Ilustrasi oleh: Damilho |
Anis leka
memerhati anak-anak kecil yang keletah bermain jongkang-jongket di taman permainan
rumah asuhan Seri Kasih. Sungguh, melihat anak-anak kecil terasa hilang segala
masalah tatkala mengikuti perkembangan tumbesaran mereka yang aktif dan sihat.
Semua kekusutannya seolah-olah terurai.
Sepanjang
hidupnya yang berusia dua puluh enam tahun ini, Anis tidak pernah merasa kesempurnaan
hidup sebegini. Segalanya terasa lengkap dengan kelahiran Iyad lima tahun lalu.
Pada mulanya dia kesal dengan kurniaan itu, namun sebaik sahaja tangisan Iyad
memecah hening subuh di saat kelahiran, dia terasa satu semangat mula mengalir
dalam tubuhnya untuk terus berdiri menghadapi hidup. Dia terasa lengkap dengan
kehadiran anak kecil itu.
Anis
memandang jam di pergelangan tangan. Waktu rehat anak-anak itu sudah habis.
Sebetulnya sekarang kelas kreatif sudah bermula. Dia bangun dari kedudukan
memanggil anak-anak itu masuk ke kelas. Seorang anak kecil lelaki mirip
wajahnya mendahului teman-teman yang lain menghampiri.
"Mama,
Iyad dahagalah!" Anak itu mengerut kening sambil berpaling ke belakang
melihat rakan-rakan sebaya yang turut berlari-lari.
"Mama
Anis, kami pun dahagalah!"
Dia
memandang semua anak-anak asuhannya dengan senyuman. Peluh merenik-renik turun
membasahi wajah masing-masing.
"Okay,
jom masuk. Nanti mama buatkan jus oren!"
Dia
mendahului anak-anak yang terlonjak-lonjak ceria itu masuk ke dalam banglo dua
tingkat yang digelar Seri Kasih. Seri Kasih kepunyaannya sejak tiga tahun yang
lalu. Tempat itu membuatkan hidupnya dan Iyad terisi. Dia membina Seri Kasih
dengan kudrat usahanya bersama beberapa orang pembantu setia. Dengan bimbingan
Tuhan Yang Esa berbekal sedikit kecekalan dan keyakinan optimis untuk
meneruskan hidup biar hakikatnya terlalu sukar dia menghadapi hidup bersendirian
Seri Kasih
pernah menjadi impian main-mainnya dahulu. Pernah tercetus ketika zaman
remajanya bersama seorang sahabat. Bukan Anis tidak berminat membina kerjaya
tinggi seperti orang lain. Tetapi rezekinya bukan di situ dan Seri Kasih adalah
impiannya kini selepas bercita-cita menjadi seorang arkitek.
Agak aneh
gadis manja dan lincah sepertinya menyimpan impian sebegitu. Dia sayangkan
anak-anak kecil. Begitu juga Zarkasyi. Lalu mereka menyatu impian itu untuk
membina sebuah taman asuhan kanak-kanak. Itulah Seri Kasih yang pernah menjadi
lintasan di bibir Zarkasyi suatu masa dahulu dan kini tersergam tanpanya.
Zarkasyi!
Anis masih tegar mengenang lelaki itu biar bertahun lama tidak bersua. Seorang lelaki
yang penuh pengertian dan sabar. Juga seorang teman yang penyayang. Dia tidak
tahu bagaimana kehidupan Zarkasyi sekarang. Hubungan mereka terputus ketika dia
sarat mengandungkan Iyad. Dan impian yang satu itu dibina bersendirian sekarang.
Dia dan
Zarkasyi punya watak yang berlainan. Pun begitu mereka masih serasi menjadi
sahabat. Mungkin kontradiksi itu menemukan keserasian dalam diri mereka. Zarkasyi
lelaki yang patuh pada agama, pengasih, punya hati yang lembut dan setia.
Sedang dia punya perwakan yang agak lincah, degil dan sering mengikut emosi.
Anis
terkenang memori bersama Zarkasyi suatu ketika dahulu. Zarkasyi selalu
bersamanya hatta ke sekolah sekalipun. Sehingga ada rakan-rakan sekolah yang
mengatakan mereka pasangan kekasih ketika itu. Zarkasyi hanya diam tanpa kata. Anis
tahu Zarkasyi bukan orangnya yang mahu melayan perkara-perkara remeh seperti
itu. Zarkasyi yang dikenali seorang yang matang dari cinta wanita biar agak
ramai pelajar perempuan yang ingin mengumpan hatinya. Dan Anis sendiri menerima
cerita fitnah itu dengan hati yang terbuka tanpa resah. Dia sedar, dirinya
hanya menjadi mangsa cemburu bagi peminat-peminat Zarkasyi. Namun Zarkasyi juga
acapkali berpesan padanya untuk tidak mempedulikan semuanya.
