• WALI SONGO DAN PENYEBARAN ISLAM DI JAWA

    Apabila memperkatakan penyebaran Islam di Jawa, peranan dan sumbangan Wali Songo tidak dapat diketepikan. Wali Songo ialah sembilan orang pendakwah Islam yang berusaha giat menyebarkan Islam di Jawa pada abad ke-15 dan 16.
    Menurut Professor Dr. Hamka, mereka adalah terdiri daripada Maulana Malik Ibrahim, Raden Rahmat, Makhdum Ibrahim, Masih Makunat, Maulana Ainul Yaqin, Orang Muda Muhammad Said, Syeikh Jaafar Sadiq Sunan Murio dan Fatahillah.


    MAULANA MALIK IBRAHIM
    Beliau juga dikenali sebagai Maulana Maghribi atau Jumadil Kubra. Maulana Malik Ibrahim ialah anak Sayid Hussein Jamadil Kubra. Beliau datang dari Kasyan, berbangsa Arab keturunan Rasulullah S.A.W. beliau telah belajar agama merangkumi ilmu syariat dan hakikat. Apabila dewasa, ayahnya telah melatih beliau sebagai mubaligh(pendakwah).

    Dengan budi bahasa dan akhlak yang tinggi, beliau berjaya menarik orang-orang Jawa yang beragama Hindu daripada kasta Waisha dan Sudra memeluk Islam. Begitu hebatnya dakwah yang dijalankan oleh beliau sehingga penganut Hindu dari kasta Brahma dan Kastria tidak tahan lalu lari ke Pulau Bali.

    Apabila pengikutnya semakin banyak, Maulana Ibrahim telah mendirikan pesantren (tempat pengajian agama) di Gresik, Jawa. Dari sinilah beliau melahirkan kader-kader Islam yang menjadi pendakwah di seluruh Jawa. Maulana Malik Ibrahim meninggal dunia pada 12 Rabiul Awwal, 882 H bersamaan 9 April 1419 Masihi dan dimakamkan di Gresik, Jawa.


    RADEN RAHMAT
    Raden Rahmat dikenal juga sebagai Sunan Ngampel, Sunan Ampel atau Maulana Rahmatullah. Beliau dilahirkan pada tahun 1401 Masihi di Champa.
    Ayahnya bernama Ibrahim Asmaro. Ibunya adalah puteri Champa. Semasa dalam pelayaran dari Champa ke Tanah Jawa, beliau bersama ayahnya dan adiknya Maulana Ishak telah singgah di Palembang selama dua bulan. Beliau berjaya memujuk Bupati Majapahit di Palembang bernama Arya Damar memeluk Islam. Beliau juga berjaya mengislamkan Bupati Tuban, iaitu Arya Taja.

    Raden Rahmat telah berkahwin dengan anak Arya Taja yang bernama Nyai Ageng Manila. Di Jawa, Raden Rahmat memilih Ampeldenta iaitu sebuah perkampungan Arab di Surabaya untuk menyebar dan dan mengajar Islam.
    Raden Rahmat sebenarnya mempunyai hubungan baik dengan Majapahit. Beliau bersama adiknya Maulana Ishak telah mengadap Batara Majapahit bagi menerangkan maksud dan cita-cita Islam. Ekoran daripada itu, Batara Majapahit membenarkan penyebaran Islam dan tidak menghalang rakyatnya memeluk Islam asalkan secara sukarela dan bukan paksaan.

    Oleh sebab itu, Islam telah tersebar ke Majapahit. Beliau juga merupakan perancang penubuhan Negara Islam Damak yang diperintah oleh Raden Fatah. Sepupunya Wan Hussein, Wan Bo dan Wan Demali telah meluaskan penyebaran Islam hingga ke Johor-Riau.
    Wan Bo kemudiannya dihantar ke Pasai menggantikan tempat Maulana Ishak yang berhijrah ke Melaka. Wan Hussein pula dilantik oleh Raden Rahmat sebagai khalifah di Madura.

    Raden Rahmat meninggal dunia pada tahun 1481 Masihi dan dimakamkan berhampiran Masjid Ampel, Surabaya.

    MAKHDUM IBRAHIM
    Beliau jga dikenali sebagai Sunan Bonang. Dilahirkan pada tahun 1450 Masihi. Makhdum Ibrahim merupakan putera sulung Raden Rahmat. Ibunya ialah Nyai Ageng Manila.
    Makhdum Ibrahim belajar ilmu agama Islam daripada ayahnya, Raden Rahmat dan pernah belajar di Mekah, Melaka dan Kelantan.

    Di Kelantan, beliau belajar dengan Syeikh Muhammad Seman atau Sayid Thananuddin. Beliau berusaha menyebarkan Islam di Tuban. Selain itu, beliau juga berjaya menyebarkan Islam ke dalam Majapahit. Para pengikutnya kebanyakannya daripada kalangan kaum bangsawan.


    MASIH MAKUNAT
    Beliau lebih dikenali dengan nama Sunan Drajat atau Syarifuddin. Ada juga yang memanggilnya Maulana Rahmat dan Raden Rahmat. Masih Makunat telah diutus ke negeri Sedayu bagi mengajar Islam di sana. Dalam dakwahnya beliau menggunakan gamelan. Lagu gamelan ciptaannya ialah 'Gending Pangkor'. Makam Masih Makunat ada di Sedayu (Kabupaten Lamongan).


    MAULANA AINUL YAQIN
    Dipanggil juga sebagai Raden Paku atau Sunan Giri. Ayahnya ialah Maulana Ishak dan ibunya puteri Raja Balambangan. Beliau pernah belajar di Melaka. Ayahnya, Maulana Ishak, telah memperturunkan segala ilmu yang ada padanya kepada termasuk ilmu tentang rahsia-rahsia ketuhanan.

    Selepas itu beliau kembali ke Jawa iaitu Bukit Giri, Gresik. Di sana didirikan sebuah masjid dan di kiri kanan masjid didirikan pula asrama untuk murid-murid yang datang dari jauh. Murid-murid beliau kebanyakannya nelayan dan pedagang dari Kepulauan Indonesia Timur seperti Madura, Lombok, Maluku dan sebagainya.


    ORANG MUDA MUHAMMAD SAID
    Nama sebenarnya ialah Raden Mas Syahid. Dikenali juga sebagai Joko Said atau Sunan Kalijaga. Beliau berasal dari suku Jawa asli keturunan bangsawan anak Bupati Tuban yang bernama Raden Sahur Tumenggung Wilatika.

    Walaupun berketurunan bangsawan, beliau suka bergaul dengan masyarakat desa yang miskin. Beliau pernah berguru kepada Sunan Bonang dan Sayid Thananuddin. Beliau berkahwin dengan Dewi Sarok binti Maulana Ishak dan Siti Zainab, adik Sunan Gunung Jati.


    SYEIKH JAAFAR SADIQ
    Beliau dikenali juga sebagai Sunan Kudus. Menurut Babad Tanah Jawa, nama beliau semasa kecil ialah Untung.

    Beliau berketurunan Sayyidina Ali Abu Talib. Ayahnya bernama Raden Usman Haji. Beliau telah belajar agama di Mekah dan kemudian mengajar pula di sana. Beliau digelar 'Waliyul Ilmi' kerana keahliannya dalam Ilmu Fekah, Tauhid, Usul Hadis dan Mantiq. Beliau kemudiannya berusaha menyebarkan Islam dengan menjadikan "Quds" sebagai pusatnya.


    SUNAN MURIO
    Nama sebenarnya ialah Raden Umar Said. Beliau juga dipanggil Sunan Muriapada. Beliau adalah anak Sunan Kalijaga. Semasa kecil dikenali dengan nama Raden Prawoto.
    Beliau telah berkahwin dengan Dewi Soejinah binti Sunan Ngudung, kakak Sunan Kudus. Sunan Murio suka beruzlah iaitu di Gunung Muria, 18 kilometer dari Kota Kudus. Daerah dakwahnya ialah sekitar Gunung Muria, Pantai Utara Daerah Jepara, Tayu, Pati, Juana dan Kudus.


    FATAHILLAH
    Beliau juga digelar Sunan Gunung Jati, Laqab Nuruddin, Syarif Hidayatullah, Sayid al-Kamil dan Makhdum Rahmatullah. Orang Portugis memanggilnya "Falatehan" yang berasal dari perkataan "Fatahillah" yakni "pembukaan kemenangan daripada Allah"
    Beliau dilahirkan di Pasai dan datang ke Demak pada tahun 1521M semasa pemerintahan Sultan Terengganu, Sultan Demak 3. Beliau telah berkahwin dengan Ratu Mas, adinda Sultan Terengganu. Fatahillah telah belajar agama Islam di Mekah.


    Sumber: Majalah Dakwah Februari 1998

0 Lintasan Hati :

TERIMA KASIH

Awas!

Dilarang sebarang aktiviti plagiat ke atas artikel di dalam laman ini. Jika itu berlaku, perlu meminta keizinan daripada pemilik laman ini terlebih dahulu.

Si Kandil's bookshelf: read

Manikam Kalbu
Bedar Sukma Bisu
Surat-Surat Perempuan Johor
Daerah Zeni
Dari Salina ke Langit Petang
Bahlut
Lagi Cerpen-Cerpen Underground
Beruk
Seorang Tua di Kaki Gunung
Tukcai
Badai Semalam
Dedaun Hijau Di Angin Lalu
Kau yang Satu
Juzuk
Panji Semirang
Bagaikan Puteri
Hijab Sang Pencinta
Nota Cinta Buatmu
Cinta Pertama
Pesanan Terakhir Seorang Lelaki


Si Kandil Hijau's favorite books »