan saya kembali menghisab kesilapan-kesilapan yang telah saya lakukan. Bermula dari itu, saya banyak berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara. Akibat sering dimarahi juga, saya banyak belajar untuk lebih menjaga diri dari melakukan kesilapan tapi tetap berlaku jua dan hati tetap terguris apabila dimarahi.

    Iyalah.. itu zaman kanak-kanak.Tapi ia tetap berbekas di sudut hati saya. Masih teringat, apabila diri dibanding-bandingkan dengan kejayaan abang dan kakak. Terasa ngilu dan sayu lalu begitu terasa diri saya tidak mampu membawa satu kejayaan pun yang mampu menggembirakan hati abah dan emak. Memang betul, saya seorang anak yang tidak pernah sekalipun membawa pulang kejayaan seperti yang mampu dicipta abang dan kakak. Lalu saya tidak dapat mengelak dari perasaan cemburu. Waktu itu saya merasakan abah dan emak begitu menyayangi mereka berdua. Maka tindakan saya untuk menyahkan rasa tidak sedap hati, saya lebih banyak bersendiri dan malas mahu mengambil tahu hal-hal sekeliling. Saya tidak pernah mempunyai peluang untuk menyuarakan rasa hati dan setiap kata sering dibantah tanpa peduli hati kecil saya. Lalu apabila peluang saya itu sering disekat, saya mula menulis apa-apa saja yang saya rasai di buku-buku. Sama ada saya gembira atau sedih. Saya pernah menulis sambil airmata mengalir menitik ke buku. Namun semua buku-buku luahan hati saya itu sudah saya campak ke dalam api dengan harapan mahu mencari sinar kehidupan baru. Mahu mencipta seorang saya yang lebih positif, optimis, peka, penuh konfiden dan terbuka menerima sebarang kegagalan dalam hidup. Saya sudah acapkali menerima kegagalan dan saya sudah betah andai kegagalan sekali lagi mengakrabi diri. Tapi saya akan pastikan kegagalan tidak selamanya sekatil dengan saya.

0 Lintasan Hati :

TERIMA KASIH

Awas!

Dilarang sebarang aktiviti plagiat ke atas artikel di dalam laman ini. Jika itu berlaku, perlu meminta keizinan daripada pemilik laman ini terlebih dahulu.

Si Kandil's bookshelf: read

Manikam Kalbu
Bedar Sukma Bisu
Surat-Surat Perempuan Johor
Daerah Zeni
Dari Salina ke Langit Petang
Bahlut
Lagi Cerpen-Cerpen Underground
Beruk
Seorang Tua di Kaki Gunung
Tukcai
Badai Semalam
Dedaun Hijau Di Angin Lalu
Kau yang Satu
Juzuk
Panji Semirang
Bagaikan Puteri
Hijab Sang Pencinta
Nota Cinta Buatmu
Cinta Pertama
Pesanan Terakhir Seorang Lelaki


Si Kandil Hijau's favorite books »