• Ceritera Satu Hari Dua Malam


    Sebermula al-kisah bermusafirnya aku dan seorang sahabat ke bandaraya al-Kaherah untuk satu hari dua malam kerana suatu program yang telah diberi namanya ***. Maka dengan sebab itulah pemergian kami berdua ke tempat itu yang diberi nama Rumah Kedah Baru disebabkan kebaharuannya itu maka dinamakan ia sebegitu rupa. Maka tersebutlah sesampainya di tempat itu, jenuh juga kami menghadapi hidangan makanan.

    Al-maklumlah, aku sempat menyiapkan hidangan untuk santapan kami iaitu sebiji kek coklat disebabkan terlalu menggemarinya dan tidak dilupakan juga nasi putih berlaukkan sambal sardin bersama timun sahaja. Manakala sahabatku yang seorang itu sempat juga ia menyediakan juadah santapan kesukaannya yang digelar sandwic al-fino tetapi diisi dengan bermacam-macam aneka inti iaitu sardin, al-kuftah dan sosej. Maka kenyanglah kami pada malam yang pertama di situ dan terlalu kenyanglah sekenyang-kenyangnya hingga tiadalah daya lagi untuk menghabiskan santapan-santapan itu dari menerobos ke perut kami. Lalu tertidurlah kami tanpa sebarang masalah yang memusykilkan perut masing-masing.


    Hatta maka keesokannya, bermulalah adegan aktiviti yang bernama *** itu dan berakhirnya pun amatlah memuaskan hati kerana tiada sedikitpun kami berasa bosan atau mengantuk dan santapan makanannya juga sedap-sedap belaka. Hatta tiada berapa lama maka kami bersantap lagi pada malam harinya yang juga sedap-sedap belaka. Maka berduduk-duduklah kami lalu berceritera apa sahaja yang terkeluar dari mulut kami apa adanya sambil membaca-baca majalah.

    Setelah terlalu lama berceritera maka perut pun mulalah berkeroncong semula. Sekonyong-sekonyong sahaja melagu-lagukan bermacam-macam rentak yang ada di muka bumi ini. Maka aku pun mulalah mengeluarkan fikiran-fikiran yang bernas di ditelinga kawanku itu iaitu al-bitza, al- shistowook dan roti al- fino. Adapun itulah makanan-makanan yang terlintas di dalam fikiranku ketika itu adanya jua. Alangkah lazatnya… Maka bersmslah kawanku itu dengan seorang kawannya. Maka tersebutlah, tiada dilayannya oleh hamba Allah itu akan permintaan kami berdua itu. Sekonyong-konyong sahaja tanpa memperelokkan bahasa lakunya, hamba Allah itu menyuruh kami memakan sahaja apa yang ada atau beli sahaja di kafe Rumah Kedah itu atau santap sahaja pada keesokan harinya atau pada lain kali sahaja dia membelinya tanpa berselindung lagi ataupun dalam perkataan yang lain tiadalah pandai dia menjaga hati kaum hawa ini. Setelah mendengar kata-kata yang demikian, maka sekonyong-konyong kawanku itu menjadi baran ibarat air yang mendidih di dalam kawah lagaknya kerana tiada dapat menerima jawapan sebegitu rupa. Tiadalah patut jawapan yang selamba badak dan agak kasar seperti kertas pasir itu keluar tanpa memikirkan bahawa kami juga ada mempunyai hati dan perut. Mustahil juga kami boleh makan apa sahaja kerana kami ini manusia yang tidak menyantap benda lain melainkan makanan sahaja lagi pula tiada sopanlah jika kami menyelongkar dapur orang kerana kami ini hanya bermusafir.

