• CERPEN 30 TAHUN 18 HARI


              Engkau  memandang ke ruang sisi kiri dan kanan. Kemudian ke atas. Lalu pandanganmu jatuh ke lantai. Jemarimu mengusap wajah berkali-kali. Tidak pernah engkau sangka seumur hidup bahawa kemewahan yang pernah  dimiliki  tiga puluh  tahun lalu sekelip mata hilang dan dirimu akan terkurung di bilik persegi sempit ini. Tidak pernah sekali engkau sangka!
    Matamu membuang pandang ke pinggan makanan yang dihulur petugas penjara sejam lalu. Belum terjamah walau secubit. Cuma dua keping roti ‘isy dan kuah ful di dalamnya berserta segelas air kosong. Engkau sudah naik muak dengan menu yang memualkan tekakmu itu.  
     +Alangkah lazatnya kalau ‘isy itu boleh bertukar menjadi kambing panggang!
    Suara itu tiba-tiba bergema seiring sorotan mata dan kata hatimu. Bagaimana dia boleh tahu apa yang tersirat? Ahh...! Pedulikan.
    Terbayang di matamu kini kambing  panggang berminyak dengan aroma harum rempah-ratus yang dilumur padanya. Air liurmu seakan mahu meleleh bertali-tali. Tapi berkali-kali pula engkau menelan liur kembali bila kambing panggang khayalanmu hilang tiba-tiba. Engkau menjuih bibir pada hidangan di depan mata. Kosong.
     +Kau masih ingatkan, betapa empuknya menunggang kereta mewahmu menghadiri pertemuan demi pertemuan antarabangsa yang memajukan negaramu. Bersama isterimu yang gemar mengenakan blaus berkain singkat dan berambut perang setiap kali menemanimu ke jamuan kelas atasan. Bukan kau tidak tahu di luar kemewahanmu itu, ribuan pengemis yang tidur di jalanan berbungkuskan kotak lunyai. Kau ambil kisahkah?
    Engkau bungkam lagi. Suara itu terus mengejek sambil mengimbau masa lalumu yang penuh gemilang.

    +Dulu kan kau pemimpin poular dan berdedikasi? Bijak, bijak! Ribuan rakyat kebuluran tapi itu tak menghalang kau mengumpul harta untuk keturuan kau. Itu kan bakat luar biasa? Peduli apa orang yang mencaci dan memburukkan  nama kau di akhbar dan forum-forum. Orang kelaparan kan memang begitu.
    Engkau mula mendengus. Kau sengaja mengusut-ngusutkan rambutmu yang sudah berbau masam.
    +Menyesalkah, tuan? Pemimpin itu perlu strategis. 
    Kepimpinan itu melalui teladan, bukan? Dan kaulah rajanya. Kaya muslihat dan taktik yang kau gunakan untuk butakan mata rakyat! Sudah tiga puluh tahun pemuda-pemudi Misri digula-gulakan. Macam mana pula sekarang tembelang kau terbongkar?
             -Sudah! Cukup! Aku tidak bersalah!
    Engkau  menggeleng kepala. Bilik konkrit empat segi sempit itulah tempatmu yang paling selesa kini. Kakimu hanya mampu berlegar-legar dalam sel yang mendera emosi ini. Tidak berbeza daripada banduan yang lain. Oh, banduankah engkau?

