• 5 TAHUN 2 BULAN

                                                                              Bismillah. 

    Pejam celik, pejam celik sudah 5 tahun 2 bulan blog ini dibina. Sejak Jun 2007 sehinggalah tahun ini Ogos 2012 sekarang, baru saya tersedar bahawa 'rumah hijau' ini sudah lama menemani saya di rantau. Segala-galanya bermula apabila saya berkelana ke Mesir pada September 2006. Di situ saya mula mengenali Yahoo Messenger dan aktiviti chit-chat. Percaya atau tidak! Tapi saya bukan tak tahu langsung pasal chatting ni. Saya selalu juga tengok-tengok kakak saya yang selalu tak tidur malam sebab aktiviti gila berchattingnya bila dia bercuti semester. Banyak pulak kawan-kawan dia (termasuklah suaminya sekarang). Siap ada suara menyanyi-nyanyi, dan saya membuat kesimpulan ketika itu bahawa berchatting memang seronok sampai boleh ketagih selain boleh berkongsi hobi, kalau kena caranya. Dan boleh juga mencipta populariti kalau ada grupkan! Semua chatters kenal  kalau si fulan si fulan ni online dalam grup. Seronok jugalah saya menyaksikan aktivitinya itu kalau dia tidak menghabat mana-mana gunung. Siang tidur malam berjaga. Burung hantukan! Mak pulak dah mula bising-bising anak dara dia itu dan ini. Kalau orang lain saya tak tahulah. Tapi, itu cerita 9 tahun silam. Sekarang hilang entah ke mana tabiatnya itu sebab sudah kahwin beranak tiga. Wink! Wink!



    Saya sebenarnya sebelum ini tidak tahu apa-apa pun tentang dunia tanpa sempadan ini melainkan emel. Ya, saya hanya pandai beremel! Sungguh 'suci' kata orang (tersengih sendiri). Di rantau orang juga saya mula meluaskan jaringan tanpa sempadan ini secara berdikit-dikit. Kawan-kawanlah yang banyak mengajar itu, ini. Padahal, semasa di kolej Malaysia ada saja cyber cafe, tapi ketika itu saya bukanlah kaki lepak di cyber cafe. Cuma sesekali saja saya masuk bila mahu buat tugasan dan print assignment, kertas kerja dan minit mesyuarat. Pendek kata saya cuma tahu menggunakan microsoft word saja. Kalau habis canggih pun, 'gian' nak periksa emel. Zaman itu memang rajin saya menulis emel pada teman-teman saya yang sudah ke Mesir. Menunggu balasan emel mereka yang punya cerita-cerita rantau dan kata-kata semangat mereka agar saya rajin-rajin belajar kalau mahu ke sana. Dan selepas itu saya akan melangkah pulang ke hostel dengan hati berbunga-bunga kerana mendapat emel. Itu ketika di kolej.

    Menyeberang saja ke luar negara, saya menjadi lagi celik IT. Iyalah, kalau tak celik dan tak belajar pasal-pasal ini, bagaimana nak menghubungi keluarga di Malaysia? Ketika itu, baru saya tahu banyaknya medium yang belum saya teroka di internet. Barulah saya tahu bersembang-sembang di Yahoo Messenger, masuk room chat sana-sini bukan main, apa itu webcam, jenis-jenis voip untuk menelefon famili di tanah air dan membaca blog. 

    Membaca memang boleh dikatakan hobi saya. Dulu, yang saya tahu ilmu boleh didapati dengan membaca buku saja. Tapi selepas melawati beberapa blog, saya mula tahu bahawa blog juga adalah satu medium yang bagus untuk dibaca. Ada baik ada buruknya, seperti juga buku. Semakin lama saya melawati blog-blog yang pelbagai warna, rencam bahasa Melayunya, saya mula berhajat untuk membuka sebuah blog peribadi juga. Saya mahu ceritakan di sini bahawa pencetus terkuat saya untuk berblog adalah selepas saya mengenali teman-teman pengkarya dari grup penulis muda Mesir atau ADABUNA. Saya mahu mengembangkan minat menulis saya di dada blog. Itu saja.


    Saya mula maju bila menyertai bengkel penulisan online  melalui YM antara Adabuna - GKLN pada awal Februari 2007. Antara moderatornya adalah Dr. Faisal Tehrani dan Nisah Haron. Cuma kenal mereka dalam maya dan mendengar suara saja. Orang yang bertanggungjawab membawa saya ke dunia penulisan kreatif ini adalah Angah Faezah. Dia yang mencadangkan agar saya menyertai bengkel ini. Beliau adalah antara teman-teman baru saya di Mesir yang banyak memugar semangat saya dalam menulis dan berblog. Saya sangat rindu pada awal-awal saya di alam ini. Selepas mengenali Angah Faezah, barulah saya mengenali Ustaz Zaki, Han Ri dan Iman, kemudian mengakrabi Zainab Haron Yahya, berkongsi rasa dan pendapat bersama Najwa dan mencipta kisah-kisah nakal bersama Laila. Bersama mereka, banyak mendidik saya tentang seputar penulisan. Saya puas bila dapat membaca sesuatu di blog mereka walaupun cuma cerita remeh, kerana pada merekalah saya merasakan semangat untuk menulis. Kerana di sebalik tulisan mereka saya mencipta tulisan saya biarpun mereka tidak tahu. Merekalah mentor saya sehingga ke hari ini tanpa disedari. Saya bertuah kerana mengenali mereka yang banyak memberi 'jalan' pada saya dalam dunia penulisan ini.