    Arakian maka tersebutlah kawanku yang seorang itu terlalu sakanlah amuknya yang tiada berhenti lagi lalu memperdengarkan ceritera-ceriteranya berkenaan perilaku musyrif-musyrif yang diketahuinya yang tiada pada mereka akan sifat kasihankan sesama manusia. Maka aku yang keterlaluan juga lapar ini pun menjadi kenyang mendengarkan ceritera-ceriteranya itu. Tetapi kemudiannya aku menjadi lapar semula setelah selesai ceriteranya. Dek kerana kasihan melihatkan kelaparan yang ditanggung kawanku itu, maka aku pun mencari nombor perhubungan kafe di Rumah Kedah Baru itu lalu mendaillah kawanku itu akan nombor perhubungan itu. Maka tersebutlah perkataan dari tukang masak itu bahawa sudahlah habis semua makanan yang boleh dimasak di kedainya. Maka bertambahlah kekecewaan kami kerana tiadalah tertunai hajat itu. Lagi dikasihani kawanku itu sampai mahu bertangis-tangisan dan mula pening kepala bukan sahaja kerana lapar yang bersangatan tetapi kerana perkataan-perkataan hamba Allah itu ( hamba Allah itu hanya temannya dan tiada berhubung kait dengan soal hati atau yang seumpamanya).

    Alangkah sukacitanya hati kami jika permintaan kami ditolak dengan berhemah tanpa perkataan-perkataan yang merapu. Tiadalah hati kami ini bersangatan sedihnya dan tiadalah juga diminta makanan itu dengan bersangatan jika tiada daya mahu membelinya tetapi perkara yang diharapkan jugalah seadanya sebarang perkataan-perkataan bernas yang keluar dari bibir hamba Allah itu. Lalu apalah yang boleh dibuat lagi jika tiada yang sudi memberi tolong, maka tiadalah kami mahu memaksanya kerana kami pun reti akan bahasa. Maka jika kami ini kaum hawa boleh keluar bersuka-sukaan pada malam hari di tempat orang maka tiada teringinlah hati kami membuat susah pada orang lain. Tetapi memandangkan kami ini hanya kaum hawa yang dijaga keselamatannya lantas menjadi larangan untuk keluar berfoya-foya pada malam hari tanpa kawan lelaki sebagai musyrif maka berhajatlah kami akan pertolongan yang serupa itu. Akan tetapi tiada mengapalah kerana kami mengerti bahawa barangkali hamba Allah itu sibuk. Maka beradulah kawanku itu dalam kebengangan dan kelaparan dan kesakitan di dalam perutnya. Lagi pula tiada daya dan ikhtiar lagi untuk aku memberi tolong padanya kerana aku juga serupa dengannya. Setelah matahari bersinar dari peraduannya keesokannya, maka bangkitlah kami dan bertolak pulang.

    Maka beringat-ingatlah wahai sesiapa sahaja yang bernama manusia itu, bertuturlah dengan berhati-hati dan lahirkanlah setiap perkataan itu dengan hati dan perut kerana jikalau bertutur menurut hati sahaja alamat akan binasalah tetapi kalau disertai juga dengan perut maka dapatlah merasa dan mendengar juga lagu-lagu keroncong di dalam perut orang lain yang dalam kesusahan adanya. Lalu tersebutlah perkataan tatkala aku mengenangkan perilaku kawanku itu hendak sahaja aku ketawa berdekah-dekah kerana remuk-redam hatinya kerana tiada sampai hajatnya yang satu itu sehingga pulang ke tempat tinggal kami. Sungguh kasihan. Wallahua'lam bisshawab.

0 Lintasan Hati :

TERIMA KASIH

Awas!

Dilarang sebarang aktiviti plagiat ke atas artikel di dalam laman ini. Jika itu berlaku, perlu meminta keizinan daripada pemilik laman ini terlebih dahulu.

Si Kandil's bookshelf: read

Manikam Kalbu
Bedar Sukma Bisu
Surat-Surat Perempuan Johor
Daerah Zeni
Dari Salina ke Langit Petang
Bahlut
Lagi Cerpen-Cerpen Underground
Beruk
Seorang Tua di Kaki Gunung
Tukcai
Badai Semalam
Dedaun Hijau Di Angin Lalu
Kau yang Satu
Juzuk
Panji Semirang
Bagaikan Puteri
Hijab Sang Pencinta
Nota Cinta Buatmu
Cinta Pertama
Pesanan Terakhir Seorang Lelaki


Si Kandil Hijau's favorite books »