Kadang-kadang
dia sendiri tidak faham apakah jenis persahabatan antaranya dan Zarkasyi.
Bersahabat tanpa pernah mempunyai rasa cinta seorang kekasih. Bertahun-tahun, tapi cuma sebagai sahabat. Dia juga yang Zarkasyi pilih untuk dijadikan teman.
Mengulangkaji pelajaran bersama di rumahnya. Mengambil berat tentangnya jika
dia bermasalah.
"Anis,
bukankah manis kalau kau bertudung?" Zarkasyi tiba-tiba memberi usul tanpa
dipinta ketika mereka mengulangkaji di rumahnya. Ketika itu SPM semakin hampir.
Ulangkaji mereka juga semakin ligat.
"Kau
mahu kahwin dengan akukah kalau aku bertudung?"
Anis
tersenyum kecil sambil memandang jengkel.
"Bukankah
menutup aurat itu suruhan Allah. Kenapa mesti kita solat kalau itu suruhan
Allah? Kenapa pula tidak kau menutup rambutmu sedangkan itu juga suruhan
Allah?" Zarkasyi seperti mengujinya.
Seloroh Anis ditolak ketepi.
"Sampai
masa nanti aku akan bertudung juga." Anis membalas acuh tidak acuh.
Membuang pandang ke baris-baris ayat di buku pelajaran Sejarah
kegemarannya.
"Bila?
Bila kau dah tua? Tunggu nak bercucu?"
Anis
mengangkat bahu mencebik sebagai jawapan. Soalan Zarkasyi dibiar berlalu begitu
sahaja tanpa jawapan.
Terasa bodoh
sekali jawapannya pada Zarkasyi ketika itu. Jahilnya dia. Bila dikenang-kenang,
malu bukan kepalang mengenang kebodohannya tentang aurat. Bukan sekali dua Zarkasyi
menegurnya tentang itu tetapi sudah berkali-kali. Namun dia masih dengan
jawapan bodohnya pada Zarkasyi. Lelaki itu terlalu mengajarnya tentang hukum
Allah. Cuma dia yang memandang enteng. Lantaran didikan itu cuma didapati di
sekolah tetapi tidak di rumah. Ibu bapanya bukan ahli agama. Mereka buta hukum
dalam mendidik anak sepertinya. Dan dia anak tunggal pasangan berada yang mewarisi
jahiliah si ayah dan ibu.
Sedang Zarkasyi, anak yatim yang dibesarkan oleh
seorang ibu tunggal yang mengajar agama di kampung untuk menyara hidup. Mujur
juga Zarkasyi mempunyai seorang abang, Zamakhsyari yang bekerja sebagai guru di
ibu kota. Dia sering mengirim wang pembiayaan sekolah Zarkasyi. Kesusahan itu yang
mungkin membuat temannya itu lebih matang.
Selepas
keputusan SPM, dia dan Zarkasyi membawa haluan masing-masing. Zarkasyi mendapat
tawaran mendalami ilmu-ilmu Islam di Universiti Malaya. Itu pilihannya sendiri
kerana dia muncul sebagai pelajar terbaik aliran agama di sekolah. Pernah dia
mengherdik Zarkasyi kerana menolak tawaran mengikuti kursus ijazah kejuruteraan
dari sebuah universiti di United Kingdom. Namun katanya, dia mahu menjadi seorang Islam
sejati. Mahu mendalami agama untuk disebar-sebarkan agar Islam tidak punah
dimakan globalisasi. Saat itu, dia
aneh melihat pendirian seorang Zarkasyi.
Sedang dia sendiri menerima tawaran
melanjutkan pengajian ke London dalam jurusan senibina. Bermula
detik itu hidupnya berubah. Anis mula diakrabi Afandi, jejaka kacukan
Melayu-Arab dari jurusan yang sama. Dalam melewati musim cinta bersama Afandi,
dia tidak lupa mengutusi Zarkasyi. Persahabatannya dan Zarkasyi masih seperti
biasa. Anis tidak lupa berkisah tentang Afandi, dan
Zarkasyi seperti biasa membalas dengan kata-kata hikmahnya tanpa kering dengan
nasihat seperti dahulu. Ya, benar Zarkasyi tidak pernah berubah walau waktu
telah banyak memisahkan mereka. Zarkasyi masih tetap dengan kematangannya
menilai sesuatu dan masih punya ketegasan dalam berkata-kata.