    + Bilik kecil jeriji besi ini adalah tanda kejatuhanmu! Di mana istana kemegahanmu    dahulu, hah!
      -Tidak! Ini cuma  propaganda musuh politikku dan orang ramai. Mereka sudah lama mahu melihat kejatuhanku. Kalau bukan sebab mereka, harta-hartaku masih ada! Anak isteri masih di sisiku.
       +Oh, harta ratusan billion itu kau punya? Sudah-sudahlah tuan presiden! Kau sudah tak punya apa-apa sekarang!
    -Aku tidak bersalah! Harta itu adalah penat-lelahku tiga puluh tahun ini. Senang-senang saja dirampas dalam  masa lapan belas hari! Celaka!
    +Siapa kata kau bersalah? Bukankah kau sudah jalankan tanggungjawabmu sebagai ketua negara berhemah? Maka, kau memang layak mendapat habuan! Tak kisahlah berapa juta  yang kau dapat dari Yahudi, asalkan tugasmu siap sempurna. Biarlah orang kata kau menghisap darah orang Islam. Yang penting tanggungjawabmu terlaksana!
    -Itu titik peluhku sendiri. Mana kau tahu Yahudi menggajiku? Ah... bagaimana aku mendapatkannya bukan urusanmu!
    +Ya. Urusan itu bukan urusanku. Tapi urusanmu itulah penyebab kau meringkuk di sini kan?
    Engkau  mengerutkan kening sesungguh-sungguhnya. Mahu membalas sindiran itu  namun tidak jadi bersuara apabila kedengaran tapak kasut pegawai penjara yang memantau kediaman sempitmu.
    Dia berhenti di hadapan jeriji besimu dan melihat-lihat selmu sebentar. Mata hitammu cuma membalas pandangannya bersahaja. Riak matamu kelihatan kuyu kerana tidur yang sering terganggu saban malam.
    Manakan tidak, suara itu selalu hadir setiap kali kau mahu melelapkan mata. Ia datang merungkai segala dosa silammu. Dan kini ia kembali dengan hilai tawa di corong telingamu apabila langkah pegawai penjara itu beredar meninggalkan  sel.
    Engkau cuma menjeling tajam. Biarpun sudah lebih setahun di sini menerima hukuman, engkau masih tidak betah mendiami tempat ini. Begini rupanya rasa menjadi banduan. Kau baru tahu!
    +Lupa? Biar aku  ingatkan kembali. Selepas seluruh harta dan aset kekayaanmu disita, akaun-akaun simpanan peribadi keluargamu disekat. Akhirnya kau sekeluarga diheret dengan penuh jengkel ke muka pengadilan selepas nilai kemewahanmu yang berharga USD 110 billion diisytihar ke seluruh dunia. Manakan tidak, marhaenmu cuma menerima purata dua dolar saja sebulan setelah penat bekerja. Dunia ini sungguh kejam bukan? Selalu saja mencari salah pemimpin hebat sepertimu.   
    +Kau lihat saja Ben Ali, temanmu yang menjadi pelopor jatuhnya sebuah rejim negara Islam. Itu adalah impak dari kekuatan sepadu rakyat Tun Sia yang mahukan pembaharuan dan bosan dengan kuasanya. Akhirnya pemerintahan autokratik sahabatmu itu hancur begitu saja. Sungguh sia-sia!
    Tidak semena-mena engkau terkenangkan Ben Ali yang turut  digulingkan. Rupa-rupanya api pejuang  yang telah lama menyala dalam jiwa marhaenmu itu makin marak selepas menyaksikan kejatuhan Ben Ali. Dan zaman kegelapanmu pun  tiba.
    Saat itu dunia gemilang yang engkau cipta di singgahsana paling tinggi roboh dan ranap. Kemilaunya turut tenggelam dihanyut ombak Laut Mediterranean. Mahkota autokrat di kepala yang selama ini engkau gilap turut terjunam hanyut di lembah sungai Misri yang dalam. Oh, hukuman apakah ini!
    Engkau tergagau dalam kegelapan kini.
    Kau terkenang lagi. Kali ini mata mindamu menangkap figura temanmu Qazafi dalam rusuhan di Libbi yang menggerunkan. Qazafi dibunuh rakyatnya sendiri dan mayatnya menjadi hidangan mata dunia di laman-laman sesawang dalam keadaan mengaibkan.
    Itu yang engkau dengar dari perbualan petugas-petugas penjara yang mengawasimu.
    Darah di wajahmu bagai tersedut kering. Gusar kematianmu akan jadi seperti hinanya jasad si Qazafi. Tiada langsung penghormatan untuk seorang pemimpin.
    Dan baru-baru ini  nama sahabatmu dari negara Sirri, Asad telah dihalalkan darahnya oleh ulama besar Islam dunia untuk dibunuh. Lalu apa lagi yang tinggal untuk seorang ketua negara apabila pemberontakan menuntut perubahan seolah-olah rotavirus yang mudah menjangkiti jiwa manusia.
    Engkau mula gerun memikirkan pengakhiran hidupmu. Sampai bila engkau akan mencium bau tempat hancing ini kau pun tidak tahu. Kini dunia mula membuka mata menyaksikan sandiwara maha hebat yang melanda belahan negaramu  dan teman-temanmu itu.
    +Mengapa diam? Apa yang kau fikirkan?
    -Apakah kematian itu semakin menghampiriku?
