• TAK SANGKA!

    Kelmarin 21 September 2012, saya dikejutkan dengan berita pemergian seorang kawan lama dari sekolah rendah. Bukan setakat satu sekolah bahkan sekelas sejak darjah 1 sehingga tamat sekolah rendah. Saya berdebar tak keruan. Benarkah berita ini atau kawan baik yang menyampaikan berita ini tersalah info? Baru saja 3 hari sebelum ini dia turut berbual-bual mengimbas kenangan semasa di sekolah rendah bersama saya dan kawan-kawan lain di facebook. Dia seorang yang baik dan tak ada rekod hitam semasa sekolah. Sebab itulah ketika di sekolah rendah dan menengah dia dilantik sebagai pengawas. Disukai kawan-kawan dan jenis yang bertanggungjawab.

    Selama ini tak pernah terdengar pula dia sakit kronik atau apa. Bukan saya saja yang terkejut tetapi semua kawan-kawan sekolah kami. Riuh seketika saya dan kawan-kawan sekolah yang lain di muka buku. Keluarganya pasti mengalami kejutan yang amat, lebih-lebih lagi isterinya yang sedang sarat mengandung 9 bulan.

    Bertugas sebagai seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia berpengkalan di Sabah, khabarnya, kawan saya ini sedang bercuti di Kedah di kampung halaman bersama-sama isterinya. Mahu menunggu kelahiran bayi sulung mereka. Due date isterinya adalah pada hari ini. Bayangkan segala momen indah bertukar tragedi yang menyayat hati. Subhanallah! Tapi kita manusia cuma boleh merancang dan sebaik-baik perancang itu adalah Dia.

    Kisah yang saya dengar, selepas selesai solat Jumaat, kawan saya ini pulang ke rumah seperti biasa dan makan tengah hari, berbual-bual bersama keluarganya sebelum tiba-tiba sahaja dia rebah. Laporan bedah siasat hospital mengatakan bahawa dia mengalami komplikasi jantung. Barangkali dia memang tahu dia sakit tetapi merahsiakan dari keluarga dan isterinya. Jenazahnya dimandikan di pengkalan TUDM Kepala Batas, Alor Setar. Rasanya itu permintaan dari pihak TUDM sendiri kerana memang tanggungjawab mereka menguruskan hal-hal kematian anggota mereka. Dan dikebumikan di kampung halaman beliau di Masjid Kampung Imam, Padang Perahu, Kedah.

    Tak pernah menduga dia akan pergi dengan mudah dalam usia yang muda begini tanpa sempat menatap wajah bayinya. Dan hari ini apa yang saya dengar, isterinya sudah dimasukkan ke hospital untuk melahirkan. Sayunya saya bila memikirkan nasib isterinya bersalin tanpa suami yang baru meninggal dunia kelmarin. Sekelip mata sahaja.

    Kenangan kecil kami satu ketika dulu. Ini gambar semasa darjah 4 (1993) ketika rehat. Sungguh happening kan  gambar ni! Yang pegang plastik nasi lemak ada, yang galas botol air di leher pun ada. Tak tahulah apa yang seronok sangat waktu ini sampai mereka semua sengih-sengih happy macam ini. Saya sangat sayang momen-momen seperti ini. Al-Marhum Muhammad Fadzrullizam berdiri  lima dari kanan.

    Doakan dia, al-marhum Muhammad Fadzrullizam bin Ramli termasuk dalam kalangan orang-orang yang soleh.
    Gambar : Hutang kepada facebook al-marhum.


    Takziah untuk seluruh ahli keluarga beliau. ='(
    Giliran kita pula tak tahu bila, di mana dan bagaimana kesudahannya.


    Si Kandil Hijau,
    Alexandria, Egypt.

0 Lintasan Hati :

TERIMA KASIH

Awas!

Dilarang sebarang aktiviti plagiat ke atas artikel di dalam laman ini. Jika itu berlaku, perlu meminta keizinan daripada pemilik laman ini terlebih dahulu.

Si Kandil's bookshelf: read

Manikam Kalbu
Bedar Sukma Bisu
Surat-Surat Perempuan Johor
Daerah Zeni
Dari Salina ke Langit Petang
Bahlut
Lagi Cerpen-Cerpen Underground
Beruk
Seorang Tua di Kaki Gunung
Tukcai
Badai Semalam
Dedaun Hijau Di Angin Lalu
Kau yang Satu
Juzuk
Panji Semirang
Bagaikan Puteri
Hijab Sang Pencinta
Nota Cinta Buatmu
Cinta Pertama
Pesanan Terakhir Seorang Lelaki


Si Kandil Hijau's favorite books »