• CATATAN SEORANG PENULIS KECIL


    Hobi Menulis.

    Menulis memang hobi saya sejak bertahun-tahun dahulu. Sejak saya di bangku sekolah rendah. Saya masih ingat detik pertama saya mula menggilai dunia seni penulisan ini adalah ketika saya menyertai pertandingan mengarang berpandukan gambar yg dianjurkan pihak sekolah (Sekolah Kebangsaan Padang Perahu) - ketika itu saya di dalam darjah 6 tahun 1995.

    Uhuk! Rindunya zaman itu. Hmm, dapat nombor dua! Itulah pertama kali saya terasa tulisan dan bakat saya dihargai. Dan sebermula detik itu, saya mula menekuni subjek Bahasa Melayu dengan penuh minat. Hasilnya, saya selalu mendapat markah tertinggi dalam kelas. Ada juga rakan-rakan lain yangmendapat markah tinggi dan kami selalu berlumba-lumba untuk itu apatah lagi UPSR yang bakal berlangsung. Cikgu subjek itu pula -Cikgu Radiah Zainal - seorang guru yang tegas, agak garang dan bermulut laser tapi biarpun begitu saya tetap suka bila beliau mengajar) selalu menekankan kami latih tubi tentang aneka tatabahasa Bahasa Melayu. Memang di dalam kelas kami terdapat berbakul-bakul soalan latih tubi yang menjadi aktiviti harian kelas di sekolah apabila tiba subjek tersebut. Memang tidak sia-sia didikannya kerana kebanyakan kami mendapat A dalam subjek ini.



    Jatuh Cinta.

    Cinta saya dalam dunia ini juga bermula dengan hobi dari kakak saya yang juga berbakat dalam penulisan - biarpun sebenarnya dia cuma hangat-hangat taik ayam - bermula dari aktiviti seorang adik yang tidak ada kawan dan hanya tahu berkawan dan kemudian bergaduh dengan kakaknya sahaja, maka saya banyak mencedok hobi beliau.

    Bermula dengan aktiviti mencedok hobi orang saya akhirnya mula jatuh cinta dengan buku-buku cerita. Dia membaca saya pun membaca. Novel-novel yang dia pinjam dari teman-temannya saya pun sibuk mahu menghadam sehingga lah satu hari muncul mesin taip antik abah - bunyinya sahaja boleh mengganggu tidur sesiapa sahaja- yang memang di'parking' bawah almari Volkswagen (bukan kereta tetapi jenama almari dan sekarang masih ada di rumah saya) di rumah. Apa yang saya nampak ketika itu kakak saya mula berangan mahu menjadi penulis adanya seperti novel-novel cinta yang dibaca kami. Ketika itu novel Creative Enterprise selalu menjadi santapan kami berdua - sampai sekarang sebenarnya setiap kali ke kedai buku saya tercari-cari novel terbitan Creative Enterprise tapi tiada. Apakah sudah pupus?- Dia pun mulalah menaip berkajang-kajang kertas tentang kisah-kisah imaginasinya. Tapi selepas itu mesin taip antik abah itu kembali diam. Dan saya yang suka memerhati ini pernah menyelongkar fail karyanya untuk mencuri baca karyanya yang entah bila akan tamat kisah itu.

    Seperti biasalah setiap penulis pasti mempunyai nama samaran termasuklah dia. Saya cuma memerhati nilai erti sepotong nama ciptaannya. Hati saya tertarik di situ. Seperti ada magnet untuk saya turut memegang pen lalu mulalah saya menulis apa sahaja yang ingin ditulis. Saya coret dan saya simpan segala-galanya dalam sebuah buku yang dibalut cantik mengikut selera saya. Bermakna saya juga sudah punya nama pena sendiri. Sungguh seronok ketika itu bergelumang dengan kertas dan pen dan menulis apa sahaja kemudian di bawahnya tercoret sepotong nama pena milik saya.

    Seronokkan syok sendiri.

    Mesin Taip Antik Abah.

    Bermula dengan coretan pen kemudian saya mula menggunakan mesin taip antik abah apabila kakak saya sudah jarang lekat di rumah kerana mendapat tawaran universiti. Di rumah tiada komputer ketika itu. Dan sejak itu dunia ciptaan saya bermula. Siang dan malam dengan mesin taip antik abah yang 'evergreen' itu. Bahkan pada cuti mingguan atau cuti sekolah pun saya rela tidak ke mana-mana demi berkepit dengan mesin taip antik abah itu. Makan pagi, makan tengahari sehingga makan malam pabila emak menyeru-nyeru nama saya untuk turun makan, saya akan membalas; "tak lapar lagi!" sedangkan perut sudah berkeroncong lagunya namun saya tetap dengan keghairahan memerah otak dengan imaginasi karya dan lantunan jari pada keyboard mesin taip antik abah yang bising itu.

