Ketika menulis entri ini ada seekor lalat yang cuba mengganggu saya. Saya memang pantang dengan lalat. Hairannya ia nampak semacam suka benar mengibar-ngibar sayap di kepala saya. Mungkin mahu membalas dendam kerana kelmarin saya telah berjaya membunuh seekor lalat jantan yang besar (rasanyalah lalat itu jantan sebab ia berjalur-jalur : harap betullah teori ini) yang mungkin juga pasangannya. Tak pasti lubang mana mereka masuk. Pintu dan jendela rumah sewa ini, dua tiga lapis (pintu rumah-rumah di negara empat musim memang berlapis-lapis). Lapis yang dalam ialah pintu kaca dan kedua adalah kayu berongga dan ketiga adalah jaring-jaring halus yang susah dimasuki serangga sebesar lalat. Sehari seekor lalat yang menganggu okay! Bila lampu ditutup, mulalah ia gelabah mencari cahaya. Tahukah anda lalat kalau berada di dalam gelap ia akan pening, seperti yang kita selalu sebut 'pening-pening lalat', maka merapu merabanlah ia terbang mencari cahaya di komputer riba saya macam hilang akal. Padan muka kau! Dan ia sudah hilang entah ke mana. Agak-agak andalah, kenapa agaknya lalat dicipta Allah? Jawapannya nanti saya beritahu di akhir entri kerana sebenarnya entri ini bukan pasal lalat.
Entri ini saya tulis selepas satu ketika saya sering memikirkan hidup saya selama ini. (Baca : tentang cita-cita dan masa depan). Saya masuk darjah 1 dalam tahun 1990. Setiap tahun pelajar pasti akan ada satu fail rekod berwarna coklat muda (saya masih simpan sampai sekarang). Guru kelas akan menulis butir diri pelajar dan dalam ruangan cita-cita, beliau akan memanggil setiap orang pelajar dan bertanya cita-cita masing-masing. Saya sangat suka bila cikgu kelas (almarhumah Cikgu Rokiah Yahya) bertanya hal itu. Di depan cikgu, mulalah berfikir-fikir mahu jadi apa bila besar. Boleh beritahu 3 jenis cita-cita di rekod itu. Pensyarah. Guru. Doktor. Peguam. Paling tak tahan, pramugari! Cikgu pun main layan dan tulis saja. Al-Fatihah untuk Cikgu Rokiah.
Kenangan di Sekolah Kebangsaan Padang Perahu 18 belas tahun silam.
Saya berdiri 3 dari kiri bertudung biru.
Apabila mencecah usia remaja, saya pun menyambung pelajaran di sekolah agama seperti yang emak harapkan. Saya agak tawar hati mahu ke sekolah tersebut kerana saya tidak berjaya mendapat tawaran ke sekolah-sekolah agama terbaik walau keputusan UPSR saya agak bagus. Namun, emak mengatakan sekolah agama di mana-mana pun sama saja, janji saya rajin belajar. Janji sekolah agama! Itu kata beliau. Maka saya pun belajarlah sambil menyematkan baik-baik kalimat emak di dada dan ingatan. Biarpun saya kurang suka dengan suasana dan corak pergaulan (mungkin jiwa saya memberontak dalam diam) di sekolah itu, saya tetap menghabiskan pengajian di situ sehingga saya tingkatan 6. Pada asalnya saya ingin mengambil STPM kerana sudah tak mahu bersekolah di situ, tapi abang sulung saya bertegas menyuruh saya mengambil Sijil Tinggi Agama (STA). Kawan-kawan baik saya selepas SPM ramai yang sudah keluar mendapat tawaran kolej-kolej lain dan mengambil STPM di sekolah biasa. Jadi saya rasa semangat persekolahan saya semakin merudum ketika itu. Macam hidup segan mati tak mahu.
Memasuki usia remaja di sekolah itu, menjadikan personaliti saya berbeza dibandingkan ketika di sekolah rendah. Sungguh berbeza zahir dan batin. Benarlah, sifat kanak-kanak dalam diri perlu diubah sedikit-sedikit, maka sifat riang, ringan mulut dan sentiasa bersemangat ketika di sekolah rendah bertukar menjadi serius, pendiam dan kurang bersemangat. Belajar pun sudah malas dan ala kadar saja kerana saya dalam diam tidak suka menghafal. Tapi sebab saya sudah mulakan, saya perlu teruskan kerana itu harapan tinggi emak pada saya. Saya nampak harapan itu kerana saya anak perempuan pertama dalam keluarga yang bersekolah agama (saya punya kakak tapi beliau bersekolah menengah asrama penuh dan telah menukar aliran dari agama ke aliran sains mengikut keputusan peperiksaannya yang maju dalam subjek sains).
Bersama teman-teman baik ketika sekolah menengah.
Saya yang berdiri pertama dari kiri.
Biarpun keputusan peperiksaan di sekolah menengah selalu merosot (masih dalam simpanan) berbanding majunya pencapaian saya di sekolah rendah, tapi saya tetap bercita-cita mahu masuk universiti. Itu kerana saya punyai abang dan kakak yang sedang belajar di universiti. Sedikit sebanyak itu menjadi inspirasi saya untuk rajin belajar. Selepas SPM saya pernah cuba memohon UPU (IPTA), tapi gagal kerana tahun tersebut kerajaan lebih mengutamakan lulusan STPM.
Selepas habis tingkatan 6 saya cuba memohon memasuki sebuah kolej agama kerajaan negeri yang baru berusia enam tahun penubuhannya. Saya berjaya dalam permohonan dan mendapat jurusan Program Ijazah Sarjana Muda Usuluddin berkembar dengan Universiti al-Azhar, Mesir. Dalam masa yang sama, saya juga pohon untuk memasuki maktab perguruan. Saya berjaya ke temuduga bertulis saja. Sudah bukan rezeki saya untuk ke IPTA dan maktab. Ketika itu, saya mahu mencari cita-cita sebenar saya tapi yang saya nampak cuma benteng batu yang tegap di depan saya. Tak boleh ke mana-mana mengikut kata hati saya sendiri. Saya keliru memikirkan masa depan, walaupun saya sudah bergelar siswi di kolej agama itu tapi saya masih kecewa kerana tak dapat menjadi siswi universiti tempatan hatta maktab sekalipun. Dan kerana saya sudah mula belajar di situ, maka saya perlu habiskan sehingga akhirnya. Saya belajar dan terus belajar saja mengikut arus masa tanpa memikirkan semula apakah cita-cita sebenar yang tersimpan di lubuk hati , kerana saya tak pernah ketemu jawapannya. Di mata orang, sudah pastilah saya akan menjadi guru/ustazah kerana aliran agama yang saya pilih ini. Tapi semakin lama saya semakin sedar bahawa anggapan orang itu bukan cita-cita dalam jiwa saya. Saya masih acuh tak acuh walaupun sedang dalam program ijazah tersebut. Apa yang saya tahu saya perlu habiskan pengajian saya sehingga ke Mesir! By hook or by crook!
Bersambung... (tak bajet pun nak sambung)
Okay, jawapan kenapa lalat itu dicipta?
Kerana untuk menguji kesabaran manusia memandangkan perangainya yang suka hurung-hurung kitakan! Betul tak, kalau tak percaya cari tempat banyak lalat, duduklah selama setengah jam. Tengok, adakah anda akan bersabar dengan makhluk itu.
Si Kandil Hijau
Alexandria, Egypt
0 Lintasan Hati :
Catat Ulasan