    Dan saya mula mengenali dan menulis blog. Saya masih ingat template pertama saya gunakan warna hijau, kemudian saya bertukar ke template warna buah kundang, kemudian kembali ke warna hijau tapi lebih sweet dari yang pertama, kemudian bertukar ke warna biru muda langit dengan awan-gemawan serba bagai dan sekarang kembali ke warna hijau bersama gabungan biru langit yang sweet dipandang, selepas setahun saya bercuti dari 'rumah hijau' ini. Dan ketika itu saya gembira walau hanya dengan itu. Kenapa gembira? Kerana saya tak pernah belajar dari sesiapa pun untuk membina blog walaupun saya sangat tohor dalam ilmu berblog dan berintenet ketika itu. Lagi pula saya malu kalau orang tahu saya mempunyai blog dan membaca tulisan saya. Pada fikiran saya ketika itu, cukuplah saya seorang yang membaca tulisan-tulisan bodoh saya. Sedangkan bila saya membaca blog orang lain, tidak pula saya rasa apa-apa walaupun blog mereka cuma biasa-biasa saja.

    Akhirnya saya berjaya mencipta blog tanpa bantuan sesiapa dan cuma dengan usaha gigih saya saja. Hari-hari waktunya selepas solat Asar saya akan ke cc. Waktu itu internet cuma ada di kedai cc dan kebanyakan rumah pelajar Malaysia tidak boleh pasang internet. Saya mula menulis apa yang terlintas dan saya suka. Ada juga artikel yang dicopy kerana saya suka membacanya dan mahu berkongsi di blog dan sebagainya. Itu dunia blog saya yang dulu. Dulu, kalau ada blog, orang pandang hebatlah sebab tak semua orang pandai buat blog. Tapi sekarang dah lain, adik saya yang berumur 13 tahun pun sudah pandai serba-serbi berblog. Lagi advance dari orang dewasa.

    Sekarang, saya masih di blog yang dibina dengan 'usaha gigih' ini juga. Baru saya tahu kini, sebenarnya saya bukanlah seorang yang gila berblog. Cukuplah sekadar boleh mengisi masa lapang dan memberi input walaupun sedikit pada yang  sudi membaca. Dan juga ia saya jadikan sebagai 'kelas menulis' untuk diri sendiri. Saya rasa cukuplah sekadar itu hadaf saya untuk berblog setakat ini kerana saya tahu saya bukanlah orangnya yang layak untuk memberi bahan bacaan yang bertaraf ilmiah kepada orang ramai. Saya cuma menulis kecil-kecilan tapi tidaklah bermakna saya menulis perkara yang merapu-rapu dan tidak langsung membina minda. Pada saya paling kurang pun, apabila orang membaca tulisan kita, mereka ada perasaan bersemangat untuk menulis juga dan akhirnya melahirkan satu hobi yang bagus iaitu - menulis menerusi blog. Berkongsilah apa sahaja yang dirasakan sesuai di medium ini selagi tidak menyesatkan orang.

    Tak begitu?

    Anda pula bagaimana?

    *GLOSARI :  meghabat - mendaki
                         cc - cyber cafe

4 Lintasan Hati :

  1. kakak u kan org baik2, sebab tu ramai kawan hehehe

  2. yo lah...

  3. ~Ms.Islam~ berkata...

    uihhhh..mention nama adek..bangga hot lagi sentap..muaahhaha

  4. mention untuk contoh saja. jgn dok sentap sgt aih...

TERIMA KASIH

Awas!

Dilarang sebarang aktiviti plagiat ke atas artikel di dalam laman ini. Jika itu berlaku, perlu meminta keizinan daripada pemilik laman ini terlebih dahulu.

Si Kandil's bookshelf: read

Manikam Kalbu
Bedar Sukma Bisu
Surat-Surat Perempuan Johor
Daerah Zeni
Dari Salina ke Langit Petang
Bahlut
Lagi Cerpen-Cerpen Underground
Beruk
Seorang Tua di Kaki Gunung
Tukcai
Badai Semalam
Dedaun Hijau Di Angin Lalu
Kau yang Satu
Juzuk
Panji Semirang
Bagaikan Puteri
Hijab Sang Pencinta
Nota Cinta Buatmu
Cinta Pertama
Pesanan Terakhir Seorang Lelaki


Si Kandil Hijau's favorite books »