Zarkasyi seringkali
menyalin kembali apa yang dipelajarinya dalam setiap balasan warkah sebagai
peringatan untuknya. Biar malas namun Anis tetap sudi membaca semuanya sebagai menghormati Zarkasyi
yang tidak pernah lelah dengan nasihat dan dorongan. Dia gembira begitu kerana
itu menunjukkan Zarkasyi tetap mengingatinya biar mahu melaksanakan apa yang
dikata lelaki itu adalah perkara kedua baginya.
"Kau
tahu Anis, wanita muslimah itu punya pelbagai anugerah yang Allah berikan.
Mereka punya kehormatan tinggi yang telah Allah letakkan berbanding wanita
kafir yang lain. Allah menggariskan aurat pada mereka agar kehormatan mereka
terjaga dari manusia-manusia berhati iblis. Mewajibkan hijab untuk menutupi
keindahan wanita yang tidak ternilai walau ditukar dengan segunung emas.
Tidakkah kau patut menghargai semua milikmu itu dengan menutupnya dari lelaki
ajnabi, Anis? Tidakkah kau tahu di dalam
al-Quran telah menyebut tentang ini.
"Hai nabi, katakanlah kepada
isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah
mereka mereka mengulurkan jilbabnya ke
seluruh tubuh mereka.Yang demikian itu mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana
itu mereka tidak diganggu. Dan Allah itu Maha Pengampun lagi Maha
Penyayang" al-Ahzab:59
Aku amat berharap engkau akan bertudung, Anis. Menjadi wanita
solehah untuk bakal suamimu dan ibu yang baik untuk bakal zuriatmu nanti…"
Anis melipat
kembali warkah itu. Keratan kata-kata itu dahulu langsung tidak menusuk di
hatinya. Tetapi hairannya dia masih menyimpan baik semua surat dari Zarkasyi. Mungkin
ini hikmahnya nasihat Zarkasyi yang tidak pernah padam. Kenangannya dengan
Zarkasyi hanya boleh diulang di dalam lipatan surat-surat lama dan apa yang
tersimpan di sudut ingatannya. Juga sebagai panduan kehidupan.
Lamunannya
terganggu dengan rengekan manja Iyad. Mengigau lagi anak kecil itu. Anis pantas
meluru ke kamar tidurnya melihat Iyad yang menangis apabila dia tiada di sisi.
Anis merangkul dan membelai kepala Iyad dengan penuh kasih memujuknya tidur
kembali. Tidak berapa lama, Iyad kembali terlena dengan dodoiannya. Anis
merenung Iyad lama. Wajah itu lebih tumpah kepada wajahnya. Baginya sekarang,
Iyad harta yang paling berharga. Biarlah manusia sekeliling mengherdiknya
dengan maki hamun, namun dia nekad mahu mendidik Iyad menjadi anak yang soleh.
Biar Iyad bukan anak yang diiktiraf di dunia, tapi dia mahu menjadikan Iyad
diiktiraf di akhirat. Di sisi Allah.
Itu
kesilapan terbesarnya dalam hidup. Menyebabkan lahirnya Iyad sebagai anak luar
nikah. Kesalan itu bertimpa-timpa sehingga kini. Dia terlalu mengikut nafsu
dahulu. Kata nasihat Zarkasyi dipandang lewah. Solat yang dahulu sering
dilakukan sudah ditinggalkan sejak dia mengenali Afandi. Mereka sering
berpeleseran di kelab malam sehingga pagi. Gaya hidupnya jauh terpesong berbanding ketika
bersama Zarkasyi dahulu. Afandi mengajarnya merokok dan menunggang botol arak.
Lelaki itu rupanya manusia syaitan. Dia terperangkap dengan pujuk rayu Afandi
pada satu malam yang penuh titik hitam. Dia gagal menjaga kehormatan dirinya
dari manusia berhati iblis. Saat itu dia jadi rindu mahu mendengar kata-kata
keramat Zarkasyi memberi nasihat.
