• Hendak dikata tiada masa, penuh masa terluang walau kadangkala kesibukan menerjah. Hendak dikata dakwat kering untuk meninta jidar hijau kesayangan ini, papan kekunci ini tak pernah jemu saya renungi. Namun jidar hijau ini tetap sunyi dari sebarang catatan sejak beberapa bulan. Kadangkala gagal melawan kantuk dan malas lebih menguasai diri. Ah..malas itu begitu buruk maksudnya, seburuk perangai yang terbit dari sifat itu. Aduhai diri, teruslah mengetuk kekunci ini agar jidar hijauku tidak sunyi dari sebarang kalimah yang mampu memugar mindaku yang kosong sekosong-kosongnya ini!

    Apatah lagi musim dingin yang kian kemuncak kala bercuti semester begini begitu menggamit rasa untuk dibungkus kehangatan dalam selimut tebal. Sekaligus membawa pergi segala yang bermanfaat untuk dilakukan begitu sahaja. Rasanya lebih senang mengulit novel-novel ilmiah tetapi santai pembacaannya dari mendedahkan jemari mengetuk papan ini. Saya baru sahaja usai menguliti dua buah antologi sajak Grup Karyawan Luar Negara(GKLN) dan dua buah novel Faisal Tehrani. Itupun satu daripadanya tidak sempat saya khatami kerana semuanya cuma dipinjam dari seorang teman yang telah ke Kaherah membawa buku tersebut untuk menghadiri program sastera yang diberi nama Hari Baca Novel. Insya Allah selepas ini saya berhajat mahu pinjam semula!

    Malu rasanya kerana sepatutnya saya menyertai program itu, tetapi entah mengapa rasa hati kali ini mahu menghabiskan cuti musim dingin ini hanya di Pinggir Mediterranean. Barangkali kesihatan kewangan saya yang agak kritikal menjadi sebab hati dan akal bermuktamad begitu. Terasa rugi juga kerana tidak dapat menyertai Hari Baca Novel yang turut diselitkan dengan program diskusi Antologi Cinta dan Rona Kinanah juga bentangan kertas kerja cara pembikinan Suara Kampus pada hari seterusnya.

    Memandangkan terasa kerugian yang ketara itulah saya cuma melaksanakan Hari Baca Novel saya di rumah. Hah! Kelakar pula. Lagi pula saya ini jenis pembaca yang agak lambat membaca. Lihat saja novel 'Manikam Kalbu' karya Faisal Tehrani saya sudahi dalam masa hampir sebulan! Saya sendiri pun tidak tahu berapa kali pembacaan saya dalam satu halaman. Tapi memang begitu seorang saya jika ada novel yang betul-betul menarik di tangan. Lama itu bukan bermaksud terpaksa menyudahi, tetapi lama itu tandanya saya begitu mengagumi buku tersebut. Apapun, novel tersebut sudah selamat dibaca.

    Dan sekarang ada lagi lima buah novel yang menanti untuk diuliti. Kali ini entah berapa lama lagi masa yang diambil. Tunggu dan lihat!

0 Lintasan Hati :

TERIMA KASIH

Awas!

Dilarang sebarang aktiviti plagiat ke atas artikel di dalam laman ini. Jika itu berlaku, perlu meminta keizinan daripada pemilik laman ini terlebih dahulu.

Si Kandil's bookshelf: read

Manikam Kalbu
Bedar Sukma Bisu
Surat-Surat Perempuan Johor
Daerah Zeni
Dari Salina ke Langit Petang
Bahlut
Lagi Cerpen-Cerpen Underground
Beruk
Seorang Tua di Kaki Gunung
Tukcai
Badai Semalam
Dedaun Hijau Di Angin Lalu
Kau yang Satu
Juzuk
Panji Semirang
Bagaikan Puteri
Hijab Sang Pencinta
Nota Cinta Buatmu
Cinta Pertama
Pesanan Terakhir Seorang Lelaki


Si Kandil Hijau's favorite books »