    Dan emak mula membebel-bebel mengatakan saya tidak berdunia dengan orang walaupun semua orang ketika itu sudah maklum dengan hobi saya. Tapi tiada siapa yang ambil serius dengan hobi 'cabuk' saya ketika itu. Saya tidak peduli.

    Kalau nak dikira, ada juga beberapa buah sajak dan pantun ciptaan saya waktu itu dan cerpen-cerpen cinta remaja yang masih dalam simpanan sekarang. Semuanya tidak pernah diketengahkan kerana persekitaran dan tiada pendedahan tentang cara untuk karya menembusi media. Baru-baru ini, saya telah berjaya menyeludup beberapa cerpen tersebut masuk ke Mesir dengan harapan karya-karya itu akan diberi nafas baru dan mahu dihantar ke media.

    Doakan ya.

    Almari Volkswagen.

    Saya agak suka bila bercakap tentang almari Volkswagen ini. Memang dia berjenama sebegitu dan memiliki ketinggian yang comel. Di dalamnya terdapat puluhan buku-buku yang juga 'antik'. Almari itu pernah menjadi mangsa selongkar saya. Selongkar juga boleh dikatakan hobi saya hingga sekarang. Membelek buku demi buku di dalamnya membuatkan masa saya terisi tanpa bosan. Saya cuma teringat beberapa buah buku yang menarik hati seperti:-

    Putih Bunga, Hikayat Abu Nawas (tulisan jawi), Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Seorang Tua Di Kaki Gunung, Daerah Zeni, Panji Semirang dan beberapa antologi cerpen dan puisi lama.

    Semuanya berkulit lama tetapi itulah yang paling saya suka. Kalau kawan-kawan tahu, pasti saya digelakkan kerana kesukaan saya yang agak pelik ini. Tapi....ada ku kisah!


    Sindrom Mind Block.

    Oh! Berbalik pada niat asal saya menulis di sini, saya dapati hobi menulis saya semakin menurun berbanding ketika zaman saya sibuk berkepit dengan mesin taip antik abah itu. Apakah sebenarnya yang berlaku pada saya? Sudah tentu jawapanya :- Saya tidak tahu kecuali satu iaitu malas!

    Kepulangan saya ke Malaysia baru-baru ini untuk bercuti memang agak mengecewakan. Tiada karya baru, terlepas bengkel penulisan online bersama teman-teman GKLN dan cuma mampu membuka karya-karya evergreen yang lebih pada syok sendiri itu berbanding mahu mengubahsuai mereka menjadi lebih enak dibaca. Apa lagi yang boleh dikata. Sampai tidak terkata untuk berkata-kata tentang sindrom 'beku jari dan imaginasi' ini. Enam bulan di Malaysia saya cuma berjaya menghadam 3 buah novel disebabkan faktor sibuk dengan kerja dan persekitaran yang kurang membantu.

    Huh..adakah itu alasan yang terbit dari orang yang cuba menutup salah sendiri. No komen!



    Mesin taip antik abah yang sudah rongak. Perhatikan tarikh di situ dan kira usianya^_*

    Sebetulnya saya jadi rindu dengan semangat menulis zaman dahulu ketika saya asyik berkepit dengan mesin taip antik abah itu. Walaupun waktu itu tiada karya saya yang pernah keluar media, tapi saya mahu semangat dan 'mood' menulis ketika itu berbanding sekarang.

    Biar sekarang sudah maju dengan komputer riba, namun jasa mesin taip antik abah itu tetap saya ingati. Pulang bercuti baru ini, mesin taip antik abah masih ada dan tetap begitulah rupanya, cuma dakwatnya sudah habis untuk menaip. Saya baru teringat bahawa sayalah orang terakhir yang menghabiskannya. Nampakkan, betapa terlihat di sini gigihnya saya untuk menjadi penulis ketika itu biarpun cuma syok sendiri! Tapi nak kata syok sendiri tu, tidak jugak. Ketika saya di tingkatan enam, saya tiada wang untuk membeli apa yang disukai - malu mahu meminta pada emak dan abah - dan pernah menulis artikel tulisan tangan dan mengirimnya ke akhbar Minda Pelajar. Ternyata ia disiarkan biarpun saya cuma mendengar artikel saya itu disiarkan dari seorang teman yang kononnya melihat nama saya terpampang di akhbar tersebut. Betul. Saya cuma mendapat cek bernilai RM20 untuk itu.