Dia disahkan
hamil dua bulan kemudian. Afandi lari apabila kehamilan itu dipertanggungjawabkan
padanya. Mengelak daripadanya bagai nampak hantu di siang hari. Hidupnya murung
sebelum keputusan diambil untuk pulang ke Malaysia atas nasihat teman-teman yang
lain. Dia nekad mahu memberitahu ibu dan ayah. Kepulangan mengejutnya itu
ternyata mendapat tentangan kedua-dua orang tua. Kandungannya tidak diterima.
Dia dihalau. Tiada sesiapa di sisinya. Lalu Zarkasyi dicari. Lelaki itu
terkesima menerima kehadirannya selepas empat tahun membawa haluan
masing-masing.
"Aku
tak tahu pada siapa lagi perlu aku mengadu, Zarkasyi. Ibu dan ayah sudah
membuangku. Aku sebatang kara, Zar!"
Tangisan yang cuba ditahan gugur jua.
Dalam hamburan airmata itu, Anis mengamati
wajah Zarkasyi. Lelaki itu cuma diam tanpa jawapan. Wajah itu ada ketenangan.
Berbicaralah dengan aku, Zarkasyi! Aku rindu dengan nasihat padumu padaku
seperti dahulu.
"Ikut
aku, Anis!" Dia menyedari ketegasan nada suara Zarkasyi biar tidak
ditunjukkan dalam kelembutannya. Hanya itu yang dapat didengar dari bibir merah
muda yang haram dengan rokok itu setelah satu jam pertemuan mereka di warung
pinggir Kota Kuala Lumpur.
Marahkah
engkau, Zarkasyi? Aku yang tidak pernah menghiraukan nasihatmu sejak
dulu. Aku yang sering mempermain-mainkan hujahmu tentang hukum Allah. Aku yang bodoh ini!
Hari itu
Zarkasyi membawanya pulang ke daerah lama mereka. Ke rumah orang tuanya. Dia
meletakkan Anis di bawah jagaan ibunya. Banyak yang telah dipelajari dari ibu
Zarkasyi. Pengajian di London dilupakan begitu sahaja. Biarlah, dia tidak ingin
kembali ke sana walau ditawar jutaan wang sekalipun. Sekali-kali tidak! Hijab
sudah mula menjadi pakaiannya. Tiada lagi pakaian ketat kekurangan benang
seperti dahulu. Dilontar jauh kenangan hitam bersama Afandi. Dia ingin melupakan
semua titik hitam hidupnya dahulu.
"Aku
tidak pernah marahkan engkau, Anis. Kau sahabatku sejak sekolah. Aku bukan
siapa-siapa untuk memarahimu." Perlahan tutur Zarkasyi ketika pulangnya ke
kampung.
"Aku
rindu kenangan kita masa sekolah dulu, Zar. Engkau selalu menegurku tentang
macam-macam kesalahanku. Aku rindu teguranmu, Zar…"
"Usah
diungkit yang berlalu, Anis. Manusia selalu berbuat salah. Aku juga punya
salahku. Silap kita sebagai manusia terlalu banyak. Mana ada manusia yang tidak
melakukan dosa. Anggap itu sebahagian dari pengalaman hidupmu. Jadikan sempadan
untuk masa depan anakmu nanti." Tutur Zarkasyi lunak di pendengarannya.
"Allah
itu Maha Pengampun. Aku percaya Dia tahu keikhlasan taubatmu jika kau
benar-benar mahukan itu. Rasulullah sendiri menyuruh kita agar jangan berputus
asa dalam bertaubat kerana sifat itu boleh membawa kepada kekufuran. Aku bangga
melihat Anis yang sekarang. Sudah bertudung seperti yang kuharapkan."
Zarkasyi
tertunduk ke bumi tiba-tiba. Dia dapat menangkap ada genang air di pinggir mata
lelaki itu. Menangiskah engkau, Zarkasyi? Matanya ligat memerhati Zarkasyi yang
diam serta-merta. Tanpa sedar matanya juga berduka mengalirkan airmata
perlahan-lahan. Anis mengusap perlahan perut yang sudah berusia lima bulan
ketika itu.
"Zar,
aku minta maaf…"
"Oh,
ya! Aku akan mula bekerja bulan depan. Sebagai pegawai syariah di Mahkamah Syariah
Kuala Lumpur. Doakan aku, Anis!"
Pintas Zarkasyi memotong tuturnya. Anis cuma tersenyum kelat mengangguk.