    Suaramu kedengaran lemah dan perlahan.
    +Kematian itu usah dihitung. Tidak hampir dan tidak jauh. Hanya Allah yang tahu. Bila-bila masa sahaja waima saat ini pun kematian itu bisa berlaku.
    Engkau mengelip-ngelipkan  mata yang sudah lama hilang sinar itu. Matamu terasa seperti mahu berhamburan tangisan tapi airmatamu seolah-olah beku untuk luruh.
    +Hei, sudah mahu menangis selepas apa yang kau lakukan?
    -Aku belum puas hidup…!
    Getusmu dalam sunyi malam yang mencengkam. Malam ini terlalu aneh sepinya. Itu yang engkau  rasa saat ini.
    Suara itu ketawa mengekek-ngekek.
    +Belum puas hidup. Lapan puluh tiga tahun peluang hidup untukmu masih tak cukupkah? Masih terus mahu menjilat kaki Yahudi? Ahh... liat sungguh nyawamu mahu putus! Si tua  seusiamu ini sepatutnya sudah tinggal tengkorak di makan ular-ular berbisa dari neraka!
    -Hei, hei! Aku berdiri di atas kakiku sendiri tanpa perlu dikasihani Yahudi.  Mereka mahu bersahabat denganku, memajukan negaraku. Dan aku memang patut mendapat habuanku selepas Misri semakin maju. Takkah kau lihat Misri selepas tiga puluh tahun pemerintahanku? Dasar ekonomi liberal yang aku terapkan selama ini mendatangkan pulangan lumayan untuk ekonomi negara ini. Setiap tahun sektor pelancongan Misri jadi buruan jutaan manusia dari pelosok dunia. Semata-mata mahu datang melihat kesan purba negaraku yang unik. Mahu melihat keindahanan laut Misri di serata negeri pelanconganku? Kau buta menilai semua jasaku selama ini, hah?!
    Suaramu separuh bertempik.  Dan hening tiba-tiba.
    +Oh, begitukah? Jadi, nyawa orang Islam Ghazzah yang kau pernah jual pada Yahudi sebelum ini boleh dikira jasalah bila kau sekat bantuan makanan dan ubatan untuk mereka? Juga pendapatan rakyatmu yang sekitar dua dolar sebulan itu, cukuplah bagimu untuk mereka menyara keluarga!? Dan juga maksudmu, kemajuan dasar ekonomi liberal yang cuma dinikmati olehmu dan menteri-menterimu itu, memang menguntungkan Misri. Begitu?
    +Tuan presiden, biar aku ingatkan kau beberapa potong kata dari Tuhan kita yang berbunyi; Orang-orang Yahudi dan Nasrani itu tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka (1) dan orang-orang Yahudi dan Nasrani itu  telah Tuhan  berikan mereka Taurat dan Injil untuk mereka mengenal Muhammad seperti anak-anak mereka sendiri, namun sebahagian di antara mereka menyembunyikan kebenaran padahal mereka mengetahuinya.(2). Nah, sudah lama terbukti Yahudi itu patut diperangi bukan dijadikan  kawan!
    + Oh, aku lupa! Kau bangga dengan tamadun  purbamu yang angkuh itu. Itu saja yang kau  tahu untuk  dihidangkan pada orang asing. Biar mereka memuja-muja hebatnya tamadun paling ajaib di dunia itu. Tempias hebat itu melekat padamu juga, bukan? Tapi, kau tahukah suara dunia yang mencemuh pemerintahanmu tidak ubah seperti Firaun! Kata mereka engkau Firaun moden! Kau mahu jasadmu diawet selepas mati dan dipamerkan berkurun-kurun? Itukan tanda cinta rakyat. Kau mahuuu...!?
    Suara itu terus bergema-gema halus namun amat menyakitkan anak telingamu. Matamu melilau sekeliling. Peluh jantan mula merecik jatuh dari wajahmu walau saat ini rasa dingin membalut tubuh. Entah kenapa terasa bagai ada sesuatu yang maha agam bertenggek di atasmu.
    Hujung kuku kakimu terasa disiat-siat ngilu. Tiba-tiba pula engkau terasa dasar lehermu seperti direnggut tangan gagah yang amat kasar. Terlalu azab engkau rasakan.  Nafasmu turun naik secara kasar. Matamu terbelalak ke atas serta-merta. Perutmu terasa memulas-mulas. Engkau tidak mengerti mengapa kesakitan aneh ini tiba-tiba sahaja menyerangmu.
    -Kesakitan apakah ini, tuhan!  Allahuakbar…!
    +Hei, mahu mati baru ingat Tuhan!?
    Suara itu beralun kembali diiringi ketawa  menggila dan akhirnya hilang perlahan.
    Dalam kesakitan itu engkau terasa sakit hati.
    Engkau teringat bahawa esok sesi perbicaraanmu akan berlangsung seperti sebelum ini. Bagaimana nanti mahu membuktikan bahawa dirimu selama tiga puluh tahun ini tidak bersalah esok hari?  Dan bagaimana engkau mahu membela tiga puluh tahun keemasanmu itu yang dirampas cuma lapan belas hari dengan  penuh  kurang ajar.
    Engkau terus menggelupur bersama bayangan-bayangan masa silammu yang penuh gaya. Tapi saat ini kau sudah terkulai tanpa sempat pun bibirmu mengucap syahadah.

                                                              ***     
    Matahari Misri muncul suram pagi itu. Sinarnya tidak segalak musim panas yang bertukar ganti. Musim dingin yang mencapai lapan darjah celcius hari itu begitu membungkus seisi alam Misri yang enak diulit mimpi. Iklim yang hampir membeku pagi itu menerima satu perkhabaran panas yang mampu mencairkan Misri.
    BEKAS PRESIDEN MISRI, IBNU BARAKAH  MATI MENGEJUT DI PENJARA.

    Berita gempar itu disambut dengan ripuh suara di segenap ceruk daerah seolah-olah Misri memenangi Piala Dunia Afrika. Lagaknya seperti bunyi sorakan dari stadium bola.
    Ada yang berlari-lari mengibarkan bendera tanah air tercinta. Ada yang menyanyi-nyanyi di lorong-lorong sempit seperti kurang siuman. Ada yang terus di kedai teh mengulas berita yang tidak disangka-sangka itu tetapi amat disyukuri.  Tidak kurang pula yang sedang berjalan  di jalan raya, tiba-tiba tunduk bersujud  dan bangun semua menadah tangan ke langit.
    Mereka merasa sungguh merdeka kali ini. Sebenarnya lebih bebas daripada peristiwa penggulingan  mandat  Ibnu Barakah sejak revolusi 25 Januari 2011 dahulu. Mereka teramat dahagakan sebuah pemerintahan Islam yang telus. Dan ia kian hampir!
    Malam itu, Misri yang dihuni dua belas juta nyawa itu telah menghimpunkan semua marhaen yang beragama Islam dari pelbagai taraf untuk memakmumkan solat Maghrib dan Isyak berjemaah di dataran merdeka.

    Misri pada malam  itu  kelihatan bercahaya dan ceria dengan lantunan  suara ulama tersohor Misri yang pernah dibuang negara oleh Ibnu Barakah satu  ketika dulu. Suara itu bagai bergema-gema  ke seluruh pelosok jagat raya. Dan langit Misri yang selalu kelihatan langking kini memunculkan berambal-ambal awan malam yang menaungi pasukan solat berjemaah itu.
    Doa mereka selama tiga puluh tahun ini sudah separuh dimakbulkan. Cuma tinggal separuh lagi. Terima kasih, Tuhan!

    (1) Surah Al-Baqarah ayat 120        
     (2) Surah Al-Baqarah ayat 146.

    *Antologi Cerpen Trem Ke Pintu Syurga
    Terbitan Grup Karyawan Luar Negara 2012*

0 Lintasan Hati :

TERIMA KASIH

Awas!

Dilarang sebarang aktiviti plagiat ke atas artikel di dalam laman ini. Jika itu berlaku, perlu meminta keizinan daripada pemilik laman ini terlebih dahulu.

Si Kandil's bookshelf: read

Manikam Kalbu
Bedar Sukma Bisu
Surat-Surat Perempuan Johor
Daerah Zeni
Dari Salina ke Langit Petang
Bahlut
Lagi Cerpen-Cerpen Underground
Beruk
Seorang Tua di Kaki Gunung
Tukcai
Badai Semalam
Dedaun Hijau Di Angin Lalu
Kau yang Satu
Juzuk
Panji Semirang
Bagaikan Puteri
Hijab Sang Pencinta
Nota Cinta Buatmu
Cinta Pertama
Pesanan Terakhir Seorang Lelaki


Si Kandil Hijau's favorite books »