    Kini, suasana berubah. Saya sudah bertemu (biarpun tidak seramai mana) kawan-kawan yang punya minat seperti saya. Saya sudah punya tapak untuk terus menulis, sudah punya teman yang boleh dijadikan mentor penulis, sudah menjadi ahli grup penulis secara kecil-kecilan dan sudah berjaya memiliki puluhan novel dari penulis yang saya gemari. Dan saya boleh lebih bebas untuk mencorak teknik penulisan saya melalui sumber-sumber pembacaan yang tidak terhad ini. Masalahnya sekarang apa ya...!

    Oh, idea! Saya hilang idea. Mind block!

    Bila terlalu lama seseorang penulis itu tidak berkarya tentang apa sahaja, ertinya dia sudah mula membiarkan dirinya diserang 'mind block'. Jati dirinya menjadi tidak tentu arah. Jiwanya adalah jiwa penulis, tetapi fizikalnya berpura-pura tidak peduli dengan isu sekeliling. Cuma membaca sekali lalu apa yang berlaku:- gempa bumi, tsunami, banjir di negara sendiri, rusuhan politik di negeri tempat belajarnya, masalah sosial remaja dan kanak-kanak juga bermacam-macam lagi. Penulis tersebut jika begitu sifatnya boleh dipanggil tuli.

    Diulangi TULI lagi pekak malah boleh jadi dia juga buta.

    Tiada inisiatif untuknya mengaplikasikan kes-kes seperti di atas untuk dijadikan apa-apa bentuk karya bertulis. Hakikatnya, di satu sudut yang paling dalam, dia rupa-rupanya sedang berperang dengan jati dirinya sebagai penulis! Antara tanggungjawab sebagai khalifah Allah dan minatnya untuk suka-suka menulis mengikut mood.

    Wah, emosinya saya.

    Teringat beberapa bulan sebelum pulang ke Malaysia, saya begitu giat berkarya semata-mata untuk menyertai sayembara puisi anjuran Grup Karyawan Luar Negara (GKLN). Biarpun tidak berjaya sebagai TOP 3, lalu terpilih sebagai tiga orang di antara penerima hadiah saguhati sudah cukup memugar semangat berkarya. Seminggu di Malaysia, saya dikunjungi van pos laju yang jauh membawa hadiah saguhati tersebut. Hadiahnya berupa beberapa buah buku antologi puisi dan novel hasil tangan penulis-penulis mapan Malaysia. Saya teruja! Jadi tidak hairanlah kenapa GKLN selalu menganjurkan sayembara penulisan kepada ahli-ahlinya yang pantang 'lepa' -menurut loghat Kedahv- akan merudum semangat menulis seperti nangka busuk yang jatuh ke tanah tanpa apa-apa manfaat pada sekitarnya.

    Hadiah saguhati sayembara menulis puisi Islami GKLN 2010

    Sekarang satu projek (lebih kepada projek amal) GKLN bersama DBP sedang menunggu. Sebetulnya tarikh luput sudah lama habis tanpa apa-apa karya dari saya. Memang 'pending' lagi parkinson saya sekarang. Tapi Allah masih mahukan saya terus tekal menulis apabila pihak penganjur melanjutkan tarikh penyerahan karya sehingga sebelum 24 April 2011. Agaknya rezeki saya masih panjang dalam arena ini. Insya Allah.

    Elok saya berhenti dulu di sini. Banyak betul celoteh. Semoga saya lebih tekal menulis dan istimrar- berterusan. Saya perlu siapkan banyak idea yang tergantung dalam sukma dan minda. Aduh! Esok ada kuliah juga. Perlu juga stamina dalaman. Hehehe...

    Sayonara!

2 Lintasan Hati :

  1. saya teringat mesin taip abang saya... oveletti apa ke namanya...

  2. heee....trima kasih sudi kunjung ke sini encik mohamad kholid.

TERIMA KASIH

Awas!

Dilarang sebarang aktiviti plagiat ke atas artikel di dalam laman ini. Jika itu berlaku, perlu meminta keizinan daripada pemilik laman ini terlebih dahulu.

Si Kandil's bookshelf: read

Manikam Kalbu
Bedar Sukma Bisu
Surat-Surat Perempuan Johor
Daerah Zeni
Dari Salina ke Langit Petang
Bahlut
Lagi Cerpen-Cerpen Underground
Beruk
Seorang Tua di Kaki Gunung
Tukcai
Badai Semalam
Dedaun Hijau Di Angin Lalu
Kau yang Satu
Juzuk
Panji Semirang
Bagaikan Puteri
Hijab Sang Pencinta
Nota Cinta Buatmu
Cinta Pertama
Pesanan Terakhir Seorang Lelaki


Si Kandil Hijau's favorite books »