Itu kali
terakhir mereka bertemu membalas kata dan sehingga Anis melahirkan Iyad, Zarkasyi
tidak pulang pun menjenguk. Berita terakhir yang didengar dari ibu Zarkasyi
bahawa lelaki itu ditukarkan bertugas ke Sarawak. Tanpa pamitan, Zarkasyi terus
membisu tanpa khabar untuknya sahaja. Dia mengerti Zarkasyi masih belum
betul-betul memaafkannya. Sehingga Iyad berusia setahun, Anis berkeputusan
untuk membina hidup sendiri. Pada ibu Zarkasyi dipohon satu pengertian bahawa
dia ingin mengejar impian untuk hidup sendiri.
Pagi itu
sebelum memulakan tugas di Seri Kasih, Anis didatangi sepucuk surat dari
kampung tulisan tangan milik Zulfa, adik bongsu Zarkasyi.
Assalaamualaikum.
Ke
pangkuan Kak Anis dan Iyad yang comel.
Zulfa mewakili emak mengutus surat ini untuk Kak Anis. Emak pesan, andai Kak
Anis tak keberatan baliklah menjenguk kami pada hujung minggu ini Ada yang mengintai Kak Anis dari jauh rupanya
selama ini. Emak kata orang kampung ini juga. Kak Anis pulang dulu dan kita
berbincang tentang perkara ini ya. Emak pun dah rindu sangat dengan Iyad.
Lagipun dah lama kita tak makan bersama.
Oh ya,
Kak Anis. Satu kejutan untuk kita!.
Abang Zar ada telefon baru-baru ini. Dia pun akan pulang hujung minggu ini.
Lagi meriah nampaknya rumah kita nanti. Abang Zam sekeluarga pun emak dah suruh
pulang juga. Katanya, biar semua orang ada untuk bincangkan hal pinangan Kak
Anis tu. Harapnya Kak Anis tak kecewakan emak. Salam sayang dari Zulfa
dan emak untuk kalian berdua.
Zulfa.
Zarkasyi
akan pulang. Jiwanya tiba-tiba berkocak hebat mendengar berita itu. Selama
lelaki itu di Sarawak, tidak pernah sekalipun dia pulang ke kampung. Hanya
surat dan telefon sebagai talian hayat yang menghubungkan Zarkasyi dan
keluarganya. Tapi kali ini akhirnya Zarkasyi pulang juga. Ya., mungkin ini
noktahnya perang dingin yang berlaku antara dia dan Zarkasyi. Dalam diam dia
mula berdoa di dalam hati agar semuanya selamat seperti sediakala.
Hujung
minggu yang dijanjikan, Anis memandu sendiri ditemani Iyad di sebelahnya. Anak
kecil itu kelihatan ceria mahu pulang ke kampung. Sedangkan dia agak
berdebar-debar memikirkan pinangan untuknya. Kelihatan Zulfa menyambut mereka
dengan senyuman lebar sebaik sahaja Myvi putihnya menjalar di halaman rumah.
Matanya dalam diam mengintai-intai laman itu kalau-kalau ada kenderaan asing
yang terlebih dahulu tiba sebelumnya. Sebetulnya dia mencari-cari kelibat
Zarkasyi, namun tiada. Zulfa menerpa mendapatkan Iyad dari dalam kereta.
"Wah,
Iyad dah besar sekarang! Dah boleh jadi 'bodyguard' mama. Tapi tak lama lagi akan ada 'big bodyguard'
yang akan jaga Iyad dan mama." Zulfa
cuma tersengih bersahaja mengusiknya.
"Siapa
Acik Zulfa?" Iyad yang sudah mula faham percakapan orang dewasa itu
menunjukkan minat. Wajahnya tercengang menyambut usikan Zulfa.
"Iyad
nak tahu siapa? Tengok di pintu rumah kita tu betul-betul. Itulah dia yang
berdiri sebelah nenek tu!" Iyad pantas menoleh.
Anis juga
menoleh serentak bersama Iyad. Kata-kata Zulfa yang terakhir itu begitu menarik
pandangannya untuk melihat sama. Dan tiada kata yang terucap tika itu hanyalah
kalimah agung Tuhan Pencipta rasa.
Subhanallah,
Zarkasyi!
Tamat.
Catatan kaki:
Cerpen ini tersiar di Majalah Suara Kampus Edisi Taakhi 2010 (Shoubra/Iskandariah/Wilayah Persekutuan) terbitan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)
0 Lintasan Hati :
Catat Ulasan