• Kisah Mati


    Terkenang kisah seorang teman baik saya yang berwarganegara Singapura. Tahun 2007 yang lalu, ketika semua penuntut Al-Azhar sedang bergembira kerana baru sahaja selesai menduduki peperiksaan semester kedua, dia tiba-tiba terbang ke Singapura tanpa pamitan. Sepi. Tahu-tahu sudah pulang ke Iskandariah pada hujung tahun tersebut. Seperti biasa kami bertemu semula apabila semester baru bermula pada awal musim dingin 2007. Banyak yang dibualkan dan kami saling bertukar cerita tentang aktiviti cuti semester yang lepas. Akhirnya baru timbul persoalan di bibir saya tentang kepulangan mengejutnya dulu. Dia memulakan kisah, ibunya menghidapi kanser perut yang kiritikal ketika bapanya mengarahkan dia pulang. Dalam kecelaruan emosi, berhempas pulas belajar dan menghafal subjek-subjek peperiksaan yang bukannya sedikit, dia masih nampak tenang pada saya sebelum pulang waktu itu. Ya, baru saya sedar dalam lewat pertemuan-pertemuan kami sebelum kepulangannya ke Singapura dulu, dia bergelut dengan pergolakan masalah itu rupanya. Jadi ketika dia berkisah tentang segalanya pada saya dalam hiruk-pikuk kelas dek budak-budak arab kerana menunggu ketibaan pensyarah, saya terasa mahu mengalirkan airmata melihat ketabahan di wajahnya. Dia cuma sempat bersama ibunya sekitar tujuh hari di wad hospital semenjak kepulangannya dari Mesir. Dalam hari terakhir bersama ibunya, wanita itu menggenggam erat tangannya seperti ada sesuatu yang mahu dilafazkan. Tapi nyawa itu tetap di batas masa. Tiada kata yang sempat diungkap. Ibunya telah menghembuskan nafas terakhir.

    Dan menjelang imtihan tahun 2008, hatinya sekali lagi terduga dengan kematian adik lelaki tunggalnya secara tiba-tiba akibat kecelakaan jalanraya. Paling menyayat hati, kematian itu tidak diketahui sesiapapun melainkan hanya selepas ditemui sebuah ambulan yang melalui lebuhraya tempat kemalangan pada suatu subuh. Sejak bila berlaku kemalangan tiada saksi yang menyaksikan kerana kemalangan berlaku sendiri tanpa berlanggar dengan mana-mana kenderaan. Dia bercerita bahawa adiknya itu baru sahaja menyambut hari lahir pada November lalu yang ke-20. "Kalau hang nak nangis, hang nangis ja ! Jangan tahan-tahan.." Cuma itu yang terkeluar dari bibir saya ketika melihat kekerasan hatinya untuk menumpahkan airmata walau tubir matanya sudah penuh bertakung. Saat itu saya bagai terlihat kepiluan di hatinya. Juga sebuah ketabahan di sebalik wajah comelnya menghadapi pemergian dua orang kesayangannya secara berturut-turut.

    Secebis kisah yang ingin saya kongsi bersama. Mati itu pasti bagi sesiapa yang hidup dan bernyawa. Tidak ada seorang pun yang terlepas daripadanya. Mungkin saat ini atau bila-bila masa saja ajal tiba. Dia tidak akan melewat atau mempercepatkan sedetik pun sehingga tiba detik yang telah tercatat sejak sebelum kelahiran kita ke dunia ini lagi. Lalu untuk apa kita berdiri atas muka bumi ini kalau bukan untuk meraih pahala sebanyak-banyaknya. "Tidak aku ciptakan manusia ini melainkan untuk beribadat kepadaku". Itu salah satu ayat al-Quran yang sering kita dengari atau baca di mana-mana saja. Memang benarlah hidup di dunia penuh dengan kegembiraan lalu melalaikan kita. Satu cara yang saya ingin kongsi bersama untuk hati kita takut merasa mati. Dalam kegelapan dan kesepian malam sebelum melelapkan mata anda, cuba belajar merasai kematian apabila nyawa terputus dari badan lalu di kegelapan itu kita sebenarnya sudah berada di dalam tanah kubur!

0 Lintasan Hati :

TERIMA KASIH

Awas!

Dilarang sebarang aktiviti plagiat ke atas artikel di dalam laman ini. Jika itu berlaku, perlu meminta keizinan daripada pemilik laman ini terlebih dahulu.

Si Kandil's bookshelf: read

Manikam Kalbu
Bedar Sukma Bisu
Surat-Surat Perempuan Johor
Daerah Zeni
Dari Salina ke Langit Petang
Bahlut
Lagi Cerpen-Cerpen Underground
Beruk
Seorang Tua di Kaki Gunung
Tukcai
Badai Semalam
Dedaun Hijau Di Angin Lalu
Kau yang Satu
Juzuk
Panji Semirang
Bagaikan Puteri
Hijab Sang Pencinta
Nota Cinta Buatmu
Cinta Pertama
Pesanan Terakhir Seorang Lelaki


Si Kandil Hijau